PAGE
▼
Sabtu, Ogos 14, 2010
Tanglung tambah keunikan ibadah Ramadan di Mesir
BEBERAPA minggu sebelum Ramadan, warga Mesir sudah mula menghias rumah, kedai, masjid serta bangunan dengan pelbagai jenis hiasan. Kertas pelbagai warna digunting dengan bentuk yang comel, diikat tali dan digantung menghiasi bangunan serta jalanan.
Pelajar Malaysia di Mesir tidak melepaskan peluang menghias kediaman dengan poster, tanglung kertas bermacam ukuran, bentuk, warna yang dihiasi ayat al-Quran serta hadis menceritakan kemuliaan Ramadan dan kelebihan berpuasa.
Kehadiran lampu kelip-kelip dan fanous iaitu tanglung berisi lampu pelbagai saiz, corak dan warna menghiasi bangunan serta tepi jalan menambah kemeriahan menghidupkan lagi suasana malam sepanjang Ramadan. Lebih menyeronokkan, melihat kanak-kanak riang bermain sambil membawa fanous kecil di tangan.
Subuh di Mesir pada Ramadan ini seawal jam 3.46 pagi dan menjadi budaya di sini, musaharti iaitu orang yang bertugas mengejutkan warga setempat untuk bangun sahur akan memecah keheningan pagi sama ada dengan memukul gendang atau laungan suara yang kuat.
Dua manisan istimewa, Kunafah dan Qathaif disediakan ketika Ramadan. Kunafah daripada tepung, dibentuk panjang dan halus seperti mihun. Qathaif berbentuk bulat dan leper seperti lempeng kecil, lazimnya dimakan dengan madu atau jem coklat. Lebih dikenali dengan nama dorayaki bagi pelajar di sini. Manisan ini mudah dibawa sebagai bekal bersahur ketika iktikaf di masjid.
Lagi satu budaya masyarakat Mesir yang mengagumkan ialah tidak kira di mana saja, dalam kereta api, teksi, bas atau di kedai, semua khusyuk membaca al-Quran yang menjadi pendamping setia siang dan malam.
Ramadan bulan paling seronok bagi pelajar yang ingin menyimpan duit kerana warga Mesir bersungguh-sungguh menyahut seruan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Boleh dikatakan hampir semua masjid dan sesetengah tempat makan menyediakan juadah berbuka puasa percuma yang dinamakan Maidah ar-Rahman. Juadah seperti kurma, nasi dan lauk sama ada ayam atau daging disediakan percuma. Begitu juga kurma diagihkan kepada sesiapa saja menjelang azan maghrib.
Jumlah masjid yang banyak di sini menarik minat pelajar berkonvoi setiap malam dari satu masjid ke satu masjid untuk mencuba suasana tarawih di masjid berbeza. Yang pastinya, solat terawih menggamit kami kerana bacaan ayat al-Quran yang lunak oleh imam bertugas dengan bacaan qiraat dari imam 10.
Sudah menjadi kebiasaan bagi warga Mesir beriktikaf dan qiamullail di masjid. Bagi pelajar Malaysia, kami akan tidur dulu di rumah dan bergerak ke masjid agak lewat, ada kalanya menunggu dari solat tarawih untuk terus beriktikaf di masjid.
Qiamullail dimulakan seawal jam 3 pagi. Kemudian kami akan bersahur di masjid, seterusnya solat subuh berjemaah sebelum pulang ke rumah dan memulakan kegiatan harian seperti biasa.
Penghujung 10 malam terakhir Ramadan adalah pemandangan yang susah untuk dilihat di Malaysia, tetapi ia biasa di Mesir iaitu masjid dipenuhi jemaah menunaikan terawih dan beriktikaf kerana takut tidak berpeluang bertemu Ramadan akan datang.
Teringat tahun pertama pengajian di sini, kami bertarawih di Masjid Amru al-Asr pada malam 27 Ramadan berimamkan Syeikh Jibreel. Kami bergerak ke masjid itu seawal jam 3 petang tetapi barisan jemaah ketika itu sudah melimpah sehingga memenuhi jalan raya. Hidupnya suasana Ramadan di sini merantai hati pelajar Malaysia untuk bercuti dan memanfaatkan Ramadan di bumi kinanah ini.
Pemandu teksi yang sering tawar-menawar harga, kini sanggup memberkhidmat secara percuma. Begitulah unik dan istimewanya Ramadan di bumi Mesir ini. Mungkinkah satu hari nanti, suasana sama dapat dirasai di bumi Malaysia tercinta.
Penulis, Anisah Shamilah, ialah pelajar perubatan di Universiti Cairo, Mesir
Rujuk : BH 2010/08/14
mimpilah msia kite jadi macam suasana seperti disana...msia makin teruk adalah...harga barang makin naik ada...inikan percuma dgn niat sedekah...indahnya ramadhan di Mesir...:)
BalasPadam