BEGINILAH keadaan di Arahama, di Bandaraya Sendai, Jepun yang dirakam satelit GeoEye sebelum (atas) dan selepas (bawah) kejadian gempa 8.9 magnitud yang mencetuskan tsunami , Jumaat lalu. Bandar pesisir pantai itu kelihatan pasir bersih yang memutih dengan deretan bangunan dan kediaman tetapi selepas tsunami ia ibarat 'padang jarak padang tekukur'. - Foto AP Mar 14, 2011 10:00 am
Rakyat sentiasa dilatih bersedia hadapi saat cemas gempa
SEHINGGA semalam, angka kematian akibat gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang diikuti gelombang tsunami di timur laut Jepun Jumaat lalu, mencecah lebih 10,000 orang termasuk yang masih hilang, manakala 20,800 kediaman dan bangunan musnah.
Pagi semalam juga, satu lagi gempa bumi dengan kekuatan 6.8 skala Richter melanda pantai timur pulau Honshu, tetapi ia tidak menyebabkan tsunami dan kemusnahan baru.
Namun, kebimbangan timbul apabila beberapa loji reaktor nuklear dikesan bermasalah ekoran gempa bumi Jumaat lalu, apabila sistem penyejuknya tidak berfungsi dan berisiko meletup.
Memang kejadian di Jepun itu, yang dapat kita saksikan dengan jelas di kaca televisyen, malapetaka amat dahsyat. Walaupun dari segi korban, tsunami Aceh pada 2004 jauh lebih tinggi dengan ratusan ribu nyawa, detik-detik ketika gempa berlaku dan tsunami melanda tidak dapat kita saksikan seperti mana di Jepun, Jumaat lalu.
Bencana, sekecil mana pun pasti menyebabkan kerugian dan kesedihan. Pada masa sama, ia juga menguji keimanan, kesabaran, kebijaksanaan serta sejauh mana kita mempelajari daripadanya.
Jepun, sebagai negara termaju di dunia dengan rakyatnya yang terkenal berdisiplin ternyata sudah lama belajar daripada bencana alam itu. Mungkin kerana itu, angka kematian dan jumlah kemusnahan akibat kejadian Jumaat lalu masih boleh dianggap kecil berbanding kekuatan gempa dan kedahsyatan tsunami yang melanda.
Sikap kebanyakan rakyat Jepun menghadapi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu mungkin boleh dipelajari kita, walaupun bencana besar di negara ini mungkin hanya banjir setiap musim tengkujuh. Sejak gempa bumi berskala 7.9 Ritcher pada 1 September 1923 yang hampir meranapkan Tokyo, rakyat Jepun sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan dilanda gempa lebih buruk daripada itu. Pada kejadian 88 tahun lalu itu, Tokyo terbakar selama tiga hari dan 140,000 terkorban.
Sejak bencana itu, Kerajaan Jepun memperkenalkan peraturan yang memastikan setiap bangunan, empangan dan binaan mampu menghadapi gegaran sebaik mungkin. Mulai 1980, Agensi Meteorologi Jepun memasang lebih 130 alat pengesan di gunung dan dasar laut untuk mengesan gegaran geologi yang mungkin petanda kedatangan gempa bumi di wilayah selatan Tokyo.
Data elektronik yang dikumpul melalui kaedah itu diawasi komputer dan dua petugas sepanjang masa. Gempa bumi Kobe pada 1995 pula menyedarkan pihak berkuasa bahawa keadaan bangunan pejabat yang uzur serta kelewatan badan bertindak pada peringkat jabatan kerajaan, menyebabkan 6,400 orang terkorban selepas terperangkap di bawah runtuhan.
Rakyat Jepun memang sedar bahawa gugusan pulau yang membentuk negara itu terletak di atas titik lingkaran Pasifik di mana tiga kerak bumi sentiasa berlaga, menyebabkan antara 30 hingga 40 gegaran dapat dirasai setahun. Ketidakstabilan geologi sudah menjadi sebahagian kehidupan harian rakyat Jepun, manakala istilah ‘jishin’ (gempa bumi) menjadi mainan bibir setiap kali mereka merasai gegaran.
Kebanyakan bangunan baru di Jepun kini memang mempunyai alas getah bawah tanah untuk menahan kesan gegaran, manakala pencakar langit direkabentuk supaya dapat bertahan goyangan selepas gempa bumi.
Setiap 1 September pula, sempena memperingati gempa bumi 1923, jutaan rakyat Jepun menyertai latihan menghadapi bencana anjuran pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing. Kanak-kanak sekolah memakai penutup kepala dan berlatih berlindung di bawah meja. Warga tua diingatkan supaya memilih tempat untuk bertemu dengan orang tersayang sekiranya terpisah ketika bencana. Kedai pula menjual peti kecemasan mengandungi air, lampu picit dan makanan tahan lama.
Kita sendiri dapat menyaksikan siaran televisyen bagaimana rakyat Jepun agak tenang ketika menghadapi saat-saat cemas ketika menghadapi gegaran itu – sama ada di sekolah, rumah, pejabat dan di dalam pasar raya.
Murid terus memakai pelindung kepala dan berlindung di bawah meja sebaik saja merasai gegaran. Pekerja pejabat yang keluar dari bangunan juga dilihat memakai alat pelindung kepala, tindakan yang sudah menjadi sebahagian daripada piawaian keselamatan di tempat kerja ketika menghadapi gempa kuat. Malah penyampai berita televisyen tempatan juga dilihat memakai topi keselamatan ketika bertugas.
Walaupun kita di Malaysia belum pernah dilanda gempa bumi besar, semakin kerapnya gegaran kecil dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut menimbulkan pertanyaan sejauh manakah persediaan kita jika ditakdirkan bencana itu berlaku pada tahap menyebabkan kemusnahan.
Jika cara kita menghadapi banjir besar dijadikan ukuran, walaupun dari segi korban dan kemusnahan tidak sebesar gempa bumi, tsunami atau gunung berapi rasanya kita masih perlu banyak belajar daripada rakyat Jepun.
Petikan : Manja Ismail di BHarian 14/03/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...