PAGE

Sabtu, Ogos 13, 2011

Kaedah terbaik atasi masalah kecantikan di bulan Ramadan



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Bagaimana ibadah puasa kita pada hari ini? Biarpun berpuasa, namun itu tidak bermakna semua aktiviti harus tergendala. Ketika bulan puasa ini juga ramai wanita mengaku menghadapi masalah kurang tidur dan kekurangan air dalam tubuh hingga menjejaskan kesihatan dan kecantikan.

Masalah kurang tidur berlaku kerana mereka harus bangun awal pagi untuk menyediakan hidangan sahur dan selalunya tidak akan kembali lelap selepas bersahur. Justeru, ini menyebabkan tubuh dan wajah nampak lesu serta tidak bermaya untuk meneruskan aktiviti seharian.

Namun, jangan jadikan alasan bangun bersahur dan berpuasa menyebabkan anda lesu dan tidak bermaya. Jika bijak mengatur masa, pasti hal ini tidak akan berlaku. Malah, anda juga boleh mendapatkan tidur cukup dan berkualiti kerana ia merupakan salah satu kaedah terbaik untuk mendapatkan wajah yang segar serta kecantikan semula jadi.

Cara atasi kurang tidur

Bangkitkan suasana

• Bagi anda yang sukar tidur awal, apa kata cuba kaedah ini. Gelapkan sedikit bilik tidur anda atau pilih lampu yang sedikit malap. Pastikan anda menutup tingkap bilik dan rapatkan langsir bagi mengelakkan cahaya luar memasuki bilik.

• Jika jarum jam bercahaya apabila dalam gelap, sebaiknya ditukar dengan jam yang lain untuk sementara waktu. Sedikit cahaya boleh mengganggu tidur anda. Begitu juga dengan pemilihan baju tidur anda. Jangan pilih yang melekat pada tubuh kerana apabila anda berpeluh ia menimbulkan rasa yang kurang nyaman.

• Pastikan juga bunyi jam anda tidak terlalu kuat sehingga menyebabkan anda terkejut lantas terus terjaga. Cara begini akan menyebabkan anda terkejut dan boleh menimbulkan rasa pening kepala. Sebaiknya pilih jam yang berbunyi sederhana tetapi boleh membangunkan anda.

• Selain itu, ketika masuk tidur, pastikan fikiran anda tidak terganggu dengan sesuatu masalah. Biarkan seketika masalah yang mengganggu dan relaks. Tarik nafas dalam-dalam dan pejamkan mata.




Bantal yang betul

Pastikan bantal tidur anda sesuai dengan posisi dan tidak salah memilih bantal sehingga membuatkan anda tidak selesa apabila bangun di pagi hari. Bantal yang terlalu tinggi boleh membuat otot leher dan kepala menjadi tegang. Ini menyebabkan aliran darah tersumbat dan anda akan terus terjaga.




Pilih masa senaman yang sesuai

Jangan melakukan aktiviti berat seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga jam sebelum tidur di malam hari. Tidak salah andai anda ingin berolahraga. Sebaiknya lakukan ia sekurang-kurangnya selepas satu jam berbuka dan bukan ketika mahu masuk tidur. Selain memastikan tubuh sentiasa sihat, kualiti tidur juga baik dan dalam masa yang sama berpuasa tanpa sebarang gangguan.




Tips atasi kekurangan air

• Selain masalah kurang tidur, ketika berpuasa juga ramai yang akan menghadapi masalah kekurangan air dalam badan. Ini akan menyebabkan kulit kekeringan sekali gus nampak kusam. Lihat beberapa faktor penyebab masalah tersebut dan kaedah terbaik dalam menghindari kulit kering sepanjang tempoh berpuasa ini.

• Melembapkan Bibir

Bibir kering dan pecah-pecah merupakan masalah umum yang sering kita alami saat berpuasa. Untuk menghindarinya, perbanyakan minum air, sekurang-kurangnya lapan gelas selain mengambil buah dan sayur-sayuran saat sahur dan berbuka puasa. Pilih menu makanan yang kaya akan kalsium seperti susu, yogurt, keju, salmon, almond. Selain itu, pilih makanan yang kaya dengan magnesium seperti kekacangan, dan sayur-sayuran. Selain itu, hindari pengambilan kafein dan alkohol yang menyebabkan dehidrasi.

Menjilat bibir bukanlah cara untuk mengatasi bibir kering dan pecah-pecah. Sebaliknya ia menyebabkan bibir semakin kering. Justeru, biasakan memakai pelembap bibir setiap tiga jam sekali termasuk sebelum tidur. Cara lain adalah menyapu minyak zaitun. Bagi anda yang mengalami bibir kering, gunakan lip balm yang mengandungi cocoa butter. Jika Anda terdedah dengan aktiviti luar, gunakan lip balm yang mengandungi SPF 15 untuk melindungi bibir dari sinar ultra ungu.

Jika bibir pecah-pecah dan terasa perih, maka perlu perawatan lebih baik untuk mengubatinya. Pastikan anda menambah dengan makanan tambahan seperti multivitamin setiap hari untuk mengatasinya.

• Melembapkan Kulit

Pastikan anda sentiasa membawa bersama pelembap ke mana sahaja anda pergi terutama ketika mengadakan aktiviti luar. Bawa sebotol krim pelembap ke mana pun anda pergi. Pilih saiz kecil untuk memudahkan ia di bawa ke mana-mana. Aplikasikan pelembap ke seluruh tubuh setiap kali kulit terasa kering. Sinaran matahari yang terik ditambah dengan cairan tubuh yang kurang antara penyebab kulit tubuh kering. Sebagai tambahan, pilihlah pelembap yang mengandungi pelindung sinaran matahari atau SPF 15.

Hindari menggaru kulit yang kering kerana ia boleh menimbulkan masalah jangkitan pada kulit selain mengelakkan daripada kulit bersisik.

• Menyegarkan Wajah

Keletihan dan kurang tidur boleh menyebabkan wajah terlihat lesu dan tidak bermaya. Untuk membuat wajah terlihat lebih cerah, gunakan masker wajah dan letakkan seiris mentimun pada kelopak mata. Ini bertujuan untuk membuatkan mata anda terasa lebih segar dan bertenaga. Baring sebentar selama lebih kurang 10 minit. Kemudian buangkan hirisan mentimun. Setelah itu, basuh muka dan bersihkan sisa-sisa masker dari wajah.

Selain itu, bulan puasa juga dikatakan mampu membantu mengurangkan berat badan seseorang. Pun begitu, ada sesetengah dari kita yang tidak berjaya memandangkan pelbagai juadah yang di ambil sewaktu berbuka dan bersahur. Jika selama ini anda sering menghadapi masalah untuk mengawal pemakanan, tip di bawah mungkin dapat membantu:

• Makanlah dalam kuantiti yang lengkap dan seimbang. Pastikan tubuh mendapatkan cukup kandungan karbohidrat, lemak, protein, vitamin, dan mineral yang diperlukan. Perbanyakan mengambil buah-buahan dan sayuran agar tubuh memperoleh cukup serat.

• Meskipun mengantuk, usahakan untuk tidak terus tidur setelah makan sahur. Sebaiknya, beri waktu bagi perut anda untuk mencerna makanan selama kurang lebih satu jam. Anda boleh memanfaatkan waktu yang tersisa untuk beribadah solat subuh dan membaca Al-Quran.

• Bagi yang terbiasa berolahraga, tidak ada salahnya tetap melakukan aktiviti fizikal yang tidak terlalu berat bagi menjaga kesegaran tubuh. Misalnya latihan jogging, angkat berat yang ringan, jalan cepat, atau berenang. Waktu yang paling ideal untuk melakukannya adalah di petang menjelang berbuka. Ini kerana pada waktu sebegini, cuaca tidak terlalu panas dan ia boleh membantu anda menghindari terasa haus.

• Ketika berbuka puasa, kurangkan pengambilan pelbagai makanan dan minuman yang memiliki kadar gula tinggi dan bersantan seperti cendol, bubur kacang hijau dan kuih yang manis. Untuk makanan berat, hindari yang mengandungi lemak serta kolesterol tinggi seperti rendang, kari dan sebagainya. Lebih baik pilih ikan dan ayam tanpa kulit sebagai sumber protein.

Semoga bermanafaat!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...