Assalamualaikum warahmatullah,
Dari anak kecil hingga yang dewasa, sebagai seorang muslim kita pasti tahu bagaimana untuk berselawat. Jika dahulu sewaktu kecil apabila sakit atau berada dalam ketakutan, orang tua biasanya akan menyuruh kita berselawat sebanyak mungkin.
Kita sebenarnya sudah lama didedahkan dengan selawat dan telah banyak kali juga diberitahu akan kelebihan selawat, namun tidak ramai yang memahaminya kerana tiada rasa dalam berselawat. Ada kemungkinan, ketiadaan rasa ini terbit dari tiada rasa cinta yang mendalam terhadap baginda Rasulullah SAW.
Dahulu semasa kecil, mak dan ayah selalu berpesan, “Kamu kalau berdoa jangan sekali-kali lupa berselawat. Nanti doa tak sampai.” Begitu juga mak selalu pesan, “Minum air ini, jangan lupa selawat 3 kali.”
Zaman dahulu, kebiasaannya, anak-anak hanya mendengar dan jarang benar bertanya itu ini. Ini mungkin kerana rasa takut atau hormat kepada mak dan ayah yang akan membuatkan anak-anak patuh setiap tutur kata tanpa banyak persoalan. Jauh bezanya dengan anak-anak zaman PS2 yang serba maju hari ini, mereka lebih kritikal dalam berfikir. Mereka lebih sukakan penjelasan logik yang dapat diterima oleh akal mereka.
Kita sebagai ibu bapa harus mempunyai ilmu dalam menyampaikan hal-hal kebaikan. Ini tidak bermaksud kita tidak boleh menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan agama. Maksudnya, kita perlu mempunyai teknik penyampaian yang betul, sesuai dengan keadaan hari ini. Tentu kita juga tidak mahu dikatakan mengajar anak-anak tetapi kita sendiri tidak memahami apa yang kita ajarkan.
Selawat boleh jadi salah satu perkara yang kian dipinggirkan dalam kehidupan hari ini. Mungkin tidak bagi golongan yang berpendidikan agama, namun, tidak mustahil jika mereka juga mula meminggirkannya kerana banyak ilmu teori dari praktikal.
Apakah amalan kita sehari-hari, selain daripada amalan wajib? Tidak ramai yang dapat meluangkan masa untuk mengerjakan solat sunat pada waktu siang hari akibat kekangan masa, kecuali bertahajud pada malam hari. Sebenarnya, keperluan banyaknya amalan tidak begitu penting tetapi yang paling penting adalah sesuatu yang dibuat atau amal itu biarlah berterusan walaupun sedikit. Berselawat juga merupakan amalan yang tidak rugi kita amalkan bila-bila masa, di mana saja... (NB: ….kecuali dalam toiletlah, ya...)
Selawat begitu penting dalam kehidupan kita. Mengapa dikatakan penting? Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab 33:56)
Umat Muhammad SAW sepatutnya tidak memandang remeh akan kepentingan ber kerana Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayang-Nya kepada Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Rasulullah SAW di hadapan para malaikat-Nya. Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Rasulullah SAW dengan mendoakan, mengucap selawat dan memohon keampunan baginya.
Kaum Muslimin sebagai umat Nabi SAW berkewajipan melahirkan rasa kasih, pujian, sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada baginda, kerana kedudukan dan kemuliannya melebihi para Nabi dan Rasul dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam sebagai memperkuatkan iman serta berpegang teguh kepada sunnah dan mengamalkan segala ajarannya sebagai pedoman hidup.
Dengan membaca selawat kepada Rasulullah SAW, setiap doa dan amalan-amalan yang lain akan diterima oleh Allah. Justeru itu selawat memainkan peranan penting dalam segala amalan hidup kerana ianya dapat mempengaruhi keberkatan dalam hidup manusia yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Lihatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Dailami yang bermaksud, “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat ke atas Nabi SAW.” (Hadis riwayat ad-Dailami)
Kita tentu tidak mahu penat-penat berdoa berjela-jela, tetapi tunggu-punya-tunggu, tidak juga dimakbulkan Allah SWT. Kenalah semak balik adab berdoa, sama ada cara kita betul ataupun salah.
Seterusnya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak duduk satu kaum dalam satu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka (Nabi Muhammad SAW) melainkan penyesalan akan menimpa mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)
Demi cinta pada Rasulullah SAW
Hari ini sudah ramai pemandu menggunakan GPS dalam pemanduan supaya cepat sampai ke destinasi yang dituju tanpa perlu menempuhi jalan sesat. Jika dahulu kita memandu tanpa GPS, kita mungkin tersesat jalan, menemui jalan mati dan menghabiskan banyak masa di atas jalanraya serta terpaksa berhenti beberapa kali untuk bertanyakan arah. Kini dengan adanya GPS, pemanduan kita menjadi lebih mudah, lebih efisien, lebih cepat dan produktiviti meningkat apabila cepat sampai ke destinasi yang dituju. Ini bukanlah satu promosi GPS, tetapi satu analog keperluan selawat.
Hebatnya berselawat boleh ditamsilkan sebagai GPS hidup tetapi ianya juga sebagai penghapus dosa yang amat mudah seperti yang diriwayatkan oleh ad-Dailami, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadis riwayat ad-Dailami)
Inilah lagi satu rahsia kenapa selawat itu penting dalam kehidupan kita. Berdasarkan hadis di atas, seandainya kita ingin mencintai baginda Rasulullah SAW, kita perlu mengikut apa yang dikatakannya dan apabila kita melihat pula bukti kebaikan dari perbuatan yang Baginda sarankan, maka kasih sayang kita kepadanya akan lebih bertambah dari hari ke hari hingga terasa satu perasaan yang dalam ketika menyebut namanya.
Mulai hari ini, cubalah kita meletakkan satu peringatan untuk berselawat di telefon bimbit setiap satu jam, terutamanya sewaktu bangun tidur dan sebelum tidur. Jangan ditanya berapa kali kita perlu berselawat, sebaik-baiknya janganlah diperhitungkan berapa banyak kita harus berselawat sebaliknya hitunglah berapa ikhlas kita berselawat.
Jika nombor menjadi objektif, hilang rasa ‘nikmat’ dan timbullah tension sengsara kerana terkejar-kejar hendak mencukupkan angka. Biar sekali asalkan ada rasa ikhlas, biar sekali asalkan datangnya dari jiwa kerana ini akan membuatkan kita lebih dekat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda yang bermaksud, “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah) dan dalam hadis yang lain pula disebut, “Barangsiapa berselawat untukku di pagi hari sepuluh kali dan di petang hari sepuluh kali, mendapatlah ia syafa’atku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Setiap hari tanpa sedar, kita akan mengalami tekanan, sama ada kecil mahupun besar dan kita perlukan penurunan gelombang otak yang stres dengan kadar segera. Bagaimana caranya? Selepas membaca entry ini, mulai hari ini, marilah kita mengamalkan selawat dan mari juga kita mulakan berselawat setiap kali kita hendak minum. Minumlah apa saja yang berkenan di tekak, asalkan tidak melanggar syarak, baik air limau, air bandung, air tebu, air soya, air cincau, teh tarik, nescafe tarik atau apa saja, tidak semestinya seperti fahaman selalu yang memerlukan air kosong.
Berselawatlah kerana baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa dan penghapus dosa) bagimu.” (Hadis riwayat Ibn Murdaweh) dan sabda baginda lagi yang bermaksud, “Manusia yang paling utama terhadap diriku pada hari qiamat, ialah manusia yang paling banyak bershalawat untukku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Renung-renungkan dan mari beramal!
Rujukan asal kompilasi : Mudahnya hidup dengan selawat ~ Dr Azhar Sarip, MW#1384 dan blog.its.ac.id
Capaian entry berkaitan :
PAGE
▼
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...