Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Dalam egrup yang disertai, terdapat seorang sahabat yang berkongsi masalahnya :
Saya mohon pendapat dari sesiapa yang berpengalaman. Sekarang saya sedang sarat mengandung anak ke dua dan jangka bersalin pada akhir bulan depan. Tetapi sangat mendukacitakan bila suami saya yang bertugas di Kedah dan saya di KL (tinggal asing sejak dr awal kahwin selama 3thn lebih) dia telah curang dgn saya. Dia ada hubungan dengan perempuan lain di kedah mugkin sejak dari awal tahun ini lagi.
Dia juga gagal memberi nafkah pada anak sejak dari anak baru lahir hingga sekarang. dia juga byk hutang di bank dan org lain. Skrg dia nak ceraikan saya sbb dia dah ada perempuan itu, malah keluarga dia pun suruh ceraikan saya sebaik shj saya bersalin sbb keluarga dia dah terima perempuan tu.
Saya nak minta pendapat, perlu ke saya tunggu hingga dia yg buat permohonan cerai atau saya yg perlu bertindak membuat permohonan cerai tersebut. Saya dah cuba pujuk dia tp dia sendiri yg berkeras hendak ceraikan saya. Saya juga dah putus asa dan tekad untuk bercerai.
tapi saya tak tahu sama ada saya perlu bertindak sebelum dia bertindak atau tunggu sehingga dia yg failkan. Saya juga nak tahu bagaimana saya hendak tuntut nafkah anak2 setelah bercerai andai kata dia gagal membayar nafkah yg telah ditetapkan mahkamah.
Terima kasih
Berat mata membaca, berat lagi bahu memikul....
Ada beberapa persoalan di sini :
1. Mengapa tinggal berasingan/berjauhan dari awal kahwin?
2. Perjanjian selepas berkahwin bagaimana?
3. Suami mengabaikan nafkah sejak bila?
4. Suami mengabaikan nafkah kepada anak sahajakah?
5. Suami mengabaikan nafkah anak dan isteri sejak 'curang' kah?
Penting di sini puan fikirkan apa yang puan mahu dalam hidup. Jika setakat mahukan neraka dunia, wajarlah puan fikirkan semula apakah matlamat perkahwinan puan dan suami.
Tinggal berjauhan memang mengundang cabaran yang bukan kecil. Tempat isteri di sisi suami. Jika suami minta puan tinggal bersamanya dan puan 'refuse', maknanya puan derhaka kepada suami, kecuali setelah berbincang dan suami bersetuju untuk berjauhan, tetapi tidak untuk jangka masa yang panjang. Tiga tahun bukanlah tempoh masa yang pendek.
Jika suami memang bersetuju hidup secara berasingan, puan bukanlah isteri derhaka dan wajib ditanggung suami sepenuhnya. Apa yang puan patut buat ialah file kes ke pejabat kadi berdekatan tempat tinggal puan. File kes bukan bermaksud untuk bercerai tetapi lebih kepada membuat pengaduan. Tempoh masa puan patut file kes adalah dalamasa tiga bulan berturut-turut apabila suami GAGAL melaksanakan tanggungjawabnya, bukan tunggu hingga tiga tahun.
Puan mengatakan suami gagal memberi nafkah pada anak sejak dari anak baru lahir hingga sekarang. Ini bermakna suami puan juga tidak pernah merasa beratnya tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Bila tanggungjawabnya diambil-alih oleh puan sepenuhnya, suami berasakan dia tidak perlu risaukan tentang tanggungjawabnya lagi, kerana baginya, puan rela diperlakukan begitu. Secara tidak langung, suami puan mungkin merasakan dia tidak perlu bersusah payah memerah tenaga dan fikirannya untuk keluarga dan ini menyebabkan dia mempunyai ruang dan peluang untuk mencari hiburan di luar.
Ini kesilapan ramai wanita, bila suami gagal melunaskan tanggungjawab, mereka masih bersabar dan bertolak ansur, tetapi bila diketahui suami ‘curang’, mereka gelabah dan rasa tertipu. Sebenarnya puan patut rasa tertipu sebaik sahaja suami gagal menunaikan tanggungjawab apabila tidak memberikan hak puan. Maaf jika puan terasa.
Cuba dapatkan khidmat nasihat kaunselor di Pejabat Kadi. Saya syorkan puan cepat-cepat buat aduan di sana sebab sekiranya suami puan yang mendahului file kes ‘isteri derhaka’, puan takkan dapat nafkah langsung, silap haribulan hak hadanah juga lebih berat menyebelahi suami. Paling penting, puan kena ada alamat terkini suami dan juga alamat pejabat bagi memudahkan urusan Pejabat kadi untuk menghubungi suami puan.
Cinta jarak jauh punca curang
Kaunselor kekeluargaan sering memperkatakan tentang tanda-tanda pasangan curang. Ia disingkap melalui seminar motivasi, buku-buku, temu-bual, ceramah agama hingga sembang internet, supaya setiap suami dan isteri sedar akan bahaya jarum-jarum syahwat yang mudah bertebaran di mana-mana.
Walau sebanyak manapun tanda-tanda yang diberikan sebagai tips, namun, tanda yang paling halus hingga yang jelas dan boleh dilihat dan dirasai dalam hati ialah diri anda sendiri kerana anda dan pasangan adalah satu jiwa yang memiliki ‘instinct’ dan empati antara satu sama lain.
Tetapi, tulisan ini sebenarnya tidak mahu mengungkap tanda-tanda yang sudah biasa lagi senang difahami, agaknya lebih baik jika kita memahami salah satu sebab kecurangan dalam diri setiap orang kepada pasangannya.
Berpisah jasad dan jiwa
Berpisah jawad dan jiwa merupakan punca paling utama merosak alam percintaan. Boleh jadi suami dan isteri terpisah kerana tuntutan kerjaya, pendidikan atau campur tangan keluarga yang mahukan mereka berpisah atas sebab-sebab tertentu.
Pada permulaannya, perpisahan memang manis, apatah lagi jika saat-saat bertemu di hujung minggu, tetapi kerana beban kesibukan keduanya hanya bertemu pada hujung bulan, kemudian bertambah panjang menjadi beberapa bulan hingga akhirnya tidak berkesempatan meneguk kemanisan cinta lagi.
Saat berpisah banyak godaan yang mesti dihadapi suami dan isteri. Ada kalanya keinginan untuk bersama hanya dirasai suami sedangkan isteri tidak terlalu dahagakan seks kerana kesibukannya menjaga anak-anak dan kerjaya.
Boleh jadi pada masa lain, isteri pula yang berkobar-kobar memendam bara asmara kerana lama tidak disentuh, sedangkan suami sudah pun surut ghairahnya disebabkan kesibukan dirinya.
Kalau mereka tidak berpisah, semua itu senang dikawal, isteri tidak hendak tetapi suami boleh merangsang kerana mereka di atas katil yang sama, begitu juga kalau isteri teringin dan suami dingin, semua boleh selesai dalam kepuasan yang sama jika mereka masih berada di atas bantal yang sama. Malangnya jika kedua-dua terpisah, bagaimana hendak memujuk, merangsang dan membelai, jika mereka berjauhan?
Ada kalanya timbul rasa tidak puas hati dengan pasangan, muncul prasangka yang bukan-bukan seperti “Saya rindukan awak, tapi awak buat tidak tahu saja, kenapa? Ada orang lain ke?” kata suami.
Isteri juga memendam rasa, “Semua hal keluarga, aku yang uruskan. Anak-anak, rumah, sampaikan emak bapak dia pun aku yang layan. Ðia pula kerja jauh, dapat duit, ‘enjoy’ dengan kawan-kawan atau entah-entah, sudah dapat awek baru!”
Perasaan-perasaan songsang sebegini timbul kerana tidak ada kejujuran dan enggan berterus-terang dengan pasangan. Walaupun jauh, keraplah bersembang dari hati ke hati, berterus-terang menyatakan pasangan anda.
Jika pasangan mahukan kejujuran, bukan bermakna dia meragui, tidak sama sekali! Sebenarnya dia hanya mahu anda menolong dia untuk membina kepercayaan antara satu sama lain. Sekali anda tidak jujur, berkali-kali pasangan anda akan merasa dia ‘ditipu’. Akhirnya saling berbalas dendam kerana tiada masa untuk terangkan perkara sebenar.
Akibat seks terabai
Semua masalah rumahtangga sebenarnya berpunca dari satu sebab sahaja, iaitu belaian dan kepuasan seks. Bagi pasangan muda dan sihat, masalah seks menjadi prioriti yang mesti dipenuhi kedua-duanya. Apatah lagi sebelum ini mereka tidak pernah kecewa dengan layanan pasangan.
Mimpi-mimpi bersama pastinya sentiasa menekan perasaan dan mengecewakan mereka. Boleh jadi keduanya merasa begitu putus asa, mengharap yang tidak dapat dan menunggu yang tidak pulang. Sehingga ada bisikan kejahatan yang mula menyusup masuk ke hati yang lama tidak tersentuh kehangatan asmara.
Jika mereka tidak kuat iman, masing-masing mula merajuk dan rasa tidak disayangi. Kemudian mencari alternatif untuk melupakan masalah dengan pasangan. Ada yang buat kerja kuat-kuat, cari wang banyak-banyak untuk mengalihkan masalah dengan isteri.
Ada yang terlibat dengan hobi-hobi baru yang menyibukkan sampai suami pun tidak dilayan lagi. Apa yang paling berbahaya ialah, jika suami dan isteri mencari kekasih tanpa syarat, yang mahu menerima diri mereka tanpa ada apa-apa ikatan.
Mula-mula mereka jatuh cinta, tapi tidak melibatkan hawa nafsu. Hanya teman pengubat rindu yang mahu mendengar segala keluh kesah. Kemudian ia berubah menjadi rangsangan yang mengasyikkan, melekakan, melenakan dan seterusnya menyeleweng jauh dari norma kesucian. Apatah lagi zaman Facebook, Twitter dan segala kebebasan di hujung jari mula menularkan virus zina batin secara tersembunyi. Semua kerumitan ini berpunca dari terpisahnya badan dan hati setiap pasangan.
Sebumbung tapi tidak sehati
Ramai yang beranggapan serong dengan pasangan yang saling berjauhan. Mereka mengatakan suami yang meninggalkan isteri dan anak-anak sekian lama adalah suami yang tidak bertanggungjawab. Mereka juga mengata isteri yang suka berpisah dari suami, jenis isteri yang tidak sayangkan suami dan tidak kisah dimadukan.
Tak dinafikan memang sungguh berbahaya jika lama berpisah dari pasangan, perpisahan yang melibatkan jasad dan jiwa. Namun begitu, ada sesetengahnya boleh melalui masa-masa sulit itu dengan mudah kerana jiwa mereka tidak pernah terpisah walaupun jasad di mana-mana. Apalah ertinya jika suami isteri duduk sebumbung tetapi hati bercakaran, hanya jasad kaku yang berpura-pura mencintai dalam kebencian.
Berpisah tidak mengapa, asalkan jangan lama-lama dan satu syarat lagi, asalkan iman tegak di jiwa!
Rujukan : Ðr Juanda Jaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...