PAGE

Sabtu, Februari 26, 2011

Natijah perceraian


Kanak-kanak, remaja alami trauma berpanjangan

SESEBUAH perkahwinan pastinya mengharapkan ia berkekalan sehingga akhir hayat. Ikatan itu lebih bererti apabila ia sentiasa dibajai dengan limpahan kasih sayang, kehadiran cahaya mata selain disulami dengan kerjasama erat antara kedua-dua pihak, maka lengkaplah mahligai dibina.

Begitupun, tidak semua bernasib baik berpeluang mengecap nikmat bahagia dalam perkahwinan kerana ada kalanya ia pudar di tengah jalan dan kenyataannya ikatan yang dibina secara sah terlerai, walaupun ia tidak pernah dipinta.

Sehubungan itu, natijahnya dirasai banyak pihak seperti anak mahupun pasangan individu itu sendiri yang mana sedikit sebanyak meninggalkan kesan negatif dalam kehidupan mereka. Sama ada disedari atau tidak, anak terutama individu paling mudah terkesan dengan perpecahan rumah tangga walaupun pada zahirnya mereka mungkin tidak menunjukkan tanda secara nyata.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kesan psikologi memang ada terhadap kanak-kanak, remaja, isteri atau suami yang mengalami perpecahan rumah tangga.

“Ketiga-tiga kumpulan individu ini akan mengalami kesan tertentu akibat daripada kejadian keruntuhan rumah tangga dialami. Kesannya juga berbeza bergantung pada tahap usia mereka. Kanak-kanak adalah insan paling mudah mengalami gangguan psikologi tanpa kita sedari kerana walaupun mereka masih muda, tetapi kecelaruan ini akan menyebabkan mereka mengalami gangguan yang boleh memudaratkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Mariani berkata, kanak-kanak akan mengalami perubahan emosi akibat perubahan terhadap institusi keluarga menyebabkan pembentukan personaliti kanak-kanak akan terjejas. Keadaan menjadi buruk apabila anak dibiarkan.

“Kanak-kanak yang ibu bapanya bercerai lazimnya akan mengalami masalah perkembangan emosi mereka. Bermula dengan pasangan itu sendiri, sama ada suami atau isteri, mereka juga mengalami tekanan emosi. Apabila suami isteri sakit emosinya, fikiran menjadi tidak stabil. Mereka mungkin akan menjadi lebih agresif atau terlampau pasif sehinggakan tidak bercakap sekali gus memberi kesan kepada pasangan, anak atau anggota keluarga,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila tiada komunikasi dalam rumah atau suami isteri bersikap dingin, keadaan berkenaan boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

“Dari aspek perkembangan emosi, kanak-kanak akan tertekan dan tidak stabil. Apabila itu berlaku fikiran menjadi waras. Jika kanak-kanak berkenaan mempunyai ramai adik beradik, mungkin akan berlaku pergaduhan kerana kesemuanya tertekan dan mengalami tekanan yang sama. Dari aspek personaliti juga, kita dapat mengesan kelainan terhadap kanak-kanak yang datang daripada keluarga bercerai ini,” katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan penuntut psikologi di bawah seliaan beliau, Dr Mariani berkata, kanak-kanak perempuan akan mempunyai ciri personaliti neurotik berbanding kanak-kanak lelaki.

“Ciri personaliti neurotik ini adalah cepat marah, cepat berasa bosan dan tidak stabil, tetapi jika dibandingkan dari aspek ekstrovert pula, kanak-kanak perempuan akan menjadi lebih ekstrovert berbanding kanak-kanak lelaki. Ekstrovert dimaksudkan di sini, walaupun mengalami tekanan yang sama, kanak-kanak perempuan masih boleh bercakap, berbual mahupun mereka mengalami personaliti neurotik,” katanya.

Dr Mariani berkata, kanak-kanak boleh dipujuk dan ditenteramkan emosinya, tetapi hasilnya bergantung kepada siapakah yang mententeramkan mereka kerana jika ibu bapa yang menjadi penyebab mereka bersikap begitu dan ibu bapa juga yang bertindak memujuk, hasilnya agak tipis untuk memulihkan emosi si kecil.

“Emosi kanak-kanak boleh dikawal jika ada yang menenangkan mereka. Katalah jika individu yang mereka selesa seperti datuk atau nenek, emak saudara mahupun bapa saudara, mungkin mereka mengambil masa yang tidak lama untuk memulihkan emosi yang terganggu itu. Bahkan jiran juga memujuk emosi kanak-kanak sekiranya mereka selesa dan sudah biasa dengan mereka. Banyak juga kes dera atau masalah rumah tangga, ada jiran yang membantu apa yang patut” katanya.

Sementara itu, ulasnya, remaja juga tidak terlepas daripada gangguan emosi sekiranya ibu bapa bercerai. Lazim bagi remaja, mereka akan mencari jalan keluar untuk melepaskan tekanan.

“Dikhuatiri remaja ini akan memilih jalan salah, bercampur gaul dengan individu yang tidak sepatutnya boleh menyebabkan pencapaian akademik mereka merudum. Kalau mereka ada sifat neurotik seperti kanak-kanak, mereka tidak fokus dalam bilik darjah kerana sudah terlalu banyak perkara dalam fikiran mereka. Mereka tidak boleh beri tumpuan, mereka jadi bercelaru,” katanya.

Lebih membimbangkan, remaja ini akan mencari rakan sebaya yang memahami mereka tanpa mengambil kira pembawaan remaja yang mereka kenali itu sama ada bersifat membina atau tidak untuk sahsiah diri mereka.

“Kalau mendapat kawan yang baik, tidak mengapa, tetapi jika sebaliknya akan menambahkan lagi kekusutan kepada remaja itu. Tidak mustahil ini antara penyebab berlaku gejala sosial seperti merempit, buang bayi, lari dari rumah dan mengamalkan seks bebas. Kita boleh mengesan mereka ini adalah daripada kalangan keluarga yang berpecah belah atau ibu bapa mengalami perceraian,” katanya.

Dr Mariani berkata, remaja atau kanak-kanak yang datang daripada keluarga bermasalah juga menunjukkan prestasi yang rendah dalam akademik.

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menunjukkan peningkatan dalam kes perceraian di negara ini. Kelantan, Kedah, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat bilangan perceraian sekitar 2,700 hingga 3,700 kes setahun. Dengan perceraian ini, anak akan terpisah daripada ibu atau bapa mereka.

“Anak akan menjadi mangsa terhadap perceraian ibu bapa terutama kanak-kanak di bawah umur 13 tahun. Mereka juga akan mengalami perubahan emosi akibat perubahan terhadap institusi keluarga menyebabkan pembentukan personaliti akan terjejas. Keadaan menjadi buruk apabila anak-anak dibiarkan,” katanya.

INFO

# Kaum keluarga terdekat perlu memainkan peranan memastikan kanak-kanak atau remaja dari keluarga bercerai memberi perhatian sewajarnya.

# Ibu bapa yang bercerai juga harus memastikan mereka tidak berkelahi di hadapan anak, mengeluarkan perkataan kasar atau memaki hamun di hadapan ahli keluarga lain.

# Kalau berselisih faham, pastikan keperluan anak tidak diabaikan.

# Ibu bapa yang menghadapi masalah rumah tangga juga wajar mengawal emosi kerana ia akan mempengaruhi emosi anak. Apabila anak lihat ibu bapa tenang, anak juga akan berasa selesa untuk menjalani kehidupan harian mereka.

# Bina hubungan erat dengan anak dan sentiasa tunjukkan mereka diperlukan.




Petikan : BHarian 26/02/2011

Capaian entry berkaitan :

*Biarlah perceraian jalan terakhir yang dipilih

1 ulasan:

  1. apakah punca-punca perbezaan adat dan budaya suami isteri yg mngakibatkn penceraian?????

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...