Minggu lepas kita dikejutkan dengan satu lagi episod “Malaysia Boleh”. Dilaporkan, kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di sini terbongkar selepas polis menahan enam suspek sebaik saja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000, pada 01/11/2010 lepas. Suspek terbabit termasuk pemilik hospital, isterinya dan anak perempuan mereka serta tiga kakitangan ditahan dalam Ops Pintas Sayang yang dilancarkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman.
REKOD ante-natal palsu bayi turut disediakan.
Dalam serbuan di hospital itu yang diketuai Asisten Superintendan Nordin Ibrahim bersama lebih 20 anggota hasil maklumat awam, polis juga merampas sijil lahir bayi perempuan berusia seminggu itu dan wang tunai RM21,000 dipercayai yang dibayar suami isteri terbabit. Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati pasangan terbabit membeli bayi perempuan itu selepas berurusan dengan hospital berkenaan sejak sebulan lalu dan mereka sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan. Dipercayai, ibu kandung bayi itu dipercayai keturunan Melayu, manakala bapanya seorang warga Pakistan.
Menurut Asisten Superintendan Nordin Ibrahim lagi, hospital berkenaan yang dikatakan dimiliki seorang doktor bergelar Datuk, dipercayai menjalankan kegiatan menjual bayi sejak lebih 10 tahun lalu. Hospital itu dipercayai memalsukan maklumat ibu bapa kandung bayi terbabit bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit mendapatkan sijil kelahiran bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Seorang wanita yang juga kakitangan hospital berkenaan, turut mengiringi pasangan terbabit ke JPN di Putrajaya sejurus selepas urusan jual beli bagi membantu mendaftarkan kelahiran bayi itu dengan menamakan suami isteri terbabit sebagai ibu dan bapa kandung yang sah.
Difahamkan, harga bayi yang dijual sindiket itu boleh mencecah lebih RM30,000 mengikut bangsa dan jantina. Harga bayi lelaki dikatakan lebih mahal yang biasanya dijual antara antara RM15,000 ke RM20,000. Bayi berbangsa Cina pula paling mahal dan dijual mengikut berat, iaitu RM10,000 sekilogram berikutan permintaannya tinggi dan sukar diperoleh. Jika bayi itu beratnya tiga kilogram, maknanya harga bayi itu adalah RM30,000, berbeza dengan bangsa lain.
Difahamkan, kebanyakan wanita menjual bayi itu kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan perubatan yang mencecah sehingga RM5,000. Selalunya yang datang ke situ adalah wanita warga asing yang mengandung anak luar nikah selepas menjalin hubungan dengan lelaki senegara atau tempatan. Oleh kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan tidak mahukan bayi itu, mereka datang ke hospital berkenaan yang sememangnya diketahui menjalankan kegiatan menjual bayi. Si ibu akan bersalin di hospital itu dengan kos bersalin serta rawatan ketika pantang ditanggung hospital berkenaan, selain turut diberikan sedikit habuan selepas menyerahkan bayi mereka.
Rujuk BHarian 02/11/2010 untuk berita asal.
Tahukan anda, bin atau bintikan bayi dengan nama bapa angkat akan mencetus masalah seperti wali, perwarisan?
PENDEDAHAN mengenai sindiket penjualan bayi yang mampu mendaftar kelahiran dan pada masa sama berupaya menghapuskan identiti ibu bapa kandung bayi akan menyebabkan kecelaruan nasab dan keturunan terutama jika yang membeli adalah orang Islam.
Mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus dalam Islam, namun perbuatan mendaftarkan nama anak angkat dengan berbin atau bintikan nama bapa angkat adalah haram. Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Panggillah anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” – (Surah al-Ahzab, ayat 4 dan 5)
Sementara Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membinkan (atau binti) kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar, maka ia dilaknati oleh Allah.”
Dalam suatu riwayat oleh Aisyah Abu Bakar, Abu Huzaifah ibn Utbah dan Salim Mawla Abu Huzaifah berkata: “Abu Hudhaifah, salah seorang yang berjuang dalam perang Badar dengan Nabi Allah, mengambil Salim sebagai anaknya dan mengahwini anak buah perempuannya Hind binti Al-Wahd bin 'Utba padanya dan Salim sebagai seorang hamba dibebaskan daripada seorang wanita Ansar. Nabi Allah juga mengambil Zaid sebagai anak lelakinya.
Sewaktu zaman Jahiliah sebelum Islam adatnya adalah biasa, jika seorang mengangkat seorang anak lelaki, orang memanggilnya dengan nama bapa angkatnya yang dia akan mewarisi juga, hingga Allah mewahyukan: “Panggil mereka (anak lelaki angkat) dengan (nama) bapa mereka.”
Orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya mengekalkan nama bapa sebenar anak itu, jika bapa sebenar itu beragama Islam atau dibinkan kepada Abdullah jika anak angkatnya itu bukan berasal daripada orang Islam. Menukar nama bapa sebenar adalah seperti menafikan dan memutuskan perhubungan nasab antara anak dengan ibu bapanya dan melucutkan hak perwalian bapa sebenar ke atas anaknya. Ibnu al-Qayyim dalam kitab Zad al-Maad, mencatatkan: “Sesungguhnya nasab itu sabit pada asalnya ialah kepada bapa.”
Hak menetapkan nasab itu ialah hak Allah dan memelihara hak Allah serta hak kanak-kanak itu wajib kerana Islam memelihara asal keturunan atau nasab penganutnya.
Soal mendaftarkan anak angkat kepada bapa angkat jika tidak diberi perhatian akan menimbulkan kecelaruan generasi dan keturunan umat Islam. Seorang gadis yang diwalikan bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim.
Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali seperti bapa kandung. Jika ibu bapa angkat berpakat menyembunyikan perkara ini dan membiarkan bapa angkat mewalikan pernikahan anak angkatnya, maka perkahwinan itu tidak sah (fasid).
Bagaimana pula dengan status nasab anak yang lahir daripada pernikahan yang fasid. Ini perlu diberi perhatian ibu dan bapa angkat supaya tidak mengambil ringan hukum agama yang akibatnya nanti hanya akan mendatangkan keburukan kepada anak angkat mereka.
Hubungan anak angkat dengan keluarga angkat juga dibatasi hukum hakam syarak, walaupun anak diambil, dipelihara sejak kecil dan tinggal di bawah satu bumbung seperti masalah aurat serta pergaulan kerana adik beradik angkat adalah bukan mahram.
Dalam pewarisan, anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan ibu bapa angkat kecuali ada sebab lain yang diharuskan syarak seperti hibah atau wasiat.
Jika status anak angkat disembunyikan bagi mendapat bahagian dalam harta waris, maka ia akan menghalang keluarga sebenar yang lebih berhak, menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan keluarga. Harta diperoleh juga adalah haram kerana bukan haknya yang sebenar.
Sehingga kini, tiada peruntukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang membolehkan seseorang dihukum atas kesalahan menamakan anak angkat kepada bapa angkat.
Bagaimanapun, perbuatan seorang Islam menyerahkan, memberi atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaan kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan.
Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.”
Merahsiakan status anak angkat kerana takut anak itu kembali kepada keluarga asal adalah dilarang kerana ia umpama memisahkan kasih sayang dengan ibu, bapa atau keluarganya sebenar.
Ia juga akan menimbulkan kesan besar kepada perkembangan masyarakat dan keturunan umat Islam kerana dikhuatiri suatu masa nanti ramai anak yang diragui status keturunannya kerana kesilapan ketika mendaftarkan kelahiran. Walaupun anak dijaga pihak lain, asal usul keturunan perlu dikekalkan dan dipertahankan.
Rujukan : BHarian 02/11/2010 dan penulis asal artikel Kecelaruan nasab akibat jahil hukum anak angkat, Tuan Musa Awang ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), rujukan BH10/11/2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...