PAGE

Ahad, November 14, 2010

Bahana cemburu - cara terbaik hindari rasa sakit hati



Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

SETIAP individu tentu pernah berasa cemburu. Tidak kiralah dalam konteks perhubungan cinta antara lelaki dan wanita, keluarga atau paling tidak iri hati ketika di bangku sekolah. Meniti alam dewasa, mungkin pernah antara kita merasa cemburu dengan teman sekerja atau tertanya-tanya mengapa dirinya lebih berjaya.

Sama ada rasa cemburu akhirnya mendorong diri kita menjadi insan lebih baik atau hanyut diselubungi perasaan negatif hingga membawa kepada hasad dengki, situasi sebegini dianggap lumrah kehidupan. Rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama kelamaan perasaan negatif yang bertunas di hati boleh meledak api emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu mencetuskan perbalahan lebih besar. Ibarat gunung merapi yang menanti waktu untuk meletus, konflik cemburu boleh bertukar menjadi tragedi lebih dahsyat.

Faktor iri hati itu jika diselidik, tiada tembok sempadannya. Sama ada antara lelaki bersama lelaki, perempuan dengan perempuan atau lelaki dengan wanita. Ada banyak sebab yang memungkinkan perasaan cemburu timbul.

Antara faktor cemburu termasuk melihat kejayaan orang lain; kebahagiaan yang mereka kecapi; kelebihan dari segi paras rupa; kenaikan pangkat; perhatian yang diberi melebihi diri sendiri dan tarikan lain yang membuatkan seseorang itu lebih menonjol.

Jika dikaji, tiada sebab untuk seseorang cemburu dengan kejayaan orang melainkan dirinya sendiri harus berusaha mengubah nasib. Jangan jadikan perasaan cemburu dan iri hati sebagai penghalang untuk terus mengejar kemajuan. Tidak salah untuk berasa cemburu ke atas kejayaan individu lain asalkan perasaan itu diselangi dengan semangat baru untuk sama-sama beroleh kejayaan.

Apabila anda dirundung rasa cemburu, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah ketepikan perasaan hasad dengki yang boleh memakan diri. Sama ada dalam hubungan cinta ataupun konflik dengan rakan-rakan, pastikan anda sentiasa berfikiran positif menangani setiap isu mendatang.

Tarik nafas dalam-dalam kerana ia mampu memberi motivasi dan semangat baru untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan. Andai sudah redakan diri, apa kata minum air untuk memastikan diri tenang.

Jangan bangkitkan konflik, sebaliknya hindari daripada berdepan dengan individu yang anda tidak gemari. Jauhi mereka seketika bagi membolehkan anda mampu mengumpul kekuatan serta semangat baru dalam hidup.

Pilihan bersendiri seharusnya dimanfaatkan untuk berehat dan mencari sedikit ketenangan. Jika tidak mahu diri tersisih atau sunyi, sibukkanlah diri dengan bertemu sahabat lama untuk meredakan tekanan.

Dekatkan diri dengan Yang Maha Esa kerana itulah sumber kekuatan ketika berdepan situasi sukar.

Bagaimana mahu hentikan rasa cemburu?

1. Ketahui punca

Tiada sebab cemburu jika kalau kita tidak tahu puncanya. Selidik mengapa anda cemburu hingga mencetuskan rasa tidak puas hati, tersinggung atau kecewa dengan orang sekeliling. Tentu ada sebab mengapa anda kecil hati.

2. Tarik nafas dalam-dalam

Jangan cepat melenting, sebaliknya fikir secara positif dengan menarik nafas dalam-dalam biarpun ketika berdepan dengan individu yang menyinggung hati anda. Cuba jadi individu profesional walaupun ketika berdepan dengan orang yang anda sudah jelak.

3. Menangis semahunya

Tidak salah mengekspresi diri dengan menangis. Pastikan anda tidak menangis di depan ‘lawan’, sebaiknya cari waktu terbaik untuk menyendiri atau bersama dengan orang yang anda percaya. Menangis sepenuh hati mampu meredakan tekanan.

4. Berfikiran positif

Buang jauh-jauh unsur negatif dalam diri, sebaliknya kembalikan aura positif. Cuba alih rasa cemburu dengan memikirkan benda yang baik-baik. Ibarat kata orang belajarlah memujuk diri.

5. Berhenti untuk membandingkan diri anda dengan orang lain

Alamat memang tidak akan habis cemburu jika sibuk membandingkan nasib anda dengan orang lain.

6. Jangan kecewa dengan diri sendiri

Setiap orang mempunyai kelemahan diri dan belajarlah mengakui tiada siapa yang sempurna. Positif dalam diri resipi untuk kurang berasa cemburu.

7. Percaya diri

Ketepikan rasa sakit hati, lantas percaya kepada bakat dan rezeki yang mendatang. Tidak perlu menjadi orang lain atau mempunyai perasaan hasad dengki yang akhirnya memakan diri.

8. Bekerja keras

Motivasi diri dengan berazam mengubah personaliti sedia ada. Ibarat menjadi lebih baik untuk hari esok berbanding hari ini. Tumpuan berikutnya untuk menjadi insan berkualiti yang menjadi rebutan semua orang. Akhir sekali, sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan rezeki dan kesihatan yang baik.

Semoga bermanafaat.



Sumber rujukan : Fairuz Zaidan [fairuzaidan@bharian.com.my] di BHarian 06/11/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...