BH 2010/10/19 ~ Keluarga percaya tunang sembunyikan Rozaliya
Tindakan suspek cuba larikan diri curigakan bakal mentua
BANDAR CHENEH BARU: Keluarga Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan kini bingung apabila tunang mangsa dikatakan cuba melarikan diri dan sukar dihubungi sejak semalam.
Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, berkata dia sekeluarga cuba menghubungi tunang anaknya berkali-kali sejak pagi semalam, namun gagal sehinggalah bakal menantunya itu menjawab panggilan jam 5.30 petang, menyatakan dia berada di Johor Bahru.
“Apabila dihubungi semula adik saya selepas itu, dia mendakwa berada di Melaka pula. Saya bingung dengan jawapan diberikan dan kini mula mengesyaki dia cuba menipu kami kerana keretanya masih berada di rumahnya di sini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Sabariah berkata, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena mengenai hubungan pasangan itu kerana Rozaliya pernah mengadu dia tawar hati berkahwin pada 12 November depan, serta pernah meminta diputuskan pertunangan.
“Saya juga ada menghubungi rakan tunang anak untuk mengesahkan sama ada dia benar-benar pulang ke pejabat seperti dikatakannya ketika meninggalkan Rozaliya di Kuantan. Saya terkejut kerana ternyata semua yang dikatakannya meleset dan tidak benar,” katanya.
Sabariah berkata, Rozaliya yang bekerja sebagai pembantu kedai pernah mengadu kepada seorang bapa saudaranya yang mereka sering bergaduh, malah tunangnya pernah melakukan perkara yang tidak baik terhadapnya.
Dalam pada itu, Sabariah berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian datang ke rumahnya petang semalam, memaklumkan ternampak anak gadisnya sedang makan bersama seorang lelaki di gerai makan berhampiran Pasar Besar Kuantan, kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
“Menurut lelaki itu, dia terpandang gadis seperti Rozaliya yang dilihatnya di televisyen ketika siaran berita di TV1 malam kelmarin. Malah, dia yakin tidak tersilap orang selepas membaca dan melihat gambar Rozaliya di akhbar hari ini (semalam),” katanya.
Sabariah berkata, lelaki terbabit meminta supaya dia ke Kuantan malam ini untuk mencari di sekitar kawasan berkenaan dan mengecam sendiri gadis itu.
Di KUANTAN: Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, siasatan terperinci dalam semua aspek sedang dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti kehilangan gadis berkenaan.
“Pasukan penyiasat kita turut menemu bual rakan dan kenalannya sebelum dapat mengesahkan gadis itu diculik atau kemungkinan menghilang diri dengan alasan tertentu,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Shamsul Sazali Md Shah, 37, berkata pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan anak saudaranya itu.
“Kami sendiri sudah buntu dan tidak tahu sama ada dia benar-benar diculik, atau sesuatu yang buruk menimpanya atau kemungkinan melarikan diri.
“Saya bersama bapanya serta seorang jiran baru pulang dari Kuala Lumpur selepas mencarinya di sekitar Chow Kit, Puchong dan beberapa tempat lain.
“Kami berdoa dan berharap dia akan pulang dengan selamat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Gadis hilang bekerja di kedai serbaneka, enggan teruskan perkahwinan
KUANTAN: Kehilangan Rozaliya Mat Lazim, 20, yang bakal berkahwin pada 12 November ini sejak seminggu lalu, terjawab apabila beliau melarikan diri dan bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana enggan meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24.
Gadis yang dikatakan hilang ketika membeli-belah kelengkapan perkahwinan di sebuah pusat beli-belah di sini bersama Mohd Helmi, Rabu lalu, bekerja di kedai serbaneka di ibu kota sejak dua hari lalu. Rozaliya bagaimanapun dikesan jam 12.30 tengah hari semalam, selepas pengurus kedai serbaneka itu yang terlihat gambar Rozaliya dalam akhbar menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini.
Bapanya, Mat Lazim Mat Ismail, 52, berkata anaknya memaklumkan perubahan sikap Mohd Helmi menjadi pemarah dan suka mengongkong membuatkan Rozaliya tawar hati dan memutuskan melarikan diri bagi mengelak perkahwinan diteruskan.
Beliau berkata, berikutan tindakan yang diambil anaknya itu, keluarganya bersetuju membatalkan perkahwinan dirancang sebelum ini dan perkara berkenaan akan dibincangkan dengan lebih lanjut antara dua pihak.
"Mereka bertunang pada April tahun lalu selepas saling mengenali empat bulan. Rozaliya tawar hati untuk mengahwini Mohd Helmi lalu bertindak melarikan diri selepas takut dan tidak tahu bagaimana mahu memaklumkannya kepada keluarga," katanya ketika ditemui pada sidang media yang diatur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.
Hadir sama ialah Mohd Helmi dan beberapa ahli keluarga Rozaliya, manakala ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, tidak datang kerana kakinya dipatuk ular, Isnin lalu.
Rozaliya yang kelihatan sugul dan hanya menundukkan muka enggan ditemuramah dan hanya mendiamkan diri sepanjang sidang media berlangsung. Terdahulu pada hari kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumah keluarganya dengan berpakaian blaus berwarna hitam dan seluar jeans gelap bersama Mohd Helmi kira-kira jam 11 pagi.
Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin di sini, Mohd Helmi dikatakan terpaksa pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana terpaksa menyelesaikan satu urusan penting dan berjanji untuk menemui Rozaliya semula pada kira-kira jam 3 petang pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata Rozaliya pergi ke Kuala Lumpur sehelai sepinggang pada hari dia dilaporkan hilang.
“Sebaik menerima maklumat, sekumpulan anggota polis bergegas ke kedai terbabit dan membawa pulang gadis berkenaan dan tiba di balai polis kira-kira jam 8 malam sebelum kita menghubungi keluarganya bagi memaklumkan penemuannya,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai pembatalan perkahwinannya, Mohd Helmi berkata, beliau menyerah perkara itu kepada kedua-dua pihak keluarga untuk membincangkannya.
"Saya maafkan dia (Rozaliya) atas apa yang berlaku. Saya memang sayangkan dan suka kepadanya, tapi selepas perkara ini saya tidak tahu nak gambarkan macam mana perasaan saya," katanya yang bersyukur Rozaliya ditemui semula dengan keadaan selamat.
BH 2010/10/22 ~ Sikap tunang lukakan hati saya : Rozaliya
CHUKAI: "Hati saya sudah tawar kerana sikapnya (tunang) tidak tahu menghargai dan banyak kali tindakannya melukakan hati dan perasaan saya. Lebih baik berseorangan buat masa ini daripada sentiasa terluka akibat selalu berselisih faham dengan dia dan hati saya kini sudah tertutup untuk dia,” kata Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang menghilang diri selama seminggu sebelum ditemui di Kuala Lumpur, kelmarin.
Katanya, sebelum pergi ke Kuala Lumpur dia memberi barangan perkahwinan yang dijadual 11 November ini bersama Mohd Helmi di Kuantan, sebelum bekas tunangnya pulang ke pejabat di Cheneh Baru.
“Saya kemudian pergi ke sebuah bank berdekatan mengeluarkan wang untuk membuat bayaran tempahan set pelamin dan sedar diekori dua lelaki. Sebaik mengeluarkan wang kira-kira RM1,500, saya melalui jalan belakang untuk menunggu tunang, Mohd Helmi Mohd Nor di depan Pasar Besar Maidin dan ketika hendak memasukkan wang ke dalam beg tangan, tiba-tiba seorang daripada dua lelaki terbabit meragut wang itu.”
“Saya terkejut dengan kehilangan wang itu dan ketika fikiran berkecamuk saya terus berjalan sehingga sampai terminal bas. Saya kemudian membeli tiket ke Kuala Lumpur dan turun di Bukit Bintang,” katanya yang bersyukur kerana selamat pulang dan kembali ke pangkuan keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...