PAGE

Ahad, September 04, 2011

Lebaran, masa untuk memaafkan dan meleraikan dendam


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Selain ucapan ‘selamat hari raya’, ungkapan ‘maaf zahir dan batin’ tidak putus meniti di bibir sepanjang Syawal ini. Namun adakah kita benar-benar memaksudkannya atau sekadar ucapan atau kata-kata standard tiap-tiap kali raya manis penyedap bicara semasa meraikan Aidilfitri ini?

Seharusnya di hari lebaran nan mulia ini, kesempatan diambil untuk memohon kemaafan terutama dengan insan terdekat dalam hidup. Inilah masanya untuk meleraikan dendam, konflik, perang dingin malah rasa tidak puas hati yang lama tersimpan di kalangan insan-insan di bawah ini yang sememangnya begitu hampir dengan diri kita. Semoga dengan lafaz kemaafan, rumahtangga dan kehidupan keluarga akan lebih bahagia, harmoni dan dierkati selepas ini.

1. Suami atau isteri

Semestinya suami atau isteri adalah orang pertama yang patut disalami di hari raya ini. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu menunggu di pagi Syawal untuk mengucup tangannya kerana selalunya kesibukan dengan ahli keluarga di waktu ini menyukarkan anda meluahkan apa yang terpendam di hati.

Tidak salah jika anda memohon keampunan terhadap kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan selama ini, pada malam raya yang hening. Lebih syahdu jika diiringi dengan alunan takbir Aidilfitri. Berikan dakapan dan mintalah kemaafan dengan hati yang tulus ikhlas daripada pasangan. Semoga Syawal keesokan harinya menjadi permulaan yang lebih baik untuk anda, suami isteri.

2. Ibu bapa

“Kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa hingga ke hujung nyawa”.... kata-kata ini cukup untuk menggambarkan betapa insan ini wajib menjadi keutamaan. Bukan saja di hari raya, malah pada hari-hari biasa.

Aidilfitri juga selaluya dirasakan tidak sempurna jika tidak mengucup tangan orang tua tanda memohon keampunan daripada mereka. Bagi yang masih mempunyai ibu baoa, jangan sesekali melupakan acara ini. Jangan sangka anda bersikap baik dengan ibu bapa, maka anda tidak pernah berbuat dosa dengan mereka. Mungkin ada tindakan kita yang walaupun tidak salah, namun hakikatnya jauh di sudut hati ibu bapa, mungkin tindakan kita tidak direstui oleh mereka.

3. Adik-beradik

Walaupun mereka insan terdekat dengan diri kita, namun tanyalah pada sesiapapun, pasti pernah bertengkar dengan adik, abang mahupun kakak sendiri. Tetapi ibarat air yang dicincang takkan putus, walau amarah bagaimana sekalipun hubungan dengan mereka pastinya akan kembali pulih.

Namun begitu, ada juga yang mengambil masa yang agak lama untuk berbaik dengan adik-beradik sendiri. Akibat tersentap dengan kata-kata, perebutan harta, masalah anak-anak dan sebagainya, ramai yang bermasam muka malah ada yang berdendam bertahun-tahun lamanya.

Tetapi sampai bila harus bersikap demikian, di bulan yang penuh makna ini, apa kata ambil langkah beralah memohon kemaafan demi menjalinkan silaturahim. Beralah untuk kebaikan keluarga bukan bererti kalah, sebaliknya ia adalah satu kemenangan yang mungkin tidak kita sedari.

4. Mertua

Ibu bapa mertua sama tarafnya dengan orang tua sendiri, jadi mereka ini harus mendapat tempat teratas untuk acara memohon kemaafan. Sebagai menantu, apatah lagi jika jika pernah tinggal sebumbung, ada kalanya hati terguris baik kerana tindakan apatah lagi kata-kata mertua.

Sama jugalah dengan ibu bapa mertua kita sendiri. Tidak mustahil ada tindakan kita sebagai menantu yang tidak memuaskan hati atau mengecilkan hati mereka. Maka sebagaimana anda menangis di pagi raya memohon keampunan dari ibu bapa sendiri, perkara yang sama patut dilakukan dengan mertua anda.

5. Ipar-duai

Banyak konflik rumahtangga berlaku disebabkan oleh sikap cemburu, busy body malah hasad dengki di kalangan ipar-duai. Sekiranya anda antara yang bersikap demikian dan pernah membuatkan rumahtangga adik-beradik berantakan, jangan menunggu lama untuk menginsafi diri dan mintalah kemaafan.

Ajal maut milik Allah SWT, bagaimana sekiranya kematian terlebih terdahulu menjemput, tanpa sempat kita memohon keampunan. Ketika itu penyesalan seumur hidup akan dirasakan. Justeru, pertemuan dengan ipar-duai di hari raya ini jadi waktu yang terbaik untuk menamatkan segala persengketaan.

6. Bekas suami atau isteri

Anda pernah hidup bersama den dirinya pernah menjadi insan yang teramat anda cintai, suatu ketika dahulu. Namun jodoh adalah ketentuan Illahi, atas alasan tertentu, anda tidak lagi bergelar suami isteri.

Mungkin juga perpisahan itu berlaku kerana tindakan yang cukup memedihkan mata, mendesingkan telinga dan menyakitkan hati jiwa raga. Biarpun ada yang pernah trauma atas sikap bekas suami atau isteri, tetapi reungilah sedalam-dalamnya bahawa selama mana anda perlu berdendam dengannya. Rasa sakit hati ataupun dendam yang disimpan hanya akan memberi kesan negatif pada jiwa anda sendiri.

Walaupun kenyataan ini sememangnya perit, carilah kekuatan untuk memaafkan insan ini. Sesungguhnya kemaafan dendam adalah yang paling indah.

7. Anak

Anda mungkin seorang ibu atau pun bapa, namun jangan sangka hanya anak-anak yang patut bertekuk lutut dan mencium tangan anda untuk memohon kemaafan di hari raya ini. Bukan sedikit di kalangan kita yang terlepas pandang akan hal ini.

Anak-anak juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Pernahkah anda terfikir bahawa sebagai ibu bapa, anda pernah bersikap kasar, pilih kasih mahupun mengabaikan hak mereka. Jadi, tidak salah jika anda merendahkan sedikit ego meminta maaf daripada anak-anak atas kesalahan anda. Ia juga sebenarnya memberi contoh yang baik untuk anak-anak anda sendiri.

Mudah-mudahan bermanafaat.



Rujukan : MW#1399

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...