PAGE

Jumaat, Mac 11, 2011

Tiga kebahagiaan insan


Assalamualaikum warahmatullah,

Tiada siapa yang inginkan kesedihan, kemurungan dan keresahan. Jika ditanya kepada sesiapa sahaja pun, saya yakin dan pasti yang merekan akan berkehendakkan akan kebahagiaan. Hidup tanpa bahagia ibarat terbakar dalam neraka dunia.

Namun, apakah itu kebahagiaan sebenarnya? Adakah wang ringgit? Adakah makanan yang lazat? Adakah anak-anak? Atau segala perkara material yang mampu kita lihat atau mungkin ianya merupakan satu perasaan yang mana kita merasa aman, sentiasa ceria walaupun bermasalah.

Sebenarnya, langkah paling awal untuk mengecap kebahagiaan adalah memahami diri sendiri. Dalam erti kata lain, menguasai segala sifat negatif yang selama ini terbentuk dalam benak minda hingga ada yang dizahirkan dengan perbuatan. Selagi kita duduk dalam lingkaran energi negatif, maka kita tidak akan dapat lagi dari tempiasnya.

Lebih memburukkan keadaan, apabila tenaga negatif-negatif ini terkumpul dan terpendam menjadi seakan satu gunung berapi dalam diri yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja. Setelah itu kita akan melihat kedatangan kebahagiaan, namun jangan dilupakan bahasa kebahagiaan duniawi anak Adam terbit atas tiga perkara yang kadang kala kita lupa untuk mengupasnya dengan penuh hikmah.

Dalam sebuah hadis, daripada Saad bi Abi Waqqas dinyatakan bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk.” (Hadis riwayat Ahmad)

Secara mudahnya, kebahagian akan datang dengan jelas apabila kita mempunyai tiga perkara, iaitu, isteri (pasangan), tempat tinggal dan kenderaan. Mungkin lebih bagus seandainya kita dapat mengupasnya sedikit secara satu persatu.

1 – Isteri

Sebelum mendapat isteri yang solehah, kita sendiri mestilah soleh. Jika diri sendiri tidak soleh, agak mustahil pula kita dapat membentuk seorang isteri yang solehah. Berkenaan isteri atau pasangan hidup, hal ini dilihat cukup linear kerana seandainya kita dan isteri tidak sehaluan, mana mungkin kita akan mengecap kebahagiaan. Kita sering mengatakan pasangan hidup mestilah sekufu, dari sudut sekufu yang sama arah dan tahap pemikiran. Jika kita mempunyai masalah dalam rumahtangga, kita selalunya akan membawanya ke tempat kerja, maka hasil produktiviti akan merudum dan mungkin lama kelamaan kita boleh hilang pekerjaan dan kepercayaan yang diberi majikan.

Masalah dalam berpasangan ini sering mencetus emosi yang tidak terhenti dan emosi yang ada dalam minda akan memberi reflek fizikal yang negatif juga. Dari emosi ini, lahirlah kata-kata nista, timbullah prasangka dan akibatnya kita akan sentiasa diselubungi suasana yang negatif.

Apa yang lebih buruk adalah apabila ia melibatkan rezeki kerana apabila rezeki mula terjejas, hilanglah kewarasan minda. Kita akan mula membuat keputusan yang di akhirnya memberi beban yang berat dalam mengharungi kehidupan.

Justeru itu, apabila diri kita sudah menjadi positif, kita juga perlu sehaluan dengan pasangan ktia dan apabila isteri adalah isteri yang solehah, maka ketaatannya akan membuat kita kurang berlaga fikiran. Ini akan membawa kepada keharmonian dan rezeki yang lebar lagi luas.

2 – Tempat tinggal


Pernahkah anda merasakan semenjak berpindah ke rumah baru, terasa keperitan dari pelbagai segi, sedangkan semasa tinggal di rumah lama, rezeki anda mencurah-curah? Semenjak tinggal di rumah baru, masalah demi masalah mendatang dan banyak perkara yangmerudung malang menjelma. Mengapa perkara sebegini berlaku? Jawapannya ada di dalam hadis tadi. Apabila tempat tinggal yang kita diami tidak mempunyai energi yang baik, maka secara sutomatik kita juga akan merasa kurang selesa.

Keadaan kurang selesa akan menimbulkan keluhan. Keluhan pula akan memberi impak negatif dalam suasana rumah, maka sebab itulah orang dahulu cukup pantang mengeluh di dalam rumah. Melihat penjelasan tentang rumah yang buruk (dalam hadis) itu bukan dari sudut fizikalnya, tetapi dari sudut gelombangnya. Cuba kita lihat, sebuah rumah yang besar dan indah tetapi apabila kita masuk ke dalam ruangannya, kita ebrasa kurang aman, kurang selesa dan banyak keresahan.

Hal ini mungkin terjadi apabila penghuninya tidak mengingati Allah SWT dengan sewajarnya dan mungkin juga apabila pulang ke rumah, masalah serta tekanan tempat kerja yang ada dalam minda di bawa ke rumah.

Nah... Gelombang tekanan (beta) kini mengambil rumah sebagai terminalnya dan akhirnya rumah tersebut penuh dengan ketidakselesaan. Apa yang terjadi? Kita mengambil pserkara pokok yang banyak diperkatakan orang, iaitu rezeki.

Apabila keadaan rumah penuh dengan negativiti, maka rezeki dengan sendirinya akan bermasalah. Maka kita menjadi orang yang bukan sahaja rugi akhirat, bahkan rugi juga di dunia. Masalah banyak, sakit berarak.

3 – Kenderaan

Perihal kenderaan ini, rasanya sudah ramai yang sedia maklum bahawa jika kita ingin menjual kereta, kita dilarang untuk memperkatakannya dalam kereta tersebut kerana nanti ditakuti akan merajuk, selalu meragam dan rosak. Ini yang dikatakan kebahagiaan kenderaan, jika sering rosak, maka seringlah bocor poket kita.

Justeru, kenderaan yang baik juga datangnya dari kita. Apa yang dikatakan kenderaan buruk itu hanyalah metafora, tidak bermakna kita perlu membeli kenderaan baru untuk bahagia. Maka kenderaan juga memperlihatkan perjalanan yang baik.

Jagalah tiga perkara ini dan renung-renungkanlah tiga perkara ini sebagai langkah awal untuk mengecap kebahagiaan kerana ketiga-tiga perkara ini memberi impak dalam perjalanan kita menemui Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Rujukan asal yang telah diubah-suai : Dr Azhar Sarip MW#1371

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...