Assalamualaikum warahmatullah,
Tentu ada yang mengingati entry Giliran bermalam antara isteri yang baru saja BG masukkan minggu lepas. Semasa entry ini disediakan, saya membaca kisah Yunus Bapari di egrup yang saya sertai yang berita asalnya dipetik dari Ketika-memiliki-4-istri-dapat-mematikan.
Trajis sungguh berita sebegini. Alangkah eloknya jika Yunus mati akibat serangan jantung dan bukannya dipukul isteri-isterinya sendiri. Inilah padahnya jika suami merahsiakan poligami, sedangkan Rasulullah TIDAK mengajar umatnya merahsiakan perkahwinan, TIDAK KIRA sama ada monogami mahupun poligami agar tidak menimbulkan fitnah dan juga dharar kepada isteri mahupun diri sendiri. Jika suami memilih untuk berpoligami, suami wajar tidak menjadi seekor tikus yang pandai menyorok sana menyorok sini. Semoga kejadian sebegini menjadi iktibar kepada setiap suami dan juga isteri.
Poligami adalah penawar dan ia sepatutnya tidak menimbulkan masalah kerana tujuan pensyariatannya bagi menyelesaikan masalah. Bahkan poligami disyariatkan bagi mengelak masyarakat terbabit dengan pelbagai gejala moral yang boleh meruntuhkan institusi rumahtangga.
Malah, jika diteliti keburukan berpoligami jauh lebih baik bagi masyarakat, keluarga dan individu dibandingkan dengan keburukan membiarkan umat Islam terbabit dengan kancah zina dan persundalan dengan sewenang-wenangnya.
Justeru itu, sesiapa saja yang ingin berpoligami perlu mengikut segala peraturan ditetapkan sama ada berlandaskan hukum syarak yang menetapkan syarat berlaku adil mahupun aspek perundangan syariah negara bagi mengelak suasana haru-biru yang mencemarkan imej institusi kekeluargaan Islam. Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada yang mengambil jalan mudah berpoligami di negara jiran seperti di Selatan Thailand yang boleh dipertikaikan status pernikahannya.
Di Malaysia kebenaran untuk berpoligami tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam yang dikanunkan di seluruh negeri. Melihat kepada peruntukan undang-undang yang begitu ketat sebenarnya sukar untuk suami berkahwin lagi.
Namun, ini tidak bermakna poligami diharamkan. Penetapan undang-undang yang sebegitu rupa digubal supaya hak dan kepentingan isteri sedia ada terjamin dan tidak dizalimi di samping itu juga bagi memastikan bahawa keadilan dapat diberikan kepada isteri-isterinya. Disamping itu, ia juga bagi memelihara keperluan anak-anak yang kemungkinan terabai akibat perkahwinan yang baru.
Peruntukan sebegini juga perlu supaya keharusan berpoligami tidak disalahgunakan dan imej poligami Islam yang baik dapat dizahirkan.
Perlu juga diingat poligami bukan tiket untuk berseronok dan melampiaskan nafsu semata-mata.
Poligami juga bukan hak eksklusif untuk suami berkahwin lagi. Suami yang ingin berpoligami tertakluk kepada syarat boleh berlaku adil antara semua isteri dan anak-anak yang di bawah tanggungannya.
Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri) maka kahwinilah seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Surah al-Nisa’;3)
Baginda Rasulullah turut memberi peringatan dengan sabdanya yang bermaksud: “Barang siapa memiliki dua orang isteri dan dia melebihkan salah seorang daripadanya, maka akan dibangkitkan di hari kiamat kelak dalam keadaan bahunya senget sebelah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Renung-renungkan!
Rujukan : Mohd Ali Muhamad Don, Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru di HMetro.
Capaian entry berkaitan :
PAGE
▼
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...