PAGE

Rabu, Ogos 03, 2011

Peniaga boleh bantu banteras golongan liat berpuasa


JAIS larang buka gerai sebelum jam 3 petang untuk elak orang tidak puasa beli makanan

RAMADAN yang mulia dan ditunggu-tunggu sudah kembali lagi, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat dipertemukan dengan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Sewajarnya kita menjadikan Ramadan sebagai madrasah atau pusat tarbiah bagi meningkatkan keimanan amal ibadah serta mendidik diri bukan hanya memperbaiki diri dan akhlak atau beribadat pada Ramadan ini saja, malah berusaha berterusan sehingga Ramadan akan datang.

Justeru, kita sebagai umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan melakukan sebanyak-banyaknya amal soleh di sepanjang Ramadan yang mulia ini. Ia kesempatan yang tidak patut dilepaskan begitu saja kerana Ramadan tahun hadapan belum pasti kita temui.

Kita juga hendaklah berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan banyak berdoa bagi memohon taufik, hidayah dan bertaubat atas semua kesalahan lalu agar Allah sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat, seperti maksud hadis Qudsi: “Allah SWT berfirman pada setiap malam Ramadan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya dan Allah akan membebaskan pada setiap malam Ramadan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang sudah ditentukan mendapat azab.” (Hadis Riwayat Al-Muwatta’)

Pada kesempatan Ramadan ini, marilah kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai amal dan usaha kebajikan secara serius serta bertaubat untuk tidak mengulangi segala kesalahan lalu. Selain daripada itu, sentiasa bersedekah dan beramal jariah dan jangan kita cemari Ramadan dengan perkara mungkar seperti mencemari Ramadan ini dengan tidak berpuasa. Sudahlah tidak berpuasa ditambah lagi perbuatan itu sengaja dilakukan di tempat terbuka atau tempat awam. Sengaja merokok di tempat awam bagi menunjukkan keegoan dan rasa bangga dia tidak berpuasa. Perkara ini sewajar dielakkan bagi menghormati Ramadan, tidak berpuasa adalah suatu dosa yang jelas dilarang syarak, sedangkan puasa satu kewajipan bagi setiap Muslim. Jelas di dalam Al-Quran, firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183g bermaksud: “Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan puasa itu ke atas orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Tidak berpuasa mengundang dosa dari segi hukum syarak, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan sengaja dan menunjuk-nunjuk di khalayak ramai, menunjuk-nunjuk tidak berpuasa pula adalah satu hal yang lain.

Berdasarkan peruntukkan undang-undang jenayah syariah di Malaysia, perbuatan ini sebenarnya satu kesalahan seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen/Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri di Malaysia.

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengeluarkan satu kenyataan meminta peniaga membuka gerai jualan jam 3 petang dan ke atas pada Ramadan ini bagi mengelakkan orang Islam yang tidak berpuasa membeli makanan pada waktu siang hari. Tindakan ini tepat sebagai satu pencegahan kerana jika peraturan seumpama ini tidak dilaksanakan akan memberi ruang mereka yang tidak berpuasa membeli makanan dengan sewenang-wenangnya.

Mengikut peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 negeri Selangor, peniaga yang didapati dengan sengaja menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 dan dikenakan tindakan di bawah seksyen 19 (a). Seksyen 19 (a) itu pula memperuntukkan mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam Ramadan, menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Ini bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kali kedua peniaga itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya.

Peruntukan ini secara jelas menghalang mana-mana orang menjual kepada mana-mana orang Islam sebarang makanan, minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan diminum atau dihisap dalam waktu puasa. Perbuatan seumpama ini menjadi suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman seperti yang dinyatakan di atas.

Peruntukan ini hanya terhad kepada peniaga Islam saja, peniaga yang bukan Islam tidak boleh disabitkan di atas kesalahan ini kerana peruntukan di bawah undang-undang ini hanya berkuatkuasa kepada orang Muslim saja. Walaupun begitu, ini tidak bermakna orang Islam yang membeli makanan atau minuman untuk tujuan itu terlepas begitu saja.

Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd Ralip ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).




Petikan : BHarian 03/08/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...