PAGE
▼
Rabu, Disember 01, 2010
Buku permasalahan perkahwinan, kekeluargaan
PERSOALAN undang-udang Islam sering membelenggu wanita hingga menyebabkan ada beranggapan undang-undang itu tidak menyebelahi atau menindas golongan hawa kerana kesusahan perlu dilalui bagi menegakkan hak mereka.
Tidak dinafikan ada kala, kelewatan atau tempoh berlanjutan kes itu bukan disebabkan undang-undang tetapi kelemahan pihak yang berurusan dengan mahkamah selain kurangnya kefahaman mengenai prosedur perlu diikuti.
Buku Dari Kamar Syariah tulisan Kamaazura Md Kamel, mungkin bukan jawapan untuk segala permasalahan membabitkan kes mahkamah, tetapi buku ini menyediakan maklumat supaya masyarakat celik undang-undang serta hak mereka. Memuatkan 72 soalan dan jawapan merangkumi isu kekeluargaan, buku terbitan Karya Bestari ini boleh dianggap sebagai khidmat nasihat percuma yang diperoleh pembaca yang berdepan masalah berkaitan undang-undang Islam.
Buku ini juga membicarakan soal hak isteri dalam perkahwinan, berkahwin tanpa kebenaran wali, apabila suami berkahwin lagi, cerai dan ingin rujuk, suami enggan mengaku jatuhkan talak, bekas suami cuai nafkah anak dan hak penjagaan sementara.
Selain buku Dari Kamar Syariah, koleksi siri soal jawab bagi merungkai kemusykilan masyarakat masa kini terbitan Karya Bestari turut menampilkan buku mengenai hati hasil karya pakar motivasi dan kaunseling keluarga, garapan Dr Robiah K Hamzah.
Buku bertajuk Rawatlah Hati setebal 450 halaman, dibahagikan kepada empat topik besar dengan sub topik iaitu Pembalut Hati Luka, Mari Merenung ke Dalam Hati, Menjenguk ke Sifat Hati dan Mengukir Pintu Bahagia.
Berlainan dengan buku menceritakan mengenai kaedah merawat hati, persoalan dibangkitkan dalam buku ini lebih dekat di hati pembaca kerana kebanyakan adalah masalah dihadapi ahli masyarakat seperti krisis kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Sumber : BHarian 01/12/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...