PAGE

Rabu, September 07, 2011

Witch hazel


Witch hazel

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dalam entry kali ini, Laman-Seri berkongsi info satu lagi flora fauna yang unik sekali namanya, iaitu witch hazel. Witch hazel atau nama saintifiknya hamamelis virginiana adalah tumbuhan yang banyak dicari berikutan dengan kandungan magik, perubatan dan penyembuhannya. Nama witch hazel itu sendiri secara tidak langsung berkait dengan sejarah tumbuhan dan ahli sihir dan magik.

Tumbuhan ini dikatakan mampu melindungi seseorang daripada ahli sihir. Bukan itu sahaja, perubatan alternatif juga menganggap witch hazel adalah herba magik dan menggunakan herba ini dalam mantera untuk melindungi pengaruh kuasa jahat dan bagi menyembuhkan patah hati. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan semua ini hanya akan berlaku dengan izin Allah Taala.

Witch hazel adalah tumbuhan semulajadi di kawasan hutan pertengahan barat Amerika Utara. Namun kini ia banyak ditanam secara komersial di kebanyakan kawasan di Eropah. Pembesarannya adalah perlahan, tetapi waktu jangka hayat hidupnya selama seratus tahun, pokoknya boleh mencecah sehingga dua puluh hingga tiga puluh kaki tinggi. Daun pokok witch hazel berbau wangi dan warna daunnya bergantung pada musim dan jenis pokoknya.

Bunga witch hazel kuning


Bunga witch hazel warna merah


Bunga witch hazel warna ungu

Bunga-bunga dari spesies witch hazel dihasilkan pada batang berdaun di musim dingin, sehingga satu nama alternatif diberikan kepadanya, iaitu "Winterbloom". Setiap sekuntum bunga mempunyai empat kelopak berbentuk tali ramping yang berukuran tali 1-2 cm, berwarna pucat hingga kuning tua, oren atau merah. Buahnya berbentuk kapsul yang terbahagi kepada dua bahagian yang berukuran sebesar 1 cm, mengandungi sebiji benih sebesar 5 mm yang berwarna tunggal hitam berkilat pada setiap bahagian kapsul. Buahnya akan matang dalam muslim luruh iaitu kira-kira lapan bulan selepas pendebungaan. Buahnya akan mendebakkan benih dengan kekuatan yang cukup untuk menerbangkan biji benih sehingga 10 meter jauhnya, sehingga ia mendapat nama lainnya "Snapping Hazel".


Terdapat pelbagai jenis keluarga witch hazel. Ini termasuklah Chinese witch hazel, Japanese witch hazel dan Native vernal witch hazel. Bunga witch hazel terletak dalam kelompok dan berwarna kuning atau merah. Bahagian pokok yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah sebahagian daun, kulit serta ranting pokok.

Buah witch hazel


Daun dan ranting witch hazel

Kulit, daun dan ranting pokok witch hazel dikatakan amat tinggi kandungan tannin. Ini bermakna tumbuhan ini mempunyai kandungan astringen. Astringen adalah bahan yang boleh mengering, menguat dan mengeraskan tisu. Anda boleh menggunakan astringen pada kulit kerana cara ini dikatakan mampu merapatkan pori-pori kutit dan membuang minyak yang berlebihan.

Meredakan kebengkakan dan keradangan

Witch hazel juga mengandungi procyanidin, resin dan flavonoid yang mampu digunakan sebagai agen antikeradangan yang melegakan sekaligus mampu melegakan sakit buasir. Tannin astrigen di dalam witch hazel juga dikatakan mampu merapatkan dan melegakan sakit vena varikos atau mengurangkan kes-kes keradangan flebitis (keradangan vena) secara sementara.

Bagi tujuan melegakan pembengkakan akibat sakit buasir dan lebam, rendam kain di dalam air rebusan ekstrak daun dan ranting witch hazel yang pekat. Kemudian tuam kain ini pada bahagian yang bermasalah. Untuk tujuan melegakan masalah vena varikos, rendamlah kain pembalut dalam ekstrak daun dan ranting ini. Kemudian balutlah bahagian yang bermasalah.

Kurangkan senak

Teh yang dibuat daripada rebusan daun atau kulit pokok witch hazel dikatakan boleh dijadikan sebagai ubat bagi mengurankan pendarahan perut dan masalah usus. Ekstrak daripada daun dan ranting segar ini juga dikatakan boleh digunakan sebagai ramuan untuk merawat masalah dalaman atau luaran terutamanya pendarahan di paru-paru dan hidung dan juga organ dalaman yang lain.

Bantu rawat haid berlebihan

Disebut juga ekstrak witch hazel ini berguna dalam penyembuhan haid berlebihan dan darah yang terhalang atau darah beku pada rahim. Herba ini juga dikatakan mampu meringankan perasaan kembung, senak dan tidak selesa semasa haid.

Melegakan gigitan serangga

Jika anda digigit serangga dan nyamuk, boleh gunakan cara ini, basahkan kapas dengan ekstrak witch hazel dan sapu pada bahagian yang digigit. Cara ini dikatakan mampu melegakan kesakitan dan pembengkakan akibat gigitan serangga dan nyamuk tadi. Bagi anda yang mempunyai masalah keradangan pada kelopak mata, boleh juga menggunakan ekstrak daun dan ranting yang telah dicampurkan dengan air suam. Sapukan pada kelopak mata yang bermasalah.

Bagi anda yang mengalami masalah sakit tekak, dikatakan sakit tersebut akan berkurangan jika anda berkumur menggunakan air rebusan witch hazel. Begitu juga jika anda mengalami masalah diarea, minumlah dua cawan air rebusan herba ini. Air rebusan tumbuhan ini juga mampu digunakan untuk tujuan menyembuhkan vaginitis dengan menggunakannya sebagai pembersih vagina.

Banyak masalah kesihatan mampu dirawat dengan menggunakan ramuan witch hazel yang segar mahupun yang telah dijadikan cecair atau krim yang dijual di farmasi. Walaupun mempunyai banyak khasiat ubatannya, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.




Sumber : cirrusimage, fs.fed.us, wikipedia.org dan Misteri Alam MW#1371

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...