PAGE
▼
Jumaat, Jun 10, 2011
Riak syirik paling halus musnahkan amal ibadat
Assalamualaikum warahmatullah,
Amalan bersedekah adalah jalan bagi mukmin mendekatkan diri serta meningkatkan keimanan kepada Allah. Amalan sedekah membawa kepada keredaan Allah dan menghapuskan dosa.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa juga harta yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa juga yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah: 271)
Perlu ditekankan, amalan sedekah yang dilakukan jangan sampai menimbulkan riak kerana perbuatan menunjuk-nunjuk sedekah melambangkan hati yang tidak ikhlas kepada Allah. Ingatlah Allah Maha Mengetahui gerak hati kita.
Islam menegah umatnya berpeluk tubuh dan menjadi penonton terhadap penderitaan orang lain. Menjadi kewajipan orang kaya, pemimpin masyarakat dan negara atau sesiapa saja yang berkemampuan untuk membantu sesama mukmin yang dalam kesusahan.
Jangan sekali-kali mempertikaikan sedekah atau bantuan yang diberikan orang lain kerana sikap membandingkan sedekah yang banyak dengan sedikit adalah bertentangan sama sekali dengan kehendak agama. Perbuatan sebegini secara tidak langsung akan menghapuskan pahala sedekah, malah membawa kepada kemurkaan Allah. Sepatutnya, kita bangga melihat ada saudara kita yang mampu bersedekah dan menjadikan sikap murah hati itu sebagai motivasi untuk kita mengikuti jejak mereka.
Riak adalah pemusnah amal ibadah dan Rasulullah menyamakan riak sebagai syirik paling halus seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Yang amat aku takuti ke atas kamu ialah syirik yang paling kecil. Kemudian Baginda ditanya mengenainya dan Baginda mengatakan, itulah riak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Oleh itu, usahlah kita berkembang dada penuh bangga kerana paling banyak bersedekah dan membuat kebaikan.
Rasulullah SAW ada berwasiat yang antara lain katanya: “Benarlah khabar gembira kepada umat ini dengan kemuliaan, ketinggian, kemenangan dan darjat di bumi. Maka sesiapa melakukan pekerjaan akhirat demi dunia, dia tidak akan mendapat apa-apa di akhirat.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Buatlah amal kebaikan dan bersama berlumba melakukannya serta menjaga keikhlasan hati supaya perasaan riak tidak dapat menyelinap masuk ke dalam hati.
Renung-renungkan....
Rujukan : Wan Mohd Ruzlan Wan Omar di BHarian 29/11/2010
pengisian rohani yang menarik. thanks..
BalasPadam