PAGE

Jumaat, September 16, 2011

Awas warga asing minta derma

LELAKI disyaki warga Pakistan menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakamkan selepas dikesan meminta derma anak yatim di Yan.

Rakyat Pakistan raih RM400 sehari perdaya orang ramai bantuan anak yatim

YAN: Kegiatan meminta derma di kalangan warga Pakistan dengan menggunakan sijil kebenaran palsu yang kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah, kini bergerak aktif di beberapa daerah di negeri ini sejak sebulan lalu.

Difahamkan, dengan sijil palsu berkenaan, peminta derma terbabit mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari hasil kutipan daripada penduduk setempat, kononnya untuk membantu anak yatim di negara asalnya.

Bagi meraih simpati orang ramai, warga Pakistan itu menunjukkan beberapa keping gambar yang didakwa anak yatim dari negaranya yang memerlukan bantuan segera.

Tinjauan BHarian baru-baru ini di daerah ini turut menemui seorang warga Pakistan berusia 30-an sedang menjalankan kegiatan mengutip derma dengan mengunjungi rumah penduduk setempat.

Lelaki yang mendakwa tidak berapa fasih berbahasa Inggeris itu turut menunjukkan sekeping gambar bangunan lama yang didakwanya asrama anak yatim yang perlu dibaik pulih, selain menunjukkan sekeping salinan surat dari JAIK kononnya memberi kebenaran mengutip derma di negeri ini sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, dia melarikan diri ketakutan selepas menyedari kegiatannya terbongkar, selain menutup muka bagi mengelak gambarnya diambil.

Seorang pesara tentera, Mohamed Hassan, 51, mendakwa sejak kebelakangan ini ramai warga asing terutama warga Pakistan datang meminta derma di sekitar daerah ini, kononnya membantu anak yatim.

“Saya percaya ini adalah jalan untuk mereka mendapatkan wang secara mudah, yang mana dalam sehari mereka boleh mendapat antara RM300 ke RM400 dengan penipuan itu,” katanya.

Mohamed berkata, dia berasa ragu-ragu apabila didatangi peminta derma lelaki warga Pakistan, namun terpaksa menghulurkan derma bagi mengelak daripada terus diganggu.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat tempatan ditipu,” katanya.

Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohidin, 44, mendakwa peminta derma rakyat asing itu juga sering mengganggu urusan orang ramai.

“Kita tengah sibuk bekerja, dia datang berceloteh panjang sambil meminta derma untuk anak yatim di negaranya. Bagi saya lebih baik saya memberi sumbangan anak yatim di negara ini daripada anak yatim yang tidak pasti kewujudannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIK, Datuk Khairudin Zin, ketika dihubungi mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak terpedaya dengan peminta derma warga asing berkenaan.

Katanya, JAIK tidak lagi membenarkan warga asing mengutip sebarang derma di negeri ini, kecuali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang dibenarkan oleh antara dua kerajaan.

“Saya percaya surat salinan JAIK yang dibawa peminta derma warga asing itu adalah palsu kerana kami sudah tiga tahun tidak mengeluarkan surat seumpama itu kepada warga asing,” katanya.

Laman-Seri : Orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi talian Nur di nombor 15999 untuk membuat laporan jika terserempak dengan pengemis yang mencurigakan dan berharap orang ramai tidak terpedaya dengan taktik kotor mereka. Jangan biarkan diri kita terpedaya dengan helah mereka. Benar, ‘tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima’, tetapi jika juga wajar ambil tahu, ke manakah wang yang diterima mereka dibelanjakan...? Mudah sungguh kita ditipu oleh orang luar, hidup-hidup pulak tu!




Petikan : BHarian 16/09/2011

Capaian entry berkaitan :
* Pengemis ‘antarabangsa’ banjiri KL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...