PAGE
▼
Rabu, Februari 16, 2011
Dilema 'Firaun' Moden
Teka-teki ke mana Mubarak mahu hidup dalam buangan
SEJAK kebelakangan ini, nama Hosni Mubarak pastinya mendominasi berita utama media antarabangsa. Malangnya, ia bukan menghebahkan khabar baik mengenai Presiden Mesir itu, sebaliknya menyentuh tragedi mengaibkan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinannya.
Kebangkitan rakyat Mesir yang mahukan Mubarak berundur selepas 30 tahun memerintah ada asasnya malah ia amat kukuh. Pentadbiran Mubarak dibayangi rasuah dan kegagalan sudah berkumpul di benak rakyat Mesir sehingga tidak boleh dipendamkan lagi. Jalan terakhir ialah menunjukkan secara lantang dan keras mahukan Mubarak berundur.
Tidak seperti pemimpin dunia Arab lain yang agak tertutup kehidupan peribadi mereka, Mubarak atau nama asalnya Muhammad Hosni Sayyid Mubarak, 83, sebaliknya turut mencuri tumpuan dunia dengan gaya hidup mewah yang dijalani biarpun lebih separuh rakyat Mesir hidup di bawah paras kemiskinan.
Mubarak dipercayai meletakkan asas kekayaan keluarganya ketika menjadi pemimpin tentera udara apabila mendapat habuan daripada kontrak tugasan ketenteraan yang diluluskannya. Warga asing yang melabur di Mesir pula didakwa disyaratkan memberi habuan 20% daripada modal permulaan perniagaan kepada rakan kongsi tempatan.
Beliau yang berlatar belakang juruterbang terlatih dan bekas pegawai tinggi tentera udara Mesir pada 1960-an dan 1970-an, memegang tampuk pemerintahan selepas pembunuhan Presiden Anwar Sadat pada 1981.
Dia mengahwini Suzanne, anak pakar kanak-kanak Mesir, Saleh Thabet dan jururawat berketurunan Inggeris, Lily May Palmer. Pasangan berkenaan mempunyai dua anak lelaki, Alaa, 49, dan Gamal, 48.
Keanggunan ditonjolkan isterinya, Suzanne Mubarak dan dua anak lelaki mereka, Alaa dan Gamal, seolah-olah mengiyakan dakwaan media Barat bahawa keluarga nombor satu Mesir itu mempunyai kekayaan tersembunyi dianggarkan bernilai AS$40 hingga AS$70 bilion (RM121 hingga RM212 bilion).
Kalangan pakar Asia Barat pula mendakwa keluarga itu menyimpan wang dalam bank di Switzerland dan England serta dalam bentuk hartanah di London, New York, Los Angeles serta beberapa kawasan mewah di Laut Merah. Keluarga Mubarak juga dikecam kerana mengamalkan kronisme yang membenarkan golongan kaya semakin mewah ketika majoriti penduduk Mesir terus hidup dengan pendapatan kurang RM7 sehari.
Gamal misalnya, sedari awal disebut-sebut sebagai pengganti bapanya menjadi orang nombor satu Mesir tetapi dengan situasi terkini, jawatan itu hampir mustahil menjadi miliknya.
Selain kedudukannya sebagai anak Mubarak, kesetiaan Gamal kepada Mesir yang menjadi tunjang utama untuk bergelar pemimpin turut dipersoalkan apabila menjadi ‘pengecut’ dengan melarikan diri ke England ketika kekacauan di negara itu kian memuncak. Gamal turut mencetuskan kontroversi tersendiri sebelum ini apabila perkahwinannya dengan Khadiga Mahamoud - anak ahli perniagaan terkenal negara itu pada 2007 menarik minat rakyat Mesir. Gamal berusia 44 tahun ketika berkahwin manakala isterinya, 20 tahun lebih muda. Sumber menyatakan baju pengantin direka khas untuk Khadiga di Paris dan dikatakan berharga lebih AS$30,000 (RM91,000).
Lebih menyedihkan, rentetan pergolakan terbaru di Mesir, kedua-dua anak lelaki Mubarak itu dikatakan tiba di London dengan 100 bagasi bersama keluarga masing-masing ketika rakyat miskin Mesir terus menyuarakan ketidakpuasan hati mereka menerusi keganasan.
Rangkaian media beribu pejabat di Qatar juga melaporkan, Suzanne turut menyertai kedua-dua anak lelakinya itu tetapi televisyen Mesir pantas mengeluarkan penafian rasmi mengenai laporan berkenaan dan menegaskan keluarga Mubarak masih berada di Kaherah.
Meneliti keadaan luar kawalan di Mesir, tidak hairanlah jika keluarga Mubarak bertindak meninggalkan pemimpin Mesir itu keseorangan berdepan amarah rakyatnya. Namun jika dilihat dari satu sudut lain, ia jelas menunjukkan betapa lunturnya semangat patriotik keluarga Mubarak.
Nasib Mubarak yang masih belum pasti jatuh bangunnya turut menarik banyak spekulasi mengenai negara bakal didiaminya jika memilih untuk hidup dalam buangan. Bandar raya Munich di Jerman dikatakan antara lokasi pilihan untuk didiami Mubarak kerana pernah mendapatkan rawatan kesihatan di situ.
Media Balkan pula melaporkan Mubarak mungkin memilih Montenegro kerana Gamal mempunyai kepentingan perniagaan di bandar raya itu, manakala sumber di Kedutaan Mesir di Tel Aviv, Israel pula menyatakan mereka membuat persediaan menyambut kedatangan Mubarak selepas Arab Saudi dikatakan menolak untuk menempatkan Mubarak untuk hidup dalam buangan di negara itu.
Walaupun Mubarak yang digelar ‘Firaun Moden’ kerana pemerintahan kuku besinya menegaskan hidup matinya di Mesir, namun tidak mustahil beliau menukar pendirian untuk hidup dalam buangan kerana dosanya terlalu besar untuk dimaafkan dengan mudah oleh rakyat Mesir.
Petikan : BHarian 13/02/2011 - Dilema Firaun Moden
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...