PAGE
▼
Selasa, Oktober 26, 2010
3 tempat untuk elak gangguan suami & anak
Anita wanita yang mempunyai kerjaya hebat dan sentiasa sibuk. Dia juga amat bertanggungjawab terhadap tugas-tugas isteri dan ibu yang disandangnya di rumah. Ada masanya dia merasakan penderaan atas emosi dan fizikal jika terlalu letih, tertekan dan terdera oleh keadaan.
Bukankah bagus jika dapat duduk di rumah, menikmati harta suami dan cukup menjaga anak saja daripada hidup dengan beban tanggungjawab pekerjaan yang meletihkan? Tetapi, bukankah sifat-sifat wanita yang sempurna itu ada pada mereka yang mandiri, kuat bekerja, berilmu dan bermuamalah dengan masyarakatnya? Kalau hanya duduk di rumah dan tidak berfungsi sebagai insan kamil pun tidak berguna juga, bukan? Pasti timbul juga rasa bosan, jemu dan malas akibat persekitaran yang tidak sihat.
Wanita bekerja dituntut bersikap cekap, cepat, cerdas dan cemerlang mengharungi rintangan kehidupan. Alahai kasihannya mereka yang kadang-kadang tidak dihargai oleh suami dan anak-anak. Hanya iman di dada yang mampu membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang sampai nafas yang terakhir.
Oleh itu tidak salah apabila isteri mempunyai tempat-tempat rehat yang baik untuk menenangkan fikiran dan perasaannya. Di situlah dia mendapatkan kebebasan sebagai seorang insan secara bersendirian. Bukankah kita semua datang ke dumia ini sendirian dan akan pergi ke alam kuburpun sendirian, dibangkitkan di akhirat sendirian dan disoal di hadapan Rabbul Jalil Allah sendirian? Jadi tidaklah salah kalau kita berfikir tentang diri sendiri untuk menyelamatkan hidup di dunia dan di akhirat.
Bukankah ramai isteri dan ibu melalaikan anggungjawabnya sebagai hamba Allah kerana gangguan suami dan anak? Mereka terlalu sibuk dengan rumahtangga dan kerjaya sehingga tidak mampu beribadah kerana keletihan.
Kalau dahulu sebelum berkahwin boleh solat dengan sempurna dan membaca al-Quran menurut rutin, tetapi kini tidak mampu lagi mengamalkan semua itu kerana sibuk menguruskan suami dan anak-anak.
Tapi anehnya, mengapa sempat pula untuk shopping? Bercuti setiap tahun dan melabur duit untuk kecantikan sentiasa ada masa. Jika dibiarkan keadaan sebegini, kita akan berasa kering rohani, hilang daya kawalan iman dan akhirnya tenggelam dalam arus dunia yang melalaikan. Kebahagiaan yang dirasai tidak lagi nikmat dan berkat kerana Allah pasti akan mencabut rasa tenteram dari hati orang yang lalai.
Kepada isteri-isteri yang mengeluh tidak bahagia, didera anak dan suami, marilah kembali ke jalan Allah. Carilah tempat-tempat untuk anda melepaskan diri dari kongkongan suami, anak dan kerjaya yang menekan perasaan anda. Tempat-tempat yang tenang itu adalah :
1 – Di atas sejadah
Ramai yang berdisiplin untuk dunia tetapi tidak untuk akhiratnya. Mengapa anda boleh menjaga diet atau menghadiri kelas-kelas senaman dengan disiplin sedangkan solat selalu tertinggal atau ditinggalkan ?
Anda boleh berjaga semalaman untuk melayan suami tetapi tidak pula ingat malam pertama di dalam kubur. Anda boleh mengikut apa saja kehendak anak, tetapi tidak mahu mengikut suruhan Allah. Bukankah anda seolah-olah hamba kepada suami dan anak-anak jika terlalu cintakan mereka melebihi diri sendiri?
Bukankah diri anda juga berhak mendapatkan kebebasan dan tidak boleh diperhamba oleh manusia lain? Jika anda berasa susah hati kerana suami dan anak-anak, sesungguhnya itu adalah balasan yang sangat berbaloi bagi sesiapa yang lupakan Allah.
Lepaskanlah segala ikatan yang menghalang kita dari rahmat Allah. Bukan bermakna terus melupakan anak dan suami, tetapi jadikanlah meraka sebagai pembangkit semangat untuk lebih mendekati Tuhan. Di atas sejadah, di situlah ketenangan.
Hanya dengan melepaskan segala ikatan dunia, kita boleh melupakan rasa sedih, kecewa, benci, takut dan risau yang diwariskan oleh dunia kepada kita.
Berhentilah berfikir tentang dunia yang suka mendera kita, alihkan tumpuan kepada alam akhirat dan janji-janji Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Berfikirlah tentang kemanisan syurga dan kasih sayang Allah yang melimpah dalam kehidupan kita.
2 – Di rumah anak-anak yatim & bersama orang sakit
Ketenangan hanya akan hadir di hati yang insaf. Betapa beruntungnya kita yang masih diberi peluang dan kekuatan untuk merasai kehidupan sebagai hamba yang diberi cukup nikmat.
Jika anda seorang isteri yang memiliki rumah, kerjaya, suami dan anak-anak yang sihat, maka apalagi nikmat yang belum anda rasai, apakah ada lagi nikmat Allah yang tidak cukup untuk anda? Tidak cukupkah Allah menyayangi anda? Tidak cukupkah Allah memaafkan dan berlembut kepada anda?
Mengapa anda membalas kenikmatan dan kasih sayang Allah dengan kelalaian dan maksiat? Bukankah suami dan anak, harta dan pangkat itu datangnya dari Allah, mengapa anda membalas jasa-jasa Allah dengan melupakan-Nya? Lihatlah mereka yang miskin, sakit dan terlantar. Tidakkah cukup tayangan kisah benar sebegini menyedarkan hati kita?
3 – Di atas kubur
Kubur merupakan tempat yang tenang dan boleh memberikan kesedaran pada jiwa manusia. Di situ manusia akan ingat dari mana dia datang dan ke mana dia akan pergi. Kita melalui alam rahim, alam dunia, alam kubur dan alam akhirat.
Dunia menjadi tempat penentuan adakah kita akan selamat untuk perjalanan ke destinati seterusnya. Anak dan suami adalah dunia anda, adakah mereka boleh menyelamatkan anda daripada seksa kubur atau mungkin merekalah sebenarnya yang menjadi penyebab anda mendapat seksa kubur dan seksa akhirat yang abadi?
Renung-renungkan....
Rujuk : Dr Juanda Jaya MW#1330
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...