Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Raya semakin hampir, kerja rumah makin bertambah, tapi suami buat tidak tahu sahaja sambil duduk merehatkan diri di sofa. Apa perasaan anda apabila anda seorang sahaja yang berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja rumah seharian sedangkan anda pun penat bekerja juga? Kalau pada hari-hari biasa pun kerja rumah sudah melambak, apatah lagi dengan ketibaan Ramadan dan Syawal, pasti senarai kerja rumah bertambah panjang lagi.
Beberapa hari lepas, rakan sekelas semasa menuntut dahulu menyuarakan keluhannya yang penat menguruskan kerja-kerja rumah, pembantu rumahnya tamat permit dan dia terpaksa mengambil yang baru. Malangnya, sudah menunggu hampir 5 bulan, pembantu yang 'diorder' masih belum kunjung tiba. Terpaksalah dia menghadap kerja-kerja yang biasanya dilakukan oleh pembantu rumah. Sudahlah penat berpuasa, bekerja pulak tu, balik rumah kena bertungkus-lumus mengambil anak dari Nursery, menyingsing baju menyiapkan juadah untuk berbuka pula. Selepas berbuka, tugasnya masih belum selesai, kena pula menyidai kain yang baru dibasuh. Itu belum masuk bab mengangkat kain, melipat dan menggosok lagi. Aduh... memang wanita zaman sekarang superwoman! Patutlah wanita di Malaysia dilaporkan berada di tangga ke 16 paling tertekan di dunia... Adu rakan saya lagi, tempohari dia kemalangan, terlanggar 'buntut' kereta orang. "Aku terlelap..." Mungkin sebab terlalu penat. Mujurlah masa itu jalan agak sesak dan dia juga selamat.
Saya sempat mengusiknya, "Hubby dan anak-anak tak tolong ke? Kalau mereka tak mahu tolong membantu, ko tinggalkan aje kerja-kerja tu. Buat bila ada tenaga saja." Sungguh, selepas mendapat reply sebegitu daripada saya, malam itu dia tidur awal!
Mempunyai pembantu rumah mungkin satu kelebihan, tetapi bagi yang tiada mungkin kelam kabut dibuatnya. Pagi hingga petang sibuk di pejabat, habis waktu pejabat terkejar-kejar balik dan mungkin singgah membeli makanan untuk berbuka. Kemudian singgah mengambil anak dari rumah pengasuh atau taska. Tiba di rumah, perlu bersiap-siap untuk berbuka puasa pula. Selepas waktu Maghrib, perlu melakukan kerja-kerja rumah, membasuh pinggan dan kain, melayan karenah anak-anak. Dan sesudah itu, hendak juga menunaikan solat terawih. Jika tidak ke surau, memadai dilakukan di rumah. Namun, seluruh tubuh sudah terasa lemah. Ketika ini di mana suami anda? Apa yang dia lakukan? Adakah dia turut membantu atau membiarkan anak ke sana ke sini seperti lipas kudung?
Perkara ini pastinya memyebabkan rasa sakit hati dan jika dibiarkan berlarutan, boleh sahaja menjejaskan keharmonian rumahtangga. Sikap saling bantu membantu amat dituntut agama pada setiap pasangan suami isteri. Perkara ini bukanlah perkara baru bagi pasangan suami iseri kerana Nabi Muhammad SAW sendiri pun membantu isteri baginda dalam hal ehwal rumahtangga dan urusan anak.
Put your feet up: Research indicates that doing housework during pregnancy could lead to premature birth, from DailyMail.
Mencontohi Rasulullah
Sebagai seorang Islam, kita harus mencontohi baginda sebagai model suami sepanjang zaman bagi memastikan mahligai yang dibina bahagia dan berkekalan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Aku adalah sebaik-baik suami yang berbuat baik kepasa ahli keluargaku dan contohilah aku.”
Sewajarnya para suami mengambil pengertian hadis itu sebagai panduan dalam melayari bahtera rumahtangga. Walaupun baginda sibuk menjalankan tugas sebagai rasul, Imam ummah, pemimpin Negara, ketua hakin dan panglima agung angkkatan perang, tetapi baginda masih boleh meluangkan masanya membantu kerja rumah isterinya seperti menjahit pakaian dan membaiki kasut.
Sebagai ketua keluarga, suami seharusnya menjadi pemimpin dan pelindung kepada isteri dan anak dan bukannya pemimpin yang hanya tahu memberi arahan semata-mata. Tambahan pula sekarang ini ramai pasangan yang kedua-duanya bekerja jadi amat wajar sekiranya masing-masing membantu menguruskan rumahtangga termasuklah mengasuh anak-anak.
Walaupun kita tahu sesetengah lelaki mempunyai ego yang tinggi, tetapi dalam urusan rumahtangga, sikap ego itu perlu dikurangkan dengan membantu isteri mengemas rumah, memasak atau menukar lampin anak. Sikap membantu ini pastinya dapat mengeratkan hubungan kasih sayang di antara suami isteri.
Jika suami enggan membantu menguruskan rumahtangga, isteri haruslah bijak memainkan peranan dengan menegur secara baik dan lembut. Tindakan ini bertepatan dengan peranan isteri sebagai penasihat dalam rumahtangga yang dapat memastikan keharmonian rumahtangga.
Mengajak suami berkongsi kerja rumah
Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya, si suami sebenarnya boleh diajak untuk turut serta membantu kerja-kerja anda di rumah.
Mohon bantuan sejak awal perkahwinan
Sejak mula berkahwin lagi, ketika kasih sayang sedang mekar membara, mintalah bantuan suami untuk sama-sama menguruskan rumahtangga. Insya Allah jika sejak mula lagi anda telah membiasakan suami utnk membantu anda, akan tiada lagi masalah di kemudian hari nanti. Memang anda ingin menjadi isteri solehah, tetapi biarlah kena caranya, jangan dibiarkan sehingga suami menjadi pemalas dan tidak mahu bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga. Tidak mungkin pada waktu baru berkahwin suami akan melenting bila disuruh buat kerja rumah.
Ingatlah, bukankah kerja-kerja itu adalah kerja biasa yang dilakukannya semasa zaman bujang dahulu? Ajak suami menemani anda ketika membuat kerja rumah. Kaedah terbaik memohon bantuan suami adalah dengan mengajak dia menemani anda ketika anda melakukan kerja-kerja berkenaan. Contohnya ketika sama-sama penat sampai ke rumah, ajaklah suami menemani anda ke dapur untuk memasak.
Mungkin suami akan menolak tetapi cuba pujuk dengan lembut, anda boleh beri alasan ingin berkongsi cerita menarik dengannya sambil bekerja. Cuba biasakan diri melakukan kerja-kerja rumah di hadapan suami agar dia tahu betapa sibuknya anda di rumah. Sekiranya hendak melipat baju, lakukannya di hadapan suami yang sedang menonton televisyen. Luahkan rasa penat dan luahkan juga rasa seronok anda jika suami dapat membantu.
Manafaatkan cuti hujung minggu
Hujung minggu tidak semestinya diisi dengan bersiar-siar dan berbelanja. Cuba ubah definasi cuti hujung minggu itu demgan membuat kerja rumah bersama-sama. Lebih-lebih lagi dengan Syawal yang makin menjelma. Isikan hari cuti anda dengan membersihkan rumah bersama-sama keluarga, pastinya lebih menyenangkan daripada anda bertungkus lumus melakukannya seorang diri.
Bekerjasama dengan pasangan
Sekiranya suami boleh diajak bekerjasama, cubalah mengajak pasangan untuk membuat jadual bekerja di rumah. Pastika ia tidak sampai mengganggu pekerjaan utamanya mencari nafkah. Tentukan pekerjaan yang tidak terlalu sukar contohnya hari Sabtu adalah giliran suami melipat baju.
Hargai bantuannya walau sekecil mana sekalipun
Seperti juga anda, suami juga perlukan penghargaan daripada anda. Penghargaan dapat diberikan dengan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas dan juga pelukan hangat untuk pasangan.
Amalkan surah al-Insyirah
Panjatkan doa kepada Allah agar melembutkan hati suami. Amalkan membaca surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati. Ketika memasak atau menyediakan minuman, anda boleh membaca ayat-ayat ini sambil niatkan dalam hati agar suami dilembutkan hati dan diringankan tulang untuk membantu anda membereskan kerja-kerja rumah.
Sekurang-kurangnya, bila kerja rumah cepat selesai, dapatlah anda beristirehat bersama sambil melihat kebersihan dan kecantikan rumah yang sudah dihiasi dengan indah sempena menyambut kedatangan AidilFitri ini.
Petikan : Nur Julai 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...