PAGE

Isnin, Ogos 09, 2010

Kerajaan tolak gaji amah Indonesia RM800

~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum warahmatullah,

Beberapa hari yang lepas, saya sempat mendengar berita di BuletinUtama yang menyiarkan keputusan tuntutan gaji minimum pembantu rumah Indonesia. Saya percaya, semua pihak pastinya lega mendengar keputusan kerajaan menolak cadangan jirannya, Indonesia supaya gaji pembantu rumah dari republik itu ditetapkan sebanyak RM800 sebulan atas alasan membebankan dan TIDAK munasabah.

Pertambahan diminta di antara RM300 dan RM400 berbanding pada kadar sedia ada di antara RM450 dan RM500 sebulan, tidak dapat diterima oleh kebanyakan majikan di Malaysia kerana rata-rata pembantu rumah dari Indonesia BUKANLAH mahir dalam bidang itu, selain tidak mendapat latihan sewajarnya dan mempunyai taraf pendidikan rendah. Kita percaya rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik ketegasan kerajaan dalam soal ini kerana pertambahan upah diminta di antara RM300 dan RM400 sebulan akan membebankan mereka.

Jika kita menerima cadangan gaji itu, ia bermakna pembantu rumah Indonesia akan mendapat upah yang agak tinggi berbanding pekerja di sektor lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan pembantu rumah Indonesia dapat menjimatkan kos sebanyak hampir RM1,000 jika duduk dengan majikan bekerja sepenuh masa. Mereka tidak perlu membayar sewa rumah, makan minum sudah ditanggung serta bil air dan elektrik, keselamatan dijamin jika duduk bekerja di kawasan pengawasan 24 jam, kerana ketika ini ditanggung majikan. Semua ini adalah pendapatan tidak langsung yang dibayar kosnya oleh majikan.

Ketika kerajaan sebelum ini dilihat seolah-olah mahu menerima cadangan berkenaan, pengumuman Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam kelmarin yang melihat kadar baru dicadangkan itu tidak munasabah, memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menjamin kepentingan rakyatnya terpelihara.

Walaupun khidmat pembantu rumah Indonesia diperlukan berbanding dari negara lain kerana ada persamaan budaya dan agama, ia tidak seharusnya mengikat kerajaan untuk tunduk bagi memenuhi desakan mereka. Ruang untuk perbincangan lanjut pada peringkat kerajaan masih terbuka seperti dinyatakan Subramaniam bahawa kerajaan Malaysia boleh menimbang menaikkan kadar upah amah Indonesia sekiranya mereka mengambil kursus diiktiraf bagi menambah kemahiran dan meningkatkan produktiviti.

Penetapan gaji minimum RM800 sebulan untuk pembantu rumah Indonesia ketika ini tidak boleh dilaksanakan, apatah lagi isu gaji minimum membabitkan pekerja tempatan dalam pelbagai industri, terutama pekerja ladang masih belum diselesaikan lagi. Seharusnya, soal gaji bulanan ditentukan kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan iaitu di antara pekerja dan majikan. Adalah lebih wajar jika pembabitan kerajaan dalam soal ini lebih kepada pemudahcara dan bukannya membuat keputusan untuk industri tertentu.

Dari segi makro, jika Indonesia menetapkan gaji minimum RM800 untuk pembantu rumahnya, sudah tentu negara lain yang rakyat mereka bekerja di negara ini akan membuat tuntutan sama. Oleh itu, adalah tidak adil jika kita hanya menetapkan kadar bayaran untuk amah dari Indonesia, sedangkan industri lain turut menggunakan pekerja asing tidak berikan peluang sama.

Perlu diingat, penetapan gaji minimum juga perlu mengambil kira kedudukan sosioekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar. Ada majikan terpaksa membayar kepada agensi pekerjaan yang membekalkan pembantu rumah dengan jumlah besar antara RM5,000 dan RM6,000 bagi setiap pembantu rumah. Ditambah pula gaji bulanan yang tinggi, sudah tentu akan membebankan lagi majikan.

Sewajarnya, mana-mana pihak yang mahu mencadangkan kadar gaji minimum di negara ini perlu mengambil kira soal ‘sama-sama menang’, dan bukan hanya mengutamakan kepentingan satu pihak. Sebagai majikan, kita mahukan khidmat pembantu rumah terbaik berdasarkan wang yang sudah dilaburkan, manakala bagi pihak pekerja dan kerajaan, sudah tentu soal gaji setimpal menjadi keutamaan.




Rujuk : Minda Pengarang di BH 09/08/2010

1 ulasan:

  1. kalau majikan tuh memang kaya...takda masalah... eerm kena tengok task amah nie jugak..kasi biasa2 jer.. tak payah la naik rm800.00 banyak tuh.. gaji org m'sia pun susah nak dpat 800 sebulan..keje biasa2 nie...

    memang demand amah nie dekat bandar2..sebab orang sibuk kerja ....

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...