Awas! Kopi beracun!
Kebanyakan produk haram dijual secara terbuka oleh peniaga warga asing
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesan 40 jenis minuman segera dijual di pasaran mengandungi bahan beracun dan kimia seperti Sildenafil, Tadalafil, Verdabafil dan Sibutramine yang boleh membawa maut jika diambil tanpa pengawasan doktor.
Kebanyakan produk itu didapati dicampuri bahan racun berjadual yang digunakan sebagai perangsang seks dan bahan pelangsing yang kebanyakannya dibungkus di kilang haram di negara ini.
Penggunaan bahan perangsang seks seperti Sildenafil, Tadalafil dan Verdabafil tanpa pengawasan doktor boleh membawa kesan sampingan yang serius seperti tekanan darah rendah dan pengguna yang mengambilnya akan berasa pening dan pengsan.
Penggunaan bahan pelangsing seperti Sibutramine pula boleh menyebabkan kesan kepada saraf otak serta menyerang organ badan lain sehingga mengakibatkan pengguna mengalami masalah mental dan psikosis.
Sekiranya ia bercampur dengan bahan nitrat yang ada dalam ubatan lain, ia boleh menyebabkan kesan kardiovaskular atau serangan jantung.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kuat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata, ada dua kaategori produk minuman segera di pasaran di negara ini, iaitu produk yang asli serta selamat diminum dan minuman erotik yang sudah dicampurkan bahan kimia aktif.
“Bahan kimia ini sangat berbahaya sekiranya produk itu digunakan oleh mereka yang mempunyai sakit jantung atau buah pinggang atau mempunyai masalah kesihatan lain kerana kesan sampingannya boleh membawa maut,” katanya.
Tinjauan dilakukan di beberapa lokasi di sini, termasuk sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Abdullah mendapati kebanyakan produk terbabit yang sudah diharamkan Kementerian Kesihatan masih dijual secara terbuka. Kebanyakan produk itu didapati dijual warga asing yang tidak mengetahui kesan langsung penggunaannya.
Cara mengenal-pasti kopi dicampur racun
Minuman yang sudah dicampur racun dan bahan kimia dapat dikesan dari segi harga jualannya yang tinggi, iaitu RM5 sepaket, berbanding produk asli yang hanya dijual pada harga sekitar RM1 hingga RM1.50 sepaket.
“Selain itu, paketnya ada imej erotik seperti gambar wanita seksi seolah-olah mempromosi kekuatan seksual atau kaedah melangsingkan badan dengan cara mudah dan pantas. Kita menasihatkan orang ramai supaya jangan membeli atau menggunakan produk yang dicampuri bahan racun berjadual itu kerana ia boleh membawa maut,” katanya.
Di Malaysia, penggunaan Sildenafil, Tadalafil dan Verdabafil biasanya digunakan bagi rawatan mati pucuk bagi lelaki yang sudah mendapaatkan pengesahan doktor bertauliah, namun dewasa ini penggunaannya disalahgunakan untuk kepuasan seks yang melampau.
“Sifat bahan terbabit yang aktif dan berkesan, diekspoitasi golongan pencari keuntungan yang tidak beretika serta tidak menghiraukan kesan buruknya terhadap individu dan masyarakat,” katanya.
Antara produk minuman segera yang dikenal pasti dicampurkan dengan bahan terlarang dan sudah diuji Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan adalah :
* Cafe Abang Yes
* Candi Gold
* Candy 193
* Extend Up Energy Drink
* Extremen
* Extrewomen
* Goji Guarana
* Goji Guarana Extra
* Goji More
* Goji Yumberry
* Guara Cafe
* HBW Ice Lemon Tea
* Hotton Vitality Candy
* Ie2 O
* King Cappuchino
* Knight Cofee
* Kolek Cafe Power Plus
* Kopi Angguk
* Kopi Asmara
* Kopi Bagus AAA
* Kopi Campuran Kedai Kopi Ali Bagus
* Kopi Pahlawan
* Kopi Super Angguk
* Kopi Tenaga Tok Lebai Plus
* Maca Max
* Macagin Ginseng Candy
* Mentalk Candy
* Nexus MXP
* Night Cafe
* Red Energizer Candy For Men
* Royal Beverage Maqrifatun
* Sasanergy Drink
* Trica Jus
* Tri-Max
* True SR
* Vigor Candy
* Vitca-F
* Vitca-M
* Winnie Beauty V1
* XKL Sky Fruit Juice Premix
Penguatkuasaan lemah punca lambakan kopi, peniaga jual produk beracun kerana permintaan tinggi
Kelemahan penguatkuasaan undang-undang dengan hanya melakukan pemeriksaan dua tiga kali setahun dan sekadar memberikan teguran lisan kepada peniaga, dikenal pasti antara punca lambakan produk minuman segera beracun di pasaran negara ini.
Selain itu, serbuan yang dikatakan hanya bertumpu kepada premis besar, menyebabkan peniaga kecil-kecilan menjualnya secara terbuka, selain menggunakan taktik licik menyorok produk dan menjualnya tanpa resit.
Tinjauan Berita Harian di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Raja Bot di sini semalam (15/08/2011) mendapati produk minuman yang mengandungi bahan kimia beracun seperti Sildenafil, Tadalafil, Verdabafil dan Sibutramine terus dijual, walaupun akhbar ini mendedahkan minuman itu boleh mendatangkan maut jika diambil tanpa pengawasan doktor.
Beberapa peniaga asing, terutama warga Indonesia yang ditemui berkata, permintaan terhadap produk minuman segera yang digunakan untuk menambah tenaga dan melangsingkan badan itu terus meningkat, walaupun ada dakwa ia boleh menyebabkan mati pucuk, selain membawa maut bagi mereka yang menghidap penyakit jantung.
“Penguat kuasa hanya buat pemeriksaan dua atau tiga kali setahun di kawasan ini, selalunya mereka hanya periksa kedai besar. Jadi kedai kecil macam kami jarang diserbu kerana produk tidak banyak. Jika datang pun, kami hanya ditegur,” kata peniaga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Aman, 32.
Aman menjual beberapa jenama minuman segera seperti Kopi Campuran Kedai Kopi Ali Bagus, Maca Max dan semua produk minuman Goji. Dalam awal artikel, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail yang mendedahkan ada lebih 40 produk minuman mengandungi bahan beracun dijual secara berleluasa.
Penggunaan bahan perangsang seks seperti Sildenafil, Tadalafil dan Verdabafil tanpa pengawasan doktor boleh membawa kesan sampingan serius seperti tekanan darah rendah dan pengguna yang mengambilnya akan berasa pening dan pengsan, manakala penggunaan Sibutramine sebagai bahan pelangsing pula boleh menyebabkan kesan kepada saraf otak serta menyerang organ dalaman lain sehingga mengakibatkan pengguna mengalami masalah mental dan kemurungan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman, berkata isu produk minuman beracun bukanlah isu baru di negara ini.
Pengguna yang menghadapi masalah kesihatan selepas menggunakan minuman segera boleh berkongsi pengalaman dengan menghantar aduan ke alamat laman web
bhnews@bharian.com.my atau mnasaruddin@bharian.com.my.
Sumber : BHarian 15/08/2011 dan BHarian 16/08/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...