PAGE

Selasa, Julai 06, 2010

Tempat letak kereta mekanikal diperkenal


PETUGAS Vertic Corps., Rizam Mohd. Rashid menguji sistem tempat letak kereta mekanikal bertingkat selepas dilancarkan di Petaling Jaya, baru-baru ini.



PETALING JAYA 5 Julai - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sistem letak kereta mekanikal bertingkat secara percubaan di Padang B, Seksyen 52 di sini dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di bandar raya itu.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md. Taib berkata, sistem tempat letak kereta mekanikal itu dibina dengan kos RM250,000.

Menurutnya, sistem tempat letak kereta itu akan dibina sehingga setinggi enam tingkat yang bukan sahaja boleh menyelesaikan kekurangan tempat letak kereta tetapi juga dapat mengelak kejadian pecah kenderaan.

"Sekiranya sistem ini dilaksanakan, sebanyak 372 buah kereta boleh diletakkan di sini sebab kita boleh membina tempat ini sehingga enam tingkat. Sistem tempat letak kereta mekanikal bertingkat ini merupakan yang pertama di Selangor dan kita akan nilai tahap keberkesanannya. Sekiranya mendapat maklum balas positif daripada pengguna, kita akan meneruskan sistem ini di tempat yang mengalami masalah kekurangan tempat letak kereta," katanya semasa melancarkan sistem tempat letak kereta itu di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Vertics Corp. Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengendalikan sistem itu, Harmizi Kasim berkata, struktur tempat letak kereta mekanikal bertingkat itu merupakan yang pertama dibuat di kawasan lapang dan terbuka di negara ini. Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk mencuba keberkesanan sistem tempat letak kereta mekanikal bertingkat tersebut sehingga 30 September ini.

"Caj yang dikenakan ialah RM1.50 sejam bermula dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang manakala RM1.50 untuk sekali masuk dari pukul 6 petang hingga 9 malam," katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu risau apabila menggunakan sistem tempat letak kereta mekanikal itu kerana ia dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer. Tempat letak kereta mekanikal itu juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti berupaya mengesan pintu kereta yang terbuka secara tiba-tiba, mengelak kecurian, mengurangkan penggunaan tanah dan banyak lagi.

"Sistem ini telah lama digunakan di negara maju seperti Korea dan Jepun dan ia terbukti berfungsi dengan berkesan," katanya.

NB : Hemmmm.... Bueno!




Sumber : UM 06/07/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...