PAGE

Rabu, Ogos 31, 2011

Berpuasa sebulan suatu proses cari erti kemerdekaan sebenar




Assalamualaikum warahmatullah,

SETIAP kali sambutan hari kemerdekaan, maka terbayang di fikiran kita bagaimana penjajah silih berganti menjajah negara selama kira-kira 500 tahun. Kita bersyukur kerana dalam tempoh itu dapat mempertahankan akidah dan mengekalkan agama Islam sehingga diletakkan sebagai agama Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tetapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan yang tiada ternilai harganya.

Oleh kerana itulah menjadi kewajipan rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada negara antara lainnya ialah mentaati pemerintah dengan penuh ikhlas dan rasa bangga serta menjauhi diri daripada perbuatan mungkar seperti mengganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara serta mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

Imam Syihabuddin al-Absyihi dalam kitabnya al-Mustatraf menyatakan: “Ketahuilah bahawa tingkatan kebahagiaan yang tertinggi ialah taat kepada pemerintah di samping ia menjadi penyelamat daripada segala kekacauan.”

Justeru, marilah mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi supaya ia berkekalan dan kemakmuran negara sentiasa bertambah dengan pengisian yang diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Persoalan besar hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka? Adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah kuasa Barat seperti sebelum ini, atau kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang, kita dikatakan sudah merdeka?

Ketahuilah bahawa Ramadan yang diberikan Allah SWT kepada kita adalah satu proses mencari erti kemerdekaan sebenar. Sedar ataupun tidak, selama ini kita sentiasa dibelenggu dua penjajahan. Pertama adalah syaitan, seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia menderhaka Allah SWT seperti janjinya kepada tuhan.

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh daripada Allah SWT hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.

Ramadan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajahan syaitan yang dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita.

Kedua ialah hawa nafsu dan diri sendiri seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?” (Surah al-Jaatsiyah, ayat 23).

Mereka yang dijajah syaitan dan hawa nafsunya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa saja diinginkan nafsu semua itu dipatuhi. Mereka ini buta biar pun celik, mereka pekak biar pun bertelinga, mereka menjadi bodoh biar pun menguasai ilmu.

Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan Tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu. Yakinlah bahawa Ramadan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu. Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun kita tidak memilihnya kerana patuh kepada perintah Allah SWT.

Ini adalah pengajaran Ramadan untuk mengajar kita berkata 'tidak' kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan soleh lagi bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah bersih.” (Surah al-Syams, ayat 7-9).

Tarbiah madrasah Ramadan sebenarnya dapat membentuk masyarakat dan negara rabbani yang penuh keberkatan dan diredai Allah SWT. Rakyat yang dididik dengan roh Ramadan tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan mengikut perasan dan hawa nafsu, menzahirkan penghambaan sebenar dan sempurna kepada Allah SWT. Ramadan dapat mencegah si pelakunya daripada akhlak, perkataan dan perbuatan yang tercela. Adakah yang lebih indah dari kemerdekaan ini?

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 yang bersamaan dengan bulan Ramadan, marilah bersama menjadikan amalan sepanjang bulan berkat ini untuk mencegah, mengawal, merawat penyakit dan mengekalkan gaya hidup diredai Allah SWT. Mudah-mudahan keberkatan yang kita peroleh dalam bulan ini memberi kesan kepada diri kita untuk memahami erti dan roh kemerdekaan yang sebenarnya.



Petikan : Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di BHarian 26/08/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...