PAGE

Rabu, September 14, 2011

Kucing mangsa ketamakan manusia



“SEMUA kucing yang berada di premis Petknode itu kelihatan sangat teruk, ia diselaputi dengan najis dan kencing sehingga saya boleh memerah keluar air kencing daripada bulu haiwan itu.”

“Mata kami kemudiannya tertangkap dengan beberapa tubuh kucing yang kaku di dalam sangkar. Di dalam sebuah sangkar itu, seekor ibu kucing dengan anaknya yang sudah tidak bernyawa, mati dalam keadaan saling berpandangan. Ia membuatkan hati kami bagaikan dihiris-hiris.”

“Namun, airmata kami deras mengalir apabila melihat enam ekor anak kucing yang baru lahir sudah mati dan melekat pada lantai premis tersebut. Uri kucing masih lagi ada bersama-sama dengan tubuh yang tidak bernyawa itu. Kami cuba untuk mengangkat anak kucing itu dari lantai, tetapi kerana ia sudah keras dan melekat, tubuhnya berkecai.”

Demikian ungkap Bazilah Bahrin, sesekali menangis cuba menggambarkan betapa kejamnya perlakuan pengurusan Petknode yang telah menggemparkan negara baru-baru ini.

Gadis berusia 24 tahun itu, merupakan salah seorang daripada puluhan sukarelawan daripada komuniti Facebook, Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan yang telah meredah masuk ke sebuah premis hotel kucing, Petknode di Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada 4 September lalu.

KUCING yang ditemui berada dalam keadaan menyayat hati. Selain kurus kering, bersalut dengan kencing dan najis bahkan, ada juga yang mati akibat kelaparan atau penyakit.

Dalam misi menyelamatkan lebih 90 kucing yang dihantar pemilik ke Petknode sempena cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini, sukarelawan Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan menemui 16 bangkai kucing yang mati akibat kelaparan, dehidrasi dan penyakit berjangkit.

Bazilah berkongsi kisah tragedi hitam bagi pencinta haiwan itu di Hotel Armada, Petaling Jaya dalam satu sidang akhbar tergempar yang mengumpulkan ratusan hadirin.

Menceritakan lanjut mengenai penemuan menyayat hati sukarelawan Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan itu jelasnya, hasil aduan yang diterima di Facebook menyebabkan sukarelawan dan pemilik kucing berkenaan menyerbu premis Petknode.

DEWAN di Hotel Armada, Petaling Jaya dipenuhi oleh pencinta haiwan yang prihatin dengan kekejaman ke atas 'sahabat' manusia itu.

“Bayangkan bagaimana dua atau tiga ekor kucing berusia tiga tahun dengan berat kira-kira empat kilogram dapat hidup dalam sebuah pet carrier bersaiz sederhana?” soal Bazilah.

Seorang lagi sukarelawan yang dikenali sebagai Shahrina berkata, di luar premis terdapat lebih kurang 10 ekor kucing yang kelihatan tidak terusik kerana masih lagi berada dalam pet carrier.

“Pada sebelah petang serbuan itu, 60 ekor lagi kucing ditemui dari sebuah banglo di Desa Moccis, Selangor,” ujarnya.

Malah menurutnya, para sukarelawan dan pemilik-pemilik kucing lain percaya terdapat lebih 100 ekor lagi masih tidak dijumpai berdasarkan kepada aduan beberapa pemilik yang masih tidak menemui kucing mereka.

Tertipu

SUKARELAWAN komuniti Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan dan pemilik kucing memenuhi premis Petknode Ahad dua minggu lalu selepas mendapat berita kucing di situ tidak diberi penjagaan sepatutnya.

Pada sidang akhbar yang sama, salah seorang pemilik kucing yang menghantar kucingnya ke pusat penjagaan kucing tersebut tidak menyangka akan terjadi tragedi seperti itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Wani, wanita berusia 20-an itu tidak menghantar kucingnya ke Pektnode secara semberono. Dia terlebih dahulu membuat kajian dengan melayari Internet selain melawati forum-forum membincangkan perkara tempat itu.

“Semua maklum balas yang saya terima adalah positif malah, saya sendiri pergi ke Petknode untuk melihat suasananya.

“Kedua-dua pemiliknya kelihatan sangat sayang kepada haiwan terutama kucing. Dia menyarankan kami menambah rakan di Facebook dan menjadi follower di Twitternya,” ujarnya yang menghantar tiga ekor kucing.

Tambah menyakinkan kami sekeluarga, pusat itu hanya menerima kucing dan umum mengetahui haiwan berbulu itu pasti akan mengalami trauma jika berkongsi tempat dengan anjing.

Selepas tujuh malam ditinggalkan di situ, Wani yang perlu mengambil kembali kucing pada hari kejadian dikejutkan dengan suasana kelam-kabut mengatakan pusat tersebut mengabaikan kucing.

“Salah seekor kucing saya hilang mujur ada orang yang prihatin mengambil dan membela kucing saya,” ujar yang memiliki kucing daripada baka semi-parsi.

Seorang lagi pemilik kucing, Abdul Azim Abdul Rahim, 30, turut tidak menyangka hotel kucing yang sudah beberapa kali menjadi kediaman kucing kesayangannya sebelum ini bertukar menjadi seperti sebuah ‘neraka’.

SUASANA pada sidang akhbar oleh komuniti Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan penuh dengan emosi.

“Saya sudah menggunakan perkhidmatan mereka lebih kurang lima kali. Selama tempoh tersebut, kucing saya berada dalam keadaan baik dan sudah pasti pelanggan pertama kali turut percaya dengan Petknode jika mendapat maklum balas yang baik,” ujarnya kepada media ketika disoal kenapa dia memilih Petknode.

Tiada pembelaan

Apa yang pasti, di sebalik minat orang ramai untuk memelihara binatang peliharaan seperti kucing dan anjing yang semakin meningkat, timbul persoalan sejauh mana kesedaran masyarakat mengenai kekejaman terhadap binatang yang didakwa telah menjadi sebahagian daripada keluarga kita?

Melihat kepada kes tersebut, Pengerusi Persatuan Melindungi Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA), Christine Chin berkata, terdapat satu akta yang boleh menyabitkan pesalah mendera binatang.

Aktanya adalah Seksyen 44(1)(d) Ordinan Binatang 1953 yang memperuntukkan denda maksimum RM200 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

“Tetapi sehingga kini hanya seorang sahaja yang pernah disabitkan dengan akta tersebut,” ujarnya yang telah lebih 20 tahun memperjuangkan nasib haiwan jalanan.

Pada tahun 2005, seorang jurutera dari Subang Jaya, Lien San Chong, 46, dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM100 dan dua hari penjara kerana mengabaikan anjing peliharaan daripada jenis German Shepard bernama Sheena.

KEADAAN premis Petknode yang menempatkan hampir 100 ekor kucing yang dihantar ke sana sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Seorang lagi individu, Abdul Rashid Othman, 53, pula terlepas daripada dakwaan mengabaikan anak-anak kucing jenis Parsi miliknya pada tahun 2009.

Sudah menjadi adat manusia, apabila berlaku sesuatu kejadian yang menggemparkan barulah pelbagai peraturan mula diperkenal dan diketatkan.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin, mengeluarkan kenyataan bahawa hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang disabitkan dengan akta tersebut akan dibentangkan di parlimen.

BAYANGKAN enam ekor kucing diletakkan bersama dalam satu sangkar sempit yang menyukarkan pergerakan dan membuatkan haiwan itu tertekan.

“Antara hukuman yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu ialah denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan,” ujarnya dalam sebuah laporan akhbar.

Bagi kes Petknode pula, pengasas Malaysian Dogs Deserve Better, Wani Muthiah berkata, tindakan yang boleh dikenakan kepada pemilik serta-merta adalah dakwaan melakukan penipuan.

“Denda yang dikenakan untuk dakwaan ini adalah RM200 bagi setiap ekor kucing namun, ia memerlukan kerjasama semua pihak. Semua pemilik kucing perlu membuat laporan polis yang sama bagi memastikan kes ini berjalan lancar,” ujarnya sambil menunjukkan contoh laporan polis.

Menurutnya, ia adalah langkah awal sementara dakwaan mengikut Akta Ordinan Haiwan 1953 dibuat.



Sumber : Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...