PAGE

Sabtu, Disember 18, 2010

Wanita koma ditikam 19 kali, disimbah asid


NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid. Bayi dalam kandungan maut


ULU TIRAM, 18/12/2020 : Seorang wanita yang mengandung enam bulan koma manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas dia ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, di sini pagi kelmarin.

Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Intensif Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru berikutan cedera di bahagian perut, selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki. Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Nurain Ashikin Jemedi, 17, didatangi seorang lelaki berusia 42 tahun yang kemudian secara tiba-tiba menikam mangsa sebelum menyimbah cuka getah ke seluruh badan mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada bersama adik perempuannya berusia 13 tahun dan anak saudaranya berusia 2 tahun, manakala ibunya keluar menoreh getah di kawasan berhampiran rumah mereka.

Suspek dikatakan menyerbu masuk rumah mangsa sebelum menendang pintu biliknya dan menyerang mangsa dengan menikamnya sebanyak 19 kali. Mangsa cuba melarikan diri ke bilik air, namun suspek mengejar mangsa serta menyimbahnya dengan cuka getah menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan. Adik mangsa yang berada di tempat kejadian menelefon kakak mereka bagi memaklumkan kejadian itu yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, ketika mengesahkan kejadian berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri sejurus kejadian. Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca akibat cemburu selepas mangsa yang mengenali suspek sejak berusia 12 tahun, dikatakan keluar bersama lelaki lain.

“Anak dalam kandungan mangsa meninggal dunia akibat terkena tikaman suspek, malah mangsa juga kini koma dan hampir seluruh badannya termasuk bahagian muka melecur akibat disimbah asid. Suspek kini direman sehingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, kakak mangsa, Zuraidah Jemedi, berkata dia dan keluarganya tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya.

“Kami dan tidak menyangka suspek boleh berkelakuan sebegitu. Suspek memang baik dengan keluarga kami, malah dia turut ada hati dengan Ain,” katanya.




Sumber : BHarian 18/12/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...