PAGE

Ahad, Mac 06, 2011

Ubat ada gelatin babi dijual di kaunter tertutup



ALERT! ALERT! ALERT!

SUNGAI PETANI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memastikan semua produk farmaseutikal diperbuat menggunakan kapsul gelatin yang didapati positif DNA babi, tidak dijual di kaunter terbuka di premis jualan seluruh negara.

Serentak itu, JAKIM akan mendapatkan maklumat senarai produk farmaseutikal yang dikenal pasti mengandungi kapsul gelatin haram di pasaran ketika ini dan senarai itu akan diumumkan sebagai produk haram supaya umat Islam lebih berhati-hati ketika membuat pembelian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata larangan itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memastikan umat Islam di negara ini tidak terpedaya dan terbeli produk haram terbabit yang ketika ini dijual secara terbuka.

“JAKIM akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat semakan dan pemantauan terhadap produk farmaseutikal mengandungi kapsul gelatin haram dan diasingkan jualannya dengan produk kesihatan halal,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), di sini semalam.

Beliau mengulas laporan kajian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi terhadap 15 sampel produk farmaseutikal tempatan yang dibungkus dengan kapsul gelatin yang diambil secara rambang dari pasaran yang mana tiga daripadanya positif DNA babi.

Di PUTRAJAYA, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Zainal Abidin Jaffar, berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan syarikat farmaseutikal mendapatkan sijil halal daripada agensi itu kerana permohonan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dibuat atas dasar sukarela.

Ini, katanya, menyukarkan pihaknya memantaupenggunaan bahan tidak halal dalam mana-mana produk farmaseutikal yang dijual di pasaran kerana JAKIM hanya boleh mengambil tindakan terhadap mana pihak yang menyalahgunakan logo halal.

Zainal Abidin berkata, siasatan pihaknya mendapati hanya dua daripada tiga produk dikesan mengandungi DNA babi itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan semua adalah ubat tradisional yang dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan pasaran tempatan.




Sumber : BHarian 06/03/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...