STESEN Tanjong Pagar Singapura di awal pembukaannya pada tahun 1932.
TANGGAL 2 Mei 2011 genap 79 tahun Stesen Keretapi Tanjong Pagar di Singapura beroperasi. Biar pun ada yang berkata pernah ada persetujuan bahawa stesen itu akan terus beroperasi selagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan ke Singapura, namun segala-galanya tinggal kenangan. Stesen yang dirasmikan Sir Cecil Clementi - Gabenor Singapura ketika itu, bakal menghentikan operasi pada 30 Jun ini. Bermula pada 1 Julai 2011, Woodlands Train Checkpoint (WTCP) akan menjadi destinasi persinggahan terakhir KTMB bagi menurunkan penumpang ke Singapura. Manakala nasib Stesen Tanjong Pagar seterusnya akan ditentukan oleh kerajaan Singapura yang berjanji akan mengekalkannya sebagai warisan sebagaimana yang terkandung di dalam Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) pada 1990.
Jadual ke Woodlands akan berterusan sehingga KTMB menamatkan perjalanan ke Singapura sepenuhnya yang sehingga kini tarikhnya belum dimuktamadkan. Selepas itu tiada lagi perjalanan ke republik itu menggunakan kereta api. Stesen terakhir selepas KTMB menamatkan perkhidmatan di WTCP adalah Stesen Johor Baharu Sentral.
Justeru peluang menyusuri perjalanan ke Stesen Tanjong Pagar bersama KTMB baru-baru ini sememangnya membawa kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Itu merupakan perjalanan yang pertama memasuki Singapura menggunakan kereta api. Pengalaman itu juga mungkin yang terakhir lantaran Tanjong Pagar kini menghitung hari untuk menutup pintunya. Siren kereta api yang berkumandang untuk tempoh puluhan tahun tidak akan kedengaran lagi di situ. Manakala landasan yang telah hampir 80 tahun menjadi saksi jalinan hubungan antara Malaysia-Singapura tidak akan lagi dilintasi kereta api.
Perjalanan media ke Stesen Tanjong Pagar tidak menggunakan kereta api. Sebaliknya troli yang digunakan untuk proses penyelenggaraan landasan menjadi pengangkutan. Bahagian kiri dan kanan troli terbuka manakala si pemandu mengadap ke kanan landasan dan bukannya ke hadapan seperti mana kereta api atau kenderaan lain. Rombongan media, pelukis dan pasukan komunikasi korporat KTMB berdiri sambil berhimpit. Untuk menaiki troli perlu memanjat tangga besi dua anak mata yang tergantung agak tinggi. Turun pula bukan di platform tetapi di atas landasan. Namun kesemua 'penumpang' rela berasak biar pun peluh memercik di sana sini, asalkan sampai ke stesen Tanjong Pagar.
Ada rahsia di sebalik perancangan KTMB agar perjalanan ke Tanjong Pagar kali ini menggunakan troli. Tentunya mahu setiap denyut laluan kereta api kira-kira setengah jam itu dirasai dan dihayati sepenuhnya. Destinasi pertama adalah Stesen Bukit Timah yang kini hanya menjadi laluan. Stesen tersebut terkenal dengan jambatan besinya. Dalam kesibukan memperkatakan tentang Tanjong Pagar, ramai yang terlupa bahawa Stesen Bukit Timah juga akan ditutup pada tarikh yang sama. Ketua Stesen Bukit Timah, Atan Ahmad yang menyifatkan stesen tersebut rumah keduanya berkongsi nostalgia Bukit Timah. Stesen tersebutjuga dibuka pada 1932 bertujuan menghubungkan kawasan luar bandar Singapura.
Fungsi Stesen Bukit Timah adalah mengawal laluan keretapi menerusi semboyan dan isyarat lampu yang menjadi petunjuk kepada pemandu kereta api. Pelbagai peralatan mekanikal yang dikendalikan secara separa elektrikal masih ada di situ. Biar pun bangunan Stesen Bukit Timah setingkat cuma dan diperbuat daripada batu bata, namun nilai warisannya amat tinggi. Ia menjadi lambang perkembangan sistem pengangkutan darat yang memudahkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan Singapura. Perjalanan diteruskan ke WTCP untuk melepasi pemeriksaan kastam dan imigresen Singapura di situ. Dari situ bermulalah keterujaan mahu meneroka Stesen Tanjong Pagar yang Julai nanti tidak lagi dihubung menerusi landasan. Menjejakkan kaki ke stesen tersebut sememangnya menawarkan suasana klasik dan amat berbeza. Manakan tidak perjalanan yang disajikan kepesatan pembangunan Singapura bertukar wajah apabila tiba di stesen tersebut. Keunikan seni binanya masih terserlah. Mural di dinding dalam serta figura di luar bangunan sememangnya mengkagumkan. Mata lekat memandang, makanala otak mencatur kehebatan seni yang dikatakan hanya terdapat di dua stesen di dunia iaitu di Helsinki dan di Tanjong Pagar.
Bangunan tiga tingkat dengan struktur konkrit itu menggunakan kejuruteraan termaju ketika pembinaannya. Terdapat beberapa elemen dominan pada bangunan tersebut antaranya lukisan mural, figura manusia serta menara jam. Empat figura manusia setinggi 22 meter melekap pada bahagian hadapan bangunan. Ia adalah kerja tangan tukang arca terkemuka di Itali, Angelino Vanette dari Studios of Raoul, Floerence. Keempat-empat figura itu mewakil kegiatan ekonomi Singapura ketika itu iaitu perdagangan, pertanian, pengangkutan dan industri. Lukisan mural di dewan menunggu pula direka di studio Messrs Dooulton & Co London memaparkan enam warga Malaya yang sedang bekerja.
Stesen tersebut mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. Sebaik dirasmikan, operasi stesen-stesen kereta api lain di Singapura seperti di Jurong, Tank road, Pasir Panjang, Mandai, Bukit Panjang dan Telok Belangah dihentikan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, bangunan bercirikan Art Deco, Neo-Classical dan seni bina Cina itu mempunyai hotel dua tingkat untuk kemudahan para penumpang. Hotel tersebut pada satu masa amat terkenal namun atas sebab tertentu semuanya tinggal begitu sahaja. Satu lagi yang menarik tentang stesen Tanjong Pagar adalah ruang menunggunya yang luas dan mampu menampung ramai pengunjung pada satu-satu masa. Berbumbungkan konkrit beserta bukaan pada alang, dewan menunggu tidak memerlukan pencahayaan tambahan pada waktu pagi dan petang.
Terlalu banyak mahu disingkap tentang stesen tersebut. Kaunter jualan tiket masih tersergam begitu, manakala papan-papan tanda berusia puluhan tahun dengan ejaan lama kekal untuk tatapan. Begitu juga kipas-kipas lama yang hakikatnya penuh nostalgia sehingga menyukarkan ingatan terhadap Stesen Tanjong Pagar dipadamkan begitu saja. Bagi Ketua Stesen Tanjong Pagar, Shamsul Bahri Shari, 43, berkhidmat 15 tahun di situ sarat dengan nilai sentimental. Air mata lelaki itu menitis tatkala berbicara tentang stesen yang akan ditinggalkan selama-lamanya oleh KTMB. Beliau yang berulang-alik Gemas-Tanjong Pagar (keluarganya di Gemas) setiap hujung minggu amat menghargai pengalaman bertugas di 'bumi kecil Malaysia' di atas tanah Singapura. Biar pun sedih, namun tidak tercapai oleh akalnya untuk memikirkan kehilangan Stesen Tanjong Pagar walaupun dunia mengetahui bahawa ia sememangnya bukan milik negara.
Stesen Tanjong Pagar menjadi realiti apabila Sultan Johor ketika itu Sultan Abu Bakar menerima permintaan British supaya laluan kereta api ke Tanjong Pagar dibina. Selepas 79 tahun - jika dicampur tarikh ia mula dibina iaitu pada 1909 maka usaha untuk menyediakan laluan yang merapatkan hubungan Malaysia-Singapura hakikatnya telah berlangsung selama 102 tahun. Kini Stesen Tanjong Pagar menjadi warisan Singapura.
Lebihan tanah di sekeliling kawasan itu tidak mustahil akan dibangunkan sepesat-pesatnya oleh kerajaan republik itu sekali gus menghimpit Stesen Tanjong Pagar dalam dunia yang tersendiri. Fungsinya kelak hanya sebagai tontonan umum. Tanggal 30 Jun, kereta api terakhir akan meninggalkan Stesen Tanjong Pagar tepat pukul 11 malam membawa kesemua 90 rakyat Malaysia yang bertugas di stesen itu dan juga di depot - meninggalkan tanah Singapura untuk selama-lamanya.
Sumber : Utusan 05/06/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...