PAGE

Selasa, Januari 11, 2011

Giliran bermalam antara isteri


Assalamualaikum warahmatullah,

Tentu ramai yang terkejut beruk badak membaca kisah RT yang trajis di dada akhbar Sabtu 08/01/2011 lepas, "Wanita parah ditetak madu". Kisah seorang surirumah cedera parah di bahagian kepala, muka dan tangan akibat ditetak dengan parang oleh madunya di Kampung Baru, Sungai Korok. Kejadian itu dipercayai berpunca dari perasaan cemburu antara kedua-dua wanita tersebut yang tinggal sebumbung sejak dua minggu lalu. Berita penuh di SiNi.

BG tak mahu mengulas panjang tentang hal ini kerana ini bukan kisah biasa. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah, apabila seseorang lelaki telah nekad hendak berpoligami, ambillah inisiatif untuk menambahkan pengetahuan supaya perkara buruk sebegini dapat dielakkan. Saya percaya, bukan sedikit suami yang berpoligami gagal melaksanakan keadilan terhadap isteri-isterinya. Sebab itulah ramai yang memandang negatif terhadap keharusan berpoligami dalam Islam.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana kerbau seekor membawa lumpur, semua kerbau terpalit dan menjadi kotor. Itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat hari ini, bukan sedikit suami berpoligami merosakkan institusi kekeluargaan dalam Islam, lebih-lebih lagi apabila menilai hikmah dan implikasi poligami. Sebab itulah implikasi yang negatif terus diperbesar-besarkan dan hikmah poligami tidak dipandang lagi. Akibat daripada kegagalan ramai suami menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila berpoligami, maka seluruh sistem poligami itu dipertikaikan dan dipandang negatif.

Suka saya memetik kisah yang berlaku di atas yang elok sangat dijadikan iktibar. Tentu ada yang perasan, saya 'bold'kan dan petik kembali di sini : "Suaminya berkahwin dengan wanita itu di Thailand tanpa pengetahuannya kira-kira dua tahun lalu sebelum membawa isteri mudanya tinggal bersama dua minggu lalu kerana mahu mengurangkan beban tanggungan."

Dalam Islam, suami diHARAMkan mengumpul isteri-isterinya dalam sebuah rumah, MELAINKAN dengan kerelaan isteri-isteri itu sendiri. Walau bagaimanapun, adalah tidak digalakkan mengumpulkan isteri-isteri dalam sebuah rumah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan untuk pengetahuan, Rasulullah SAW tidak pernah mengumpulkan isteri-isteri baginda dalam satu rumah. Jika Nabi tidak melakukannya, janganlah ada pula suami yang memandai-mandai melakukannya. Lihatlah apa yang berlaku dalam berita di atas. Lepas ini, harap-harap jangan ada lagi suami yang berangan-angan hendak menghimpunkan isteri-isteri dalam satu rumah, apatah satu bilik atau satu katil!

Sedikit info peraturan beristeri lebih yang sempat dipetik dari artikel Tuan Musa Awang, PGSM dan dari belog favourite saya, Ustaz Ahmad Baei.

Giliran bermalam antara isteri

Asal, hukum bermalam di antara isteri (al-Qasmu) adalah sunat, bukannya wajib. Bagi lelaki yang mempunyai ramai isteri, dia disunatkan membahagi-bahagikan malam serta tidak bersama mereka, dan tidak meninggalkannya (membahagikan malam). Bermalam adalah hak suami, dan dia boleh meninggalkannya (membahagikan malam). Tetapi jika suami bermalam dengan membuat undian, maka ia menjadi wajib untuknya bermalam di rumah isterinya yang lain.

Keadilan antara isteri-isteri ini disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 3, yang bermaksud, "Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu dalam masalah bermalam dan nafkah), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki."

Keadilan kepada isteri-isteri adalah tugas BERAT. Baginda Rasulullah SAW telah memberi PERINGATAN kepada suami-suami dalam sabda baginda, "Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan dia cenderung kepada salah seorang daripadanya, pada hari kiamat dia akan datang dengan sebahagian badannya senget." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Islam telah menggariskan cara-cara pembahagian dilakukan seperti berikut :

Semua isteri berhak mendapat giliran untuk bermalam, melainkan isteri yang nusyuz atau derhaka.

Suami diharuskan memperuntukkan satu malam dan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya bagi setiap isteri. Yang paling afdal ialah suami pergi ke rumah setiap isterinya berdasarkan giliran masing-masing.

Jika suami telah menentukan sehari semalam bersama seorang isteri, suami wajib juga berada bersama isterinya yang lain selama sehari semalam. Suka saya memetik artikel Ustaz Ahmad Baei, menurut kitab jawi yang bernama “Idaman Penuntut, penggal kedua” buku ini terbitan dan cetakan Johor, penulisnya telah memudahkan bahasa yang sebahagian besarnya diambil dari kitab kuning, “Matlaal Badrain” tulisan Syeikh Daud Fatani.

Jika sudah bermalam dengan seorang isteri wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama macam itu sekalipun mereka itu ada uzur seperti sakit, haid, kemaluan tersumbat atau dalam ihram. Kerana tujuannya supaya berjinak-jinak bukan kerana hendak bersetubuh sahaja. Wajib menyamakan giliran itu ialah tentang bermalam jua bukan tentang bersetubuh atau sebagainya iaitu sunat sahaja.

Penting difahami di sini, wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama seperti yang dilakukan pada seorang isteri yang pertama. Maknanya kalau ada empat isteri, kalau yang pertama satu malam, maka isteri yang kedua juga satu malam dan begitulah seterusnya. Tapi kalau pilih dua malam, sama jugalah seterusnya walaupun isteri kedua dan ketika dalam haid. Setiap kali berlaku giliran tidak semestinya berlaku perhubungan seks. Perkara itu tidak wajib tetapi sunat sahaja kalau mereka berhajatkannya.

Adalah hukum wajib menyamakan giliran itu dikira dari segi tempat kediaman dan dari segi masa. Dari itu wajib disediakan tempat kediaman berasing-asing. Maka haram dikumpulkan dua isteri atau berapa isteri di satu tempat kecuali mereka bersetuju dan izin.

Dalam bab tempat tidak perlu ulasan lanjut kerana tulisannya jelas. Memang Islam tidak galakkan menghimpunkan isteri dalam satu rumah, walau sebaik mana pun isteri-isteri itu mereka mesti diasingkan. Tentu ada hikmahnya, hanya yang sudah alami tahu hikmah yang sebenarnya.

“Dan di segi masa maka orang yang bekerja siang hari hak gilirannya ialah malam dan siang ikut sahaja. Kecuali ada hajat seperti menjengah kesakitan atau menghantar barang, atau menyampaikan duit belanja ataupun tak boleh lama, jika lama kena ganti pada tuan punya giliran, bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh." (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).

Tetapi di segi masa perlu dijelaskan dengan agak terperinci. Orang yang bekerja pada siang hari maka gilirannya ialah malam dan siangnya. Inilah yang dimaksudkan 24jam. Dalam ayat itu diikuti dengan "kecuali" iaitu memberi maksud bahawa di sebelah siang yang menjadi sambungan bagi giliran malam tadi, walaupun masih milik gilirannya, terdapat sedikit pengecualian. Maksudnya, atas sebab-sebab tertentu pada siang hari itu bolehlah dia pergi ke rumah isteri yang lain. Antara sebab yang dicontohkan dalam ayat di atas ialah untuk melihat isteri keduanya itu dalam keadaan sakit, hantar barang, hantar belanja dapur atau sekadar singgah sebentar hendak bertanya khabar.

Walau bagaimanapun kalau dia dalam keadaan itu singgah terlalu lama, maka itu wajib diganti pada gilirannya nanti, iaitu dikurangkan masanya. Satu lagi fakta yang penting di sini ialah, apa seseorang suami itu singgah di rumah isterinya yang bukan giliran itu, dia boleh bergurau senda, boleh berseronok dan boleh bersembang seperti biasa. Namun begitu dia tetap dilarang bersetubuh. Itulah yang dimaksudkan dengan “bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh,” dalam teks itu.

Apakah yang anda boleh faham dengan maksud kata-kata, kamu boleh buat itu dan ini kecuali yang ini? Kamu boleh lakukan semua yang ada di sini selain daripada yang ada di atas meja saya. Tidakkah kata-kata ini satu larangan. Dan larangan itu sudah tentulah haram, bukan makruh kerana lazimnya kalau maksud disebut oleh ulama secara jelas, makruh. Sila rujuk di artikel penuh di Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks.

Suami apabila tinggal di rumah seorang isteri, diharamkan memanggil isteri yang lain datang ke rumah madunya itu.

Suami diharuskan menetapkan giliran bermalam semaksimum 3 hari untuk isterinya. menetapkan giliran melebihi 3 hari diharamkan kerana masa yang panjang akan membebankan isteri.

Pada siang hari, suami diharuskan ke rumah isteri yang bukan gilirannya, tetapi sepatutnya tidak dalam tempoh yang lama. Aisyah r.a. berkata, "Pada kebanyakan hari, Nabi SAW sentiasa menziarahi kami semua (para isteri baginda). Baginda bertemu dengan semua isterinya tanoa menyentuhnya (menyetubuhinya) sehinggalah tiba giliran masing-masing. Ketika itu barulah baginda bermalam bersamanya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Suami tidak diharuskan pergi ke rumah isteri yang bukan gilirannya, melainkan kerana keperluan yang mendesak seperti sakit yang membimbangkan, kebakaran dan sebagainya.

Suami diharuskan mengkhususkan 7 malam berturut-turut kepada anak dara yang baru dikahwininya. Jika janda, wajib dikhususkan 3 malam berturut-turut untuknya. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi anak dara tujuh malam dan bagi janda tiga malam." (Hadis riwayat Muslim)

Jika salah seorang isteri membenarkan gilirannya kepada madunya, suami boleh mengambil giliran tersebut. Inilah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW ketika isterinya Saudah binti Zam'ah telah tua dan memberikan gilirannya kepada Aisyah r.a.

Jika suami hendak bermusafir (out station) atau bercuti, suami hendaklah membuat undian di antara isteri-isterinya. Aisyah r.a. berkata, "Apabila Rasulullah SAW ingin keluar bermusafir, baginda membuat undian di antara semua isterinya. Baginda akan bermusafir bersama isteri yang mendapat undian tersebut." (Hadis riwayat Bukhari)

Demikianlah beberapa panduan untuk suami yang berpoligami, bagaimana untuk membahagikan giliran bermalam. Selebihnya jika ada yang masih samar-samar, bolehlah merujuk kepada yang pakar atau suami-suami yang pernah berpoligami dan rukun rumahtangga mereka. BG bukan tempat yang sesuai untuk dirujuk tapi boleh rekomen beberapa artikel lain :
  1. Poligami boleh mengundang ke neraka?
  2. Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?
  3. Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks
  4. Harus poligami hanya kepada yang layak
  5. Nasihat buat suami dan isteri poligami

Wallahu'alam.


1 ulasan:

  1. salams..

    berfikir2lah wahai adam..bukan mudah tanggungjawb yang satu menjadi dua..
    imbangan perlu seimbang dan rumahtangga adalah ujian.
    w'aklam

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...