PAGE

Isnin, Julai 05, 2010

Prinsip dasar pembangunan insan terkandung dalam al-Quran


Assalamualaikum warahmatullah,

PELBAGAI kajian kontemporari membuktikan membaca dan menghafal al-Quran dapat mengawal seseorang daripada pelbagai penyakit, meningkatkan daya tahan tubuh serta meningkatkan kreativiti dan membentuk jati diri insaniah.

Amalan terbaik yang boleh dilakukan adalah membaca dan menghafal al-Quran, mengamalkan kandungannya, menerapkan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Pengalaman berinteraksi dengan al-Quran dalam masa lebih 20 tahun, seseorang akan menemukan suatu kepastian bahawa al-Quran memiliki pengaruh besar terhadap keperibadian manusia.

Ketika kita membaca sebuah buku mengenai Neoro Linguistic Programming atau seni pengurusan waktu atau seni bergaul maka penulisnya mengatakan: Membaca buku ini dapat mengubah hidup anda. Ertinya, kitab apapun yang dibaca seseorang itu akan mempengaruhi perilaku dan keperibadian kerana keperibadian adalah hasil daripada wawasan dan pengalaman, serta apa yang dibaca, dilihat dan didengar.

Sudah pasti buku karangan manusia pengaruhnya terbatas. Tetapi ketika berbicara mengenai Kitabullah (al-Quran) yang menciptakan manusia, di mana Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam diri manusia dan apa yang menjadikannya lebih baik. Dengan demikian, kita menemukan dalam al-Quran itu maklumat yang diperlukan manusia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat.
Justeru al-Quran adalah cahaya, ubat, petunjuk dan hidayah. Di dalamnya kita menemui masa lalu dan masa mendatang. Allah berfirman bermaksud: Yang tidak datang kepadanya (al-Quran) kebatilan dari depan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. (Surah Fushilat: 42).

Setiap ayat yang kita baca, renungkan dan hafal itu dapat menciptakan perubahan dalam hidup kita. Bagaimana dengan orang yang membaca dan menghafal seluruh ayat al-Quran? Tidak diragukan bacaan al-Quran, renungan, dan penyemakan dengan khusyuk itu dapat membentuk keperibadian seseorang. Ini kerana al-Quran mengandungi pelbagai prinsip dan dasar yang mapan bagi pembangunan insan.

Sejauh manakah pengaruh al-Quran terhadap keperibadian seseorang Firman Allah bermaksud: Diwajibkan atas kamu berperang, pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al-Baqarah: 216).

Ayat ini mengandungi hukum yang memberi kebahagiaan bagi orang mengamalkannya dalam hidupnya. Sebelum membaca ayat ini, kita berasa sedih kerana mengalami musibah, atau merasakan ketakutan terhadap masa depan, kerana kita sedang cemas dengan sesuatu hal.

Selepas merenungkan ayat ini, kita menyedari Allah mentakdirkan segala sesuatu, dan Dia tidak akan memilih selain yang terbaik bagi kita, kerana Dia mengetahui masa depan, sedangkan kita tidak mengetahuinya. Oleh itu kita akan memandang sesuatu dengan optimis, meskipun sedih dan takut.




Sumber : Ibrahim Abdullah di BH 05/07/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...