Assalamualaikum warahmatullah,
Ahlan wa sahlan ya Ramadan! Selamat menyambut bulan yang mulia Ramadan al-Mubarak. Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa tahun ini dengan lebih baik, diberi kesihatan yang baik untuk melipat-gandakan ibadah kepada-Nya. Amin.
Biarpun baru sehari Ramadan tiba, bahangnya sudah begitu terasa sejak dua minggu sebelumnya. Sana sini persiapan menyambut kedatangan Ramadan telah dilakukan. Sana sini promosi
Pelbagai cara orang mendidik diri mereka dalam memahami makna sebenar berpuasa. Ada yang dari awal lagi sudah mengambil langkah berjimat cermat, bersederhana dan ada pula yang merasakan puasa hanya datang setahun sekali. Jadi ia mesti diraikan dengan sepenuh hati. Mesti ‘diistimewakan’ dengan jamuan istimewa. Puasa yang satu ini boleh kita kategorikan sebagai puasa zahir. Perut lapar kerana tidak makan sepanjang siang hari dan akan dijamu sepuas-puasnya apabila azan Maghrib berkumandang.
Ada juga yang sudah membiasakan anak-anak dengan kaedah seperti ini, akhirnya mereka membesar dengan amalan serupa. Saya dulu pun seperti ini. Selera menggebu-gebu apabila berpuasa. Baru pukul 11 pagi, sudah buat rancangan apa yang hendak dimakan untuk berbuka. Dan apa yang hendak dimasak untuk bersahur. Akhirnya makna puasa itu hanya difahami secara luaran semata-mata.
Dan hari ini saya berusaha untuk menghayati makna puasa yang sebenar. Saya berusaha untuk berpuasa melawan kehendak diri. Berpuasa daripada melihat kelebihan orang lain sehingga tidak nampak kelebihan yang Allah berikan dalam diri sendiri. Berpuasa daripada mencari silap orang lain sehingga lupa silap sendiri.
Dan berpuasa daripada memikirkan ‘aku lebih baik’ daripada orang lain. Seandainya saya dan anda semua mampu membanteras perasaan ini daripada menguasai diri, puasa kita di bulan mulia ini akan lebih bermakna. Mampukah kita berjuang untuk menahan semua itu? Tepuk dada, kurangkan nafsu...
Bulan tepat untuk bertaubat
Kita bukan manusia sempurna jauh sekali tidak berbuat dosa. Maknanya, sebagai manusia, tidak ada seorang pun daripada kita tidak berbuat dosa. Jatuh ke dalam lembah maksiat dan berbuat kesalahan adalah wajar bagi manusia. Hakikatnya, manusia memang mudah lupa dan dekat dengan kesalahan. Tetapi itu bukan alasan untuk kita manusia, terus-terusan terjatuh dalam lumpur kemaksiatan dan dosa, kerana sebaik-baik orang berdosa adalah mereka yang berusaha untuk bertaubat dan membersihkan dosanya.
Ramadan ialah bulan penuh rahmat dan keberkatan. Rasulullah SAW menjelaskan, Ramadan ialah penghulu (pemimpin) daripada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal keistimewaan Ramadan saja sukacita apabila Ramadan akan tiba.
Sepatutnya kita mempersiapkan diri baik-baik guna menyambutnya. Bagaimana caranya? Kita oleh mulakan dengan mengulangi kembali pelajaran-pelajaran berkaitan dengan puasa. Hendaknya kita memasuki dan menjalani puasa dengan pengetahuan, pedoman-pedoman baik, serta pengalaman-pengalaman lalu. Pelajaran itu boleh berkaitan dengan rukun, syarat sah, syarat membatalkan, perkara-perkara sunnah dan makruh, serta hikmah yang terkandung di dalamnya. Ya lah, bukan kita tidak tahu semua itu tetapi kerana Ramadan itu datangnya setahun sekali, sudah tentu kita ingat-ingat lupa banyak perkara.
Oleh itu, molek sekali kalau kita buka balik kitab lama untuk ulang kaji mengenai puasa. Kita perlu membuat persiapan rohani, iaitu menenangkan jiwa dalam menghadapi bulan puasa. Rasulullah dan para sahabat mempersiapkan kedatangan Ramadan sejak enam bulan sebelum bulan tersebut tiba. Bermula dari bulan Rejab dan Syaaban, kita banyakkan doa, semoga Allah SWT memberi kesihatan, tenaga, kelapangan, dan kesempatan mengerjakan puasa. Semoga Allah SWT memberikan taufik dan hidayah supaya kita dapat berpuasa dengan hati jujur, tulus dan jauh daripada riak, ujub, dan segala penyakit yang menghilangkan pahala puasa. Semangat pun perlu kita kuatkan untuk melaksanakan satu bentuk latihan dengan sempurna agar kita memperoleh hidayah sebagai orang yang bertakwa.
Selamat menjalani ibadah puasa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...