PAGE

Selasa, Jun 21, 2011

Miang atau suka-suka?


Gangguan seksual boleh dicegah jika wanita lebih berani

Kes 1:
NOR, 32, (bukan nama sebenar), setiausaha kepada seorang pengurus kanan sebuah syarikat. Cantik dan menarik perwatakannya, Nor sering diganggu majikannya. Tangannya dipegang, bahu diusap belum lagi mengambil kira kata-kata berbaur lucah daripada majikannya. Malah, dia pernah beberapa kali cuba dicium.

Bukan setakat itu, majikannya juga sering menghantar teks pesanan ringkas (SMS) bercerita mengenai hubungan seksual dan tidak pernah jemu mengajaknya keluar makan bersama. Nor amat tertekan dengan gangguan itu dan dia pernah diugut akan dicederakan jika menceritakan hal itu kepada rakan sekerja.

Kejadian itu berlarutan dan Nor sudah tidak mampu bersabar. Dia mengadu kepada pihak atasan, malangnya aduan Nor tidak dipedulikan menyebabkan Nor membuat laporan polis serta memanjangkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan pembelaan. Kini, kes Nor disiasat.


Kes 2:
PEMBANTU Tadbir, Anita, 46, (bukan nama sebenar), yang hanya memiliki sebelah kaki, selain menghidapi asma, darah tinggi, fibroid dan anaemia, suatu hari berehat di surau kerana kurang sihat.

Ketika sedang berbaring, tiba-tiba seorang lelaki, rakan sekerja yang dikenalinya, mengintai menerusi tingkap cermin surau itu, Anita menjerit terkejut menyebabkan rakannya lari. Anita melaporkan perkara itu kepada majikan. Malangnya, Anita pula dituduh ponteng kerja kerana berehat di surau.

DUA kes itu hanyalah sebahagian kecil kes gangguan seksual di tempat kerja. Jika dikaji, ramai wanita bekerjaya mengalami keadaan itu, cuma ada yang melaporkannya kepada pihak atasan dan tidak kurang juga yang berdiam diri.

Gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja bukan perkara asing. Sudah terlalu banyak kes dan terlalu lama perkara ini diperkatakan, namun, ia masih terus berlaku. Kajian dijalankan di beberapa negara perindustrian mendapati antara 42% dan 70% pekerja wanita mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Gangguan seksual bukan hanya membabitkan perlakuan fizikal seksual. Perlakuan berbentuk isyarat seperti kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa membayangkan perlakuan seks atau mengurat, menunjukkan bahan atau gambar lucah dan dedahkan anggota sulit (gangguan visual).

Mengulangi jemputan sosial, memujuk rayu keluar bersama (gangguan psikologi) dan sentuhan seperti menepuk, mencubit, mengusap, memeluk dan mencium (gangguan fizikal) juga adalah gangguan seksual yang sering dialami wanita.

Isu ini memang nampak remeh kepada ‘pengganggu’ kerana beranggapan mereka hanya suka-suka dan tiada niat. Namun, dalam sesetengah kes, pengganggu memang berniat mengambil kesempatan untuk memenuhi naluri seks mereka.

Bagi yang tidak tahan gangguan, ada saluran untuk melaporkan aktiviti tidak bermoral itu menerusi Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja ada garis panduan serta mekanisme menanganinya disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia sejak 1999 lagi.

Sebanyak 324 kes gangguan seksual pelbagai kategori di tempat kerja diterima dan diselesaikan sepanjang 1999 hingga 5 April lalu.

Jika dilihat statistik itu, jumlahnya amat sedikit berbanding bilangan wanita yang bekerja. Namun, ia bukan angka sebenar yang dapat menggambarkan seriusnya masalah itu kerana masih ramai mangsa yang mengambil sikap berdiam diri. Malah, ramai berpendapat kod amalan itu kurang ‘taring’ dan tiada undang-undang yang jelas untuk menangani isu berkenaan.

Ada kalanya laporan daripada mangsa gagal diselesaikan dengan berkesan khususnya dari segi tindakan ke atas pengganggu. Selalunya, apabila berlaku gangguan seksual, mangsa akan membuat laporan kepada pihak pengurusan syarikat, yang akan menjalankan siasatan dalaman dan jika ada bukti, mungkin menukarkan pengganggu ke cawangan lain, dibeku atau diturunkan pangkat dan mungkin juga dipecat.

Namun, ada juga aduan yang menerima layanan seperti Nor dan Anita. Aduan tidak dipedulikan dan lebih malang, mangsa yang dipersalahkan. Justeru, Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses meminda Akta Kerja 1955 yang akan mewajibkan majikan menyiasat aduan berhubung kes gangguan seksual di tempat kerja. Jika majikan gagal mematuhi Seksyen 81B, iaitu arahan melaksanakan prosedur tata cara siasatan yang ditetapkan, termasuk tidak mengemukakan laporan kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja, majikan boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM10,000.

Setakat ini, tidak ada undang-undang yang jelas berkaitan masalah gangguan seksual di tempat kerja mahu pun langkah mencegahnya. Pengurusan tingkah laku dalam organisasi perlu memberi tumpuan kepada masalah mengawal, mencegah dan melindungi pekerja, khususnya wanita daripada sebarang bentuk dan kegiatan gangguan seksual yang tidak bermoral dan menjatuhkan maruah seseorang pekerja.

Pegawai Siasatan Seksual dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Superintendan, Suraini Hussain, berkata gangguan seksual mampu dielakkan jika wanita lebih berani dan tegas apabila rakan sekerja atau majikan cenderung melakukan gangguan.

“Saya nasihatkan jangan tangguh membuat laporan polis jika gangguan seksual berlaku kerana ia akan mengurangkan bukti. Jika ada kecederaan, mungkin kesan kecederaan sudah hilang dan menyukarkan keterangan direkodkan. Lebih daripada itu, pemangsa akan beranggapan mangsa merelakan perbuatan itu,” katanya sambil menjelaskan polis akan mengambil keterangan mangsa, memanggil pengganggu, melawat tempat kejadian serta mengkaji dulu semua maklumat sebelum mengemukakan kepada pejabat Pendakwa Raya untuk dakwaan.

Malangnya, kata Suraini, kebanyakan kes gangguan seksual dilaporkan selepas beberapa hari kejadian sehingga boleh mengurangkan bahan bukti atau keterangan.

Jelasnya, gangguan seksual boleh disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membabitkan perkataan atau isyarat, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan), Seksyen 355 Kanun Keseksaan (menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menjatuhkan kehormatan seseorang, selain Kanun Prosedur Jenayah bagi kes seperti rogol.

Statistik Kes 509 Kanun Keseksaan – Perkataan/Isyarat Mengaibkan Kehormatan 2008 hingga 2001

Jantina (mangsa)

2008

2009

2010

2011

Lelaki

135

27

25

4

Perempuan

107

160

126

44

Jumlah

142

187

151

48


Suraini berkata, menjelaskan kebanyakan kes gangguan seksual diterima polis membabitkan perlakuan pekerja lelaki kepada rakan sekerja perempuan serta beberapa kes membabitkan pelaku lelaki dengan mangsa yang juga lelaki.

Laporan gangguan seksual banyak diterima daripada wanita dan hanya sejumlah kecil membabitkan antara lelaki dengan lelaki. Berdasarkan statistik, wujud peningkatan kes gangguan seksual dilaporkan mangsa kepada polis, iaitu daripada 119 kes pada 2008 kepada 127 kes (2009) dan 166 kes (2010).

Biasanya lelaki menganggap sebarang perlakuan sama ada dalam bentuk lisan, isyarat atau fizikal itu adalah sebagai gurauan dan tidak bermaksud apa-apa tetapi tidak bagi mangsa.

“Majoriti kes yang dirujuk kepada kami membabitkan pemangsa dan mangsa yang saling mengenali. Kes seperti ini bisanya berjaya diselesaikan. Ada juga mangsa yang menarik balik laporan tuduhan atau berpuas hati dengan tindakan diambil oleh peringkat jabatan tempat mereka bekerja,” katanya.

Mengikut Akta Kerja 1955 (Seksyen 14)

Siasatan hendaklah dijalankan sebelum pekerja itu dikenakan hukuman atas sebarang perbuatan salah lakunya. Seksyen ini memperuntukkan dua cara tindakan seperti berikut:
i) Satu siasatan dijalankan
ii) Hukuman ke atas salah laku itu

1. Tujuan seksyen ini untuk memastikan "Keadilan Asasi dan Keadilan Substantif" ke atas pekerja dilaksanakan. Seseorang pelaku atau mangsa yang tidak puas hati dengan hukuman atau keputusan siasatan dalaman hendaklah mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada pihak pengurusan yang lebih tinggi melalui satu prosedur rayan dalaman.

2. Pekerja juga boleh membuat tuntutan di bawah Seksyen 69 Akta Kerja bagi tujuan bayaran pampasan atau kaji semula hukuman.

3. Rayuan Bagi Penempatan Semula di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan jika:
  • Pengganggu atau pengadu dibuang kerja
  • Pengadu berhenti kerja dan menuntut atas alasan majikan melanggar kontrak kerana gagal menentukan tempat dan suasana kerja yang selamat dan kondusif.
  • Pengganggu atau pengadu dipaksa berhenti kerja
  • Pekerja mempertikaikan siasatan dalaman

INFO

Apa itu gangguan seksual?

MENGIKUT buku Kod Amalan Gangguan Seksual Kementerian Sumber Manusia, gangguan seksual adalah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan kepada mangsa. Ia mungkin dilakukan secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal.

Di mana ia berlaku?

Gangguan seksual di tempat kerja berlaku ketika dalam atau di luar waktu kerja yang mana ia timbul dari hubungan dan tanggungjawab yang berkaitan dengan pekerjaan, termasuk:

Di majlis sosial yang berkaitan dengan tugas
Ketika bertugas di luar tempat kerja
Ketika mesyuarat atau latihan yang berhubung dengan pekerjaan
Dalam perjalanan berkaitan dengan tugas
Melalui perhubungan atau media elektronik.

Kategori gangguan seksual

1. Ugutan
Ia memberi kesan secara langsung kepada status pekerjaan seseorang. Keadaan ini berlaku kepada seseorang yang memiliki 'kuasa untuk mengawal' ke atas pekerja yang menjadi mangsa. Golongan berjawatan tinggi menunjukkan kekuasaannya dengan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap pekerja di dalam sesebuah organisasi.

Mereka yang tidak patuh kepada arahan ketua untuk melakukan perbuatan ini akan tertekan ketika menjalankan pekerjaan sehingga ada kalanya mereka diberhentikan kerja.

Sebagai contoh, seorang pegawai atasan mempunyai kuasa menentukan gaji dan pangkat cuba mengugut pekerja bawahan memberi layanan seksual kepadanya. Jika pekerja mengikut pegawai atasan itu, mereka mendapat faedah berkaitan dengan pekerjaannya.

2. Ancaman
Tingkah laku seksual yang dianggap mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan tetapi tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan faedah pekerjaan. Tingkah laku ini menimbulkan suasana tidak tenteram kepada mangsa.

Gangguan ini boleh berlaku sesama pekerja. Penganiayaan terhadap pekerja ini boleh timbul daripada perkataan atau perbuatan, termasuk membuat perbincangan mengenai aktiviti seksual sentuhan yang tidak sepatutnya, mengeluarkan komen ke atas sifat fizikal seseorang menggunakan bahasa isyarat serta penggunaan bahasa bersifat lucah.

Jenis gangguan seksual

1. Secara lisan
Kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

2. Bukan lisan atau isyarat
Gangguan ini kadang-kadang tidak difahami mangsa. Sebagai contoh, pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan.

3. Visual
Gangguan yang boleh dilihat. Pada zaman teknologi maklumat ini, gangguan sebegini paling cepat menular pekerja. Gangguan ini mungkin dalam e-mel, pesanan sistem ringkas (SMS) kepada mangsa. Contoh gangguan visual seperti menunjukkan bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual atau mendedahkan bahagian sulit.

4. Fizikal
Gangguan membabitkan fizikal badan mangsa seperti menyentuh, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan menyerang secara seksual.

5. Psikologi
Gangguan yang mengganggu emosi mangsa. Gangguan ini sukar untuk dibuktikan tetapi memberi kesan yang mendalam kepada mangsa. Contoh, mengulangi jemputan sosial yang tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau bercumbuan.

Apa yang boleh dilakukan?

1. Katakan TIDAK kepada pelaku.
Beritahu pelaku perbuatan itu kejam. Jika perkara itu masih berlaku, tulis memo kepadanya supaya memberhentikan perbuatannya dan simpan salinan sebagai bukti.

2. Catatkan setiap kejadian.
Tulis tarikh, masa dan tempat kejadian, termasuk maklumat kejadian dan tindak balas anda. Simpan salinan di rumah. Maklumat ini penting untuk tindakan undang-undang.

3. Dapatkan sokongan moral daripada rakan serta ahli keluarga.

4. Dokumen kerja anda.
Simpan salinan penilaian prestasi dan memo yang mengandungi rekod kualiti kerja anda. Pelaku yang juga pegawai atasan mungkin akan mempersoalkan prestasi kerja untuk menyokong tindakannya.

5. Jangan memendam berseorangan.
Dapatkan saksi dan mangsa yang lain. Berdiam diri menyebabkan pelaku meneruskan perbuatannya dan ini akan menyebabkan anda terasing. Anda mungkin bukan yang pertama dan bukan pula satu-satunya mangsa kepada individu itu. Mungkin ada orang lain terima masalah sama. Dapatkan maklumat di sekeliling anda secara sulit dan dapatkan sokongan untuk membuat dakwaan. Dua pertuduhan adalah mustahil untuk dipertikaikan.

6. Gunakan saluran dalaman yang ada di tempat kerja.
Buat laporan kepada Bahagian Sumber Manusia. Jika anda ahli kepada mana-mana kesatuan sekerja, kemukakan aduan kepada kesatuan itu.

7. Buat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja.




Sumber : BHarian 15/06/2011

Capaian entry berkaitan :
* Mangsa cabul diberi pampasan RM175.1 juta

1 ulasan:

  1. salam..
    Selalunya macam tu lah kes-kes gangguan sexsual di pandang sebelah mata jer. lagi-lagi kalau pihak atasan tu semua lelaki. memang tak ada tindakan yang diambil..
    Yang tensionnya simangsa..pengadu terlepas boleh senyum manjang..
    sakit hati kan...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...