PAGE
▼
Jumaat, Ogos 05, 2011
Amalan tertolak kerana mazmumah
Assalamualaikum warahmatullah,
Allah menciptakan tujuh malaikat sebelum menciptakan langit dan bumi. Kemudian, ditentukan setiap mereka untuk menjaga pintu-pintu langit.
Pada setiap pintu ini, malaikat pembawa amalan manusia akan ditahan oleh mereka untuk memastikan sama ada amalan manusia tersebut diterima dan dapat melalui ke pintu langit seterusnya ataupun sebaliknya.
Pintu Langit Pertama
Malaikat membawa amalan seorang hamba yang mempunyai nur seperti cahaya matahari. Berkata malaikat penjaga pintu langit, “Pukullah amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah menyuruhku supaya tidak membernarkan amalan orang yang mengumpat itu dapat naik ke langit seterusnya.”
Pintu Langit Kedua
Selepas berjaya melalui pintu langit pertama, malaikat itu sampai ke pintu langit kedua dengan membawa amalan yang dilihat baik dan banyak. Kata malaikat penjaga langit, “Berhenti kamu dan pukul amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya kerana dia berharap agar amalannya mendapat keuntungan di dunia.”
Pintu Langit Ketiga
Malaikat membawa amalan berupa pahala sedekah, solat dan puasa. Para malaikat kagum melihat amalan tersebut lalu dibawa melintasi langit pertama dan kedua, tetapi ditahan di langit ketiga.
Malaikat penjaga berkata, “Allah menyuruhku supaya tidak membenarkan amalan orang yang takabbur dapat melintasiku. Orang itu suka membesarkan diri di majlis orang ramai.”
Pintu Langit Keempat
Amalan berupa tasbih, solat, puasa, haji dan umrah dibawa malaikat sehingga melepasi pintu langit keempat. Berkata malaikat penjaga langit, “Allah memerintahkan supaya amalan orang yang ujub tidak boleh melintasiku. Ðia beramal dengan dorongan rasa ujub dalam dirinya.”
Pintu Langit Kelima
Amalan yang dibawa berseri-seri, lalu berkata malaikat penjaga langit, “Berhenti dan buangkan amalan ini pada muka orang yang mengerjakannya. Mereka sebenarnya hasad kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya.”
Pintu Langit Keenam
Malaikat membawa amalan solat, zakat, umrah, jihad dan puasa yang bercahaya seperti bulan purnama. Lalu berkata malaikat penjaga langit, “Pukullah amalan ini kepada orang yang mengerjakannya kerana dia tiada belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya yang menghadapi kesusahan.”
Pintu Langit Ketujuh
Berkata Malaikat Sum‘ah (ingin mahsyur), “Aku akan menghalang amalan orang yuang riya’ daripada sampai kepada Tuhanku. Ðia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah, tetapi supaya amalannya disebut-sebut.”
Ketika bertemu Allah
Kemudian, naik malaikat yang membawa amalan seorang hamba yang berupa solat, zakat, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam diri dan berzikir. Amalan ini dibawa oleh para malaikat penjaga langit sehingga dapat melintasi semua halangan dan sampai kepada Allah. Ketika itu, Allah berfirman yang bermaksud, “Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hamba-Ku ini. Aku lebih mengetahui segala isi hatinya. Ðia tidak ikhlas kepada-Ku dengan amalannya. Ðia boleh menipu kamu tetapi tidak boleh menipu Aku.”
Tenung-tenungkan...
Sumber : Solusi ISU#32
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...