RUMAHtangga yang bahagia dan ceria sering dikaitkan dengan keupayaan pasangan dalam berkomunikasi. Ketidakupayaan suami isteri berkomunikasi secara efektif menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti buruk sangka di antara satu sama lain.
Bukanlah menghairankan antara isu yang timbul akibat kurang komunikasi termasuklah kecurangan, pergaduhan, saling tidak mempercayai dan salah sangka. Sebenarnya komunikasi antara suami isteri merupakan satu proses yang bermula dari dalam diri individu itu sendiri.
Melalui komunikasi, suami isteri boleh menyampaikan segala maklumat terpendam, impian, hasrat dan harapan. Dengan cara ini, ia akan mengurangkan perasaan salah sangka dan dendam yang boleh menghancurkan hati. Komunikasi berkesan akan melahirkan rasa intim antara suami isteri dan perasaan ini boleh mencetuskan rasa bahagia.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada keluarga mu yang terdekat.” (Surah as-Syuara’ :214)
Dalam kehidupan manusia, ada dua cara untuk berkomunikasi sama ada secara lisan atau melalui isyarat bukan lisan. Pepatah Melayu menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Dalam hal ini, kita boleh fahami bahawa kata-kata amat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan, tambahan pula kesannya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Jadi, kita harus berhati-hati dalam setiap perkataan yang kita ungkapkan apatah lagi interaksi antara suami isteri.
Dalam setiap masa dan ketika sebelum mengeluarkan sebarang perkataan, kita mestilah berfikir dahulu sama ada kata-kata itu boleh merosakkan hubungan. Apakah kata-kata yang kita ungkapkan sebagai sesuatu yang berguna, membina atau boleh mengeruhkan hubungan?
Dalam agama Islam, ucapan salam seharusnya dijadikan satu kebiasaan. Membudaya salam dalam kehidupan seharian boleh mengukuh hubungan kasih sayang. Rasulullah SAW menegaskan, “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman dan kamu tidak beriman sehinggalah kamu saling cinta mencintai. Mahukah kamu, kalau aku khabarkan satu perkara yang jika kamu melakukannya kamu akan saling cinta-mencintai? Maka sebarkanlah ucapan salam sesama kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Amalan salam boleh dilakukan ketika sampai ke rumah atau sebelum memasuki rumah. Daripada Anas, katanya: “Rasulullah telah bersabda: Apabila kamu hendak memasuki rumah mu, ucapkanlah salam supaya kamu dan ahli rumah mu mendapat keberkatan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Apakah amalan yang baik untuk mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga? Amalan makan bersama ahli keluarga dengan memulakan doa adalah satu amalan berjemaah. Apabila mahu meninggalkan ahli keluarga untuk keluar rumah, kita boleh biasakan dengan ucapan selamat tinggal. Bertambah erat pula jika isteri atau suami dan anak mengiringi sehingga ke muka pintu. Begitu juga sambutan dengan senyuman ketika kembali ke rumah.
Bermasam muka dan tidak bertegur sapa sesama ahli keluarga merupakan saat yang pahit dan membosankan. Islam melarang kita sesama Muslim memutuskan hubungan. Sabda Rasulullah SAW, “Tidak halal bagi seseorang Muslim itu tidak menyapa (menegur) saudaranya lebih daripada tiga hari. Kedua-duanya bertemu yang seorang memalingkan mukanya ke sini dan seorang memalingkan mukanya ke sana. Orang yang lebih baik di antara keduanya ialah yang memulai memberi salam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Marah bila ditegur?
Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Teguran dan kritikan boleh menyebabkan hati berasa sakit. Apa yang penting, suami isteri mestilah sentiasa berfikiran terbuka dan rasional. Kesilapan kecil dan remeh temeh mudah kita maafkan. Sementara itu, kesilapan besar perlu dibetulkan dari semasa ke semasa. Teguran untuk mendidik dan mencernakan rasa sayang boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan penuh hikmah yang sesuai dengan masa dan ketika. Teguran boleh dianggap sebagai kata perangsang dan dorongan.
Keharmonian hidup dalam sebuah rumah tangga bahagia amat bergantung pada sejauh manakah tahap kelancaran komunikasi yang berlaku dari semasa ke semasa.
Renung-renungkan!
Sumber: Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...