PAGE

Isnin, Jun 27, 2011

Panduan dicintai suami hingga ke akhir hayat


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Isteri mana yang mahu suaminya berpaling cinta, perkahwinannya goyah oleh orang ketiga atau berakhir tragis dengan perpisahan. Jika mereka yang bergelar datuk nenek pun boleh bercerai, inikan pula pasangan muda yang sentiasa dilambung gelombang konflik persekitaran yang mengancam.

Oleh itu, tidak hanya isteri, suami juga wajib belajar menghayati panduan melestarikan cinta dan kasih sayang kepada pasangan hidupnya. Bagaimanakah caranya dicintai pasangan anda sampai mati?

1 – Miliki impian yang sama

Apakah anda dan suami sudah menetapkan impian bersama? Impian memiliki kemewahan harta benda, memberi pendidikan yan gpaling hebat dan lengkap untuk anak-anak, memberi khidmat untuk agama dan bangsa, mengikhlaskan hidup untuk Allah SWT, membalas jasa orang tua dan akhirnya impian bercinta sampai mati dengan pasangan hidup anda.

Memang mustahil anda dan suami sepakat atas setiap keputusan, mesti ada perbezaan di sana-sini. Boleh saja berbeza pandangan, cara dan kaedah dalam mengambil keputusan, asalkan matlamat tetap satu iaitu mendapat kebahagiaan cinta.

Namun bagi mereka yang benar-benar cinta kepada pasangannya, biasanya mereka jarang sekali berbeza pandangan. Mereka memiliki kesamaan dalam banyak hal, hampir tidak nampak kerselisihan dan perbezaan. Mereka begitu sehati sejiwa menjalani kehidupan dengan minat dan matlamat yang sama.

Oleh itu jika anda mahu dicintai pasangan sampai mati, belajarlah menyukai apa yang disukai pasangan, membenci apa yang dibenci, meminati apa yang diminati, menggilai apa yang digilainya dan bermimpi dengan mimpi yang sama.

2 – Sedia berubah untuk selalu jatuh cinta

Zaman berubah cepat, tapi takkanlah perasaan anda dan suami tidak berubah-ubah semenjak dulu hingga kini. Bohonglah kalau anda menyatakan bahawa suami saya ok, tiada masalah, hubungan kami mulus, tiada konflik.

Tiada pantai yang tidak dipukul ombak, tiada manusia yang tidak pernah diuji. Mesti ada perubahan perasaan suami terhadap diri anda dan begitu pula sebaliknya. Ðalam mengatasi perubahan itu, anda mesti mencari sebab dan puncanya.

Mengapa suami semakin dingin, mengapa anda pula bertambah panas baran? Mengapa anda berdua kurang bersentuhan, malas bersembang, sibuk dengan aktiviti sendiri-sendiri? Mengapa bunga-bunga cinta itu semakin layu, ghairahnya padam, kemanisannya pudar? Bagaimana membuat anda berdua saling jatuh cinta lagi, apakah yang perlu diubah, diperbaharui dan dibina semula? Setiap hari fikirkanlah tentang bagaimana membuat pasangan anda jatuh cinta lagi kepada anda, kini dan selama-lamanya. Cinta sampai mati!

3 – Abaikan sesuatu atau seseorang demi si dia

Panduan yang ketiga untuk memastikan anda dicintai pasangan sampai mati adalah jadikanlah si dia orang yang paling penting dan paling terutama bagi anda. Abaikanlah kerja-kerja rumah atau pejabat jika bersamanya. Bahkan saudara-mara, anak-anak dan kucing kesayangan pun tidak layak merampas perhatian anda daripada sang suami tercinta.

4 – Lebih sabar daripada pasangan

Buktikan cinta anda kepada pasangan dengan menunjukkan kesabaran anda mendampinginya di kala susah dan senang. Kesabaran adalah modal utama seorang isteri, menyiapkan keperluan suami dan mentadbir rumahtangga bukan calang-calang peranan.

Kadang-kadang memang kedengaran suara isteri merungut letih, emosinya tercabar tetapi semua itu bukan apa-apa dibandingkan dengan ketabahannya melayan kehendak suami dan anak-anak.

Jika suami marah, isteri sanggup diam walaupun dia tahu suaminya yang bersalah. Jika anak-anak menangis, bergaduh sesama sendiri, bermasalah di sekolah, ibu sanggup memaafkan walaupun hatinya sakit. Bukan hanya itu, sanggup pula memeluk anak yang degil itu, mendoakan dan menolongnya menghadapi masalah.

Apa akan jadi apabila isteri hilang sabar? Pastinya suami akan tercabar, anak-anak pula jiwanya tercalar. Oleh itu tunjukkanlah kesabaran yang tebal supaya suami semakin cinta hingga ke titik akhir perjuangan isteri.

5 – Menciptakan suasana tenang pada jiwanya

Tiada ketenangan yang paling bernilai di dunia ini kecuali apabila seorang hamba dekat dengan Allah SWT, mencintai dan dibalas cintanya. Ðan tiada cinta yang diredhai Allah, yang akan mengalirkan ketenangan pada jiwa manusia melainkan cinta suami kepada isterinya.

Para isteri mesti menghayati peranannya sebagai pemikul amanah dari Allah SWT. Untuk sentiasa menciptakan suasana tenang dan tenteram untuk suami tercinta. Apabila kebahagiaan itu telah meresap jauh ke dasar hatinya, dia akan mengingati isterinya sebagai insan yang paling istimewa hingga ke akhir hayatnya.

Biarkan suami semakin mencintai anda kerana sudi menjadi orang yang lebih kuat mencintai, mengatasi cintanya. Sesiapa yang memberi, pasti akan mendapat balasan yang lebih dari apa yang diberinya. Jadikanlah cinta anda suatu pemberian dan sedekah dari hati yang luhur pemberian dan sedekah dari hati yang luhur untuk yang dicintai.

Satu cinta itu pasti akan dibalas dengan 700 kali cinta. Bukankah Allah menjanjikan sedekah dan nafkah ikhlas itu dengan ganjaran sedemikian rupa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapaa yang dia kehendaki, dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah 261)

Renung-renungkan...




Sumber : Ðr Juanda Jaya di MW#1423

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...