PAGE

Isnin, Oktober 31, 2011

Akidah alat penyatuan ummah

PERPADUAN dan penyatuan ummah antara cara memperteguhkan akidah dan memelihara agama Islam.

Perpaduan sesama muslim tonjol keperkasaan Islam

APABILA HIMPUN menjadi medan menyatakan kesungguhan terhadap perang murtad, jelas ia adalah cara menyelamatkan umat Islam yang mungkin akan berpaling tadah daripada keesaan Allah SWT. Ia bukan satu-satunya usaha membendung gejala ini. Ia bukan juga menafikan kuasa Parlimen dan ahli penggubal untuk merealisasikan Rang Undang-Undang Murtad. Harus diingat, suara yang kuat tentunya mampu menyaingi bisikan lemah, begitu juga kesungguhan ditunjukkan mereka yang sanggup turun ke stadium memberi sokongan kepada usaha terbabit yang pasti lebih baik daripada memerhati dari jauh.

Doa supaya sesama muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, tetapi bagi memperteguhkan akidah yang lemah dan meneguhkan agama nan satu. Islam adalah agama yang mementingkan keamanan dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seseorang individu saja, sebaliknya buat semua.

Hari ini pertelingkahan menjadi norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan kasih sayang sesama insan. Mengejar impian fana, menggadai untung yang nyata, mempertaruhkan janji luar biasa lalu semangat persaudaraan digadai sebegitu saja adalah sikap tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah SWT semata-mata, tetapi juga sesama manusia dan makhluk Allah lainnya.

Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan tetapi juga kasih sayang antara saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya. Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Hak terhadap agama perlu dipelihara seseorang muslim terhadap saudara seagamanya menunjukkan betapa Islam adalah agama lengkap dan sempurna. Bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan agar tiada sesiapa yang teraniaya. Umat Islam beriktiqad kepada Allah SWT tidak boleh menggantikan agamanya. Justeru, penganut agama lain tidak boleh sama sekali menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.

Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia Islam jika hak sebagai muslim tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa yang mengejar untung dunia. Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam kian melampaui batas sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan yang tidak membawa kebaikan.

Justeru, sifat mazmumah yang membelenggu diri sehingga menolak usaha memerangi murtad boleh menjadi punca putusnya silaturahim sesama muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah dianjurkan al-Quran dan sunnah. Bahkan umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri sehingga akhirnya tiada siapa yang menang malah diperolok dan dihina terang-terangan.

Strategi demi strategi mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan lebur, bahkan kehidupan menjadi kacau bilau kerana propaganda halus. Lalu Islam yang sempurna dilihat orang lain sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya.

Penganut agama lain pula menggeleng kepala, apatah lagi melihat kemunduran negara Islam di dunia yang sehingga ke hari ini masih dibelenggu kesusahan. Mereka pula menggembleng fikiran dan tenaga tanpa berkira waktunya untuk memastikan dunia mereka aman dan damai serta terpelihara.

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira keturunan, warna kulit dan kedudukan. Sejarah juga membuktikan belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Hal ini dilihat daripada hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin lain adalah seperti bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat Muslim). Sungguh, akidah saja satu-satunya alat yang boleh mengikat kembali silaturahim umat Islam yang kian renggang.




Sumber : BHarian 27/10/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...