PAGE
▼
Isnin, Julai 18, 2011
Pujian runtuhkan ego suami
Assalamualaikum warahmatullah,
Pernahkah anda bertemu dengan orang yang suka menceritakan aib suaminya? Perkataan yang keluar dari lidahnya hanyalah rungutan, keluh kesah dan serba serbi tidak puas hati dengan apa yang suami beri. Seolah-olah suaminyalah yang paling teruk dari seluruh lelaki di dunia ini.
Duit yang diberi tidak cukup, layanan suami tidak romantik, perhiasan dan baju yang dihadiahkan suami tidak cantik, segala-galanya ‘sifat dua puluh’ suami disenaraikan dengan gaya bahasa yang amat menyakinkan para pendengar. Kedekut, pemalas, pengotor, gelojoj, kuat merajuk, ego, panas baran dan macam-macam lagi dibuka segala aibnya hingga ceita atas katil pun jadi bahan perbualan tanpa rasa malu mahupun segan.
Padahal agama mengajarkan tentang perumpamaan isteri sebagai pakaian bagi suaminya dan begitu pula sebaliknya. Perumpamaan pakaian ini adalah sebagai penutup aurat suaminya, merahsiakan aib dan menjaga maruahnya. Sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah Taala yang bermaksud, “...Mereka itu (isteri kamu) adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah 2:187)
Tidak sedarkah isteri apabila dia menceritakan kelemahan suaminya, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Allah dan suami? Perbuatannya itu termasuk dalam dosa besar yang akan dibalas dengan ancaman seksa kubur hingga ke hari kiamat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kedua orang dalam kubur ini diseksa. Mereka tidak diseksa kerana perkara yang besar tetapi perkara itu termasuk dosa yang besar. Ada pun yang satu, kebiasaannya berjalan mengadu-adu (namimah - adalah mengadukan aib orang lain supaya yang mendengar benci kepada orang tersebut). Dan yang satu lagi kerana tidak membersihkan bekas kencingnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Balasan yang seterusnya ialah dihapus pahalanya dan ia diberi kepada orang yang diumpat. Sebagaimana mafhum hadis Rasulullah SAW yang diriwayaatkan oleh Imam Muslim tentang orang yang muflis di akhirat adalah orang yang menzalimi saudaranya, memukul, menyakiti jasad dan jiwanya dengan cara menghina, mengumpat dan memfitnah, maka pahala orang yang zalim itu diberi kepada orang yang dizalimi sehingga habislah pahalanya yang asalnya sebesar gunung, maka sedikit demi sedikit diambil utnuk orang ramai yang dizaliminya ketika di dunia dahulu.
Berhati-hati
Kemudian al-Quran juga menceritakan ancaman orang-orang bermulut celupar ini di dalam surah al-Hujurat yang bermaksud, “....dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (keburukan) orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (QS 49:12)
Ayat ini dengan tegas dan jelas menerangkan tentang manusia yang paling baik dalam pandangan Allah iaitu orang yang paling bertakwa. Takwa bermakna berhati-hati dalam melakukan sesuatu supaya tidak terjerumus dalam perbuatan maksiat kepada Allah. Jadi, yangberhak menilai seorang insan adalah Tuhannya. Jika Allah Yang Maha Pengampun dan Penyayang suka menutup aib dan cela mansuia, mengapa pula mereka mahu membukanya dan tidak berbelas kasihan langsung terhadap orang yang dicela?
Suami telah menjadi sebahagian daripada jiwa isterinya, jika isteri mengumpat suami, seolah-olah dia menikam dirinya sendiri dengan ketajaman lidahnya. Jenayah lidah boleh mengakibatkan kejahatan yang lebih besar dan sahsyat dalam rumahtangga.
Dosa besar
Selain mengumpat suami, wujud golongan isteri yang kerap terbabit dalam penderaan dan pemaksaan terhadap suami-suami yang lemah, menuntut sesuatu yang suami tidak sanggup memikulnya merupakan dosa besar yang boleh membawa kepada seksa api neraka sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku melihat ke dalam neraka dan kebanyakan penghuninya adalah golongan perempuan.” “Mengapa Ya Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda : “Kerana kekufuran mereka.” Para sahabat bertanya : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Rasulullah SAW bersabda : “Mereka kufur kepada suami. Seandainya kamu berbuat baik kepada isterimu sepanjang tahun kemudian dia melihat satu kesalahanmu, maka dia berkata: Aku tidak melihat satu pun kebaikanmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Itulah puncanya yang menyebabkan kaum wanita ramai terjerumus dalam api neraka. Jika para isteri sentiasa mengingati akan ancaman ini, maka waspadalah terhadap kejahatan lidah anda.
Erk... tetapi bagaimana pula jika perangai suami memang membosankan, takkan isteri sanggup bersabar dan mendiamkan diri hingga sakit jiwa? Memang pun tidak boleh didiamkan sikap-sikap suami yang negatif. Mengapa tidak dipergunakan lidah itu untuk mengucapkan kata-kata yang baik? Atau pun rangsangan dan nasihat yang ikhlas dengan kelembutan bahasa dan kesopanan budi pekerti. Cakap memang senang, dah berbuih mulut menasihati tetapi tidak juga nampak tanda-tanda mahu berubah.
Pujuklah hati anda, kita hanya berusaha, Tuhan pula yang berhak memberi hidayah dan petunjuk-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Anggaplah satu sifat buruk itu boleh digantikan dengan kebaikan-kebaikannya yang lain, takkan tidak ada satupun jasa suami yang anda nampak?
Janganlah diingat sangat keburukannya, lebih elok memuji kebaikan suami. Biasanya orang yang kena puji cepat mengalah dan tunduk. Kadang kala satu kalimah yang anda lafaz membuatkan Allah Taala redha dan memandang anda dengan pandangan rahmat, tetapi mungkin saja anda telah menyebut satu perkataan yang membuat jatuhnya kemurkaan Allah. Oleh itu, jagalah lidah dan selamatkan rumahtangga anda!
Rujukan : Dr Juanda Jaya #1316
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...