Dari kiri; Sari Yanti, Susan Manen, Siti Nor Bahyah dan Wan Akashah.
Suburkan kasih sayang ceriakan rumah tangga
SELEPAS mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak, pernahkah anda dan pasangan meluangkan masa bersama, hanya berdua seperti pasangan bercinta? Menonton wayang atau sekadar berpimpin tangan di pinggiran tasik sambil menikmati kedamaian alam sekitar?
Kalau anda kata tidak ada masa, takut dianggap buang tabiat, ‘malu’ dilihat orang atau ‘cukup’ di kamar beradu, barangkali anda perlu memikirkan semula kata-kata itu.
“Ini kerana, pasangan yang bertahan lama adalah mereka yang tahu keseronokan bersama dan betapa berharganya keseronokan itu untuk mereka.”
Demikian dilontarkan Perunding Motivasi yang juga penulis buku, Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah Mohamood. Katanya, masa berdua amat perlu untuk suami isteri dan kala itu ia perlu dimanfaat dengan komunikasi berkesan.
“Perbuatan itu bukan saja menunjukkan menghargai pasangan, tetapi membantu anda mempelajari mengenai dirinya. Ramai orang beranggapan mereka tahu segala-galanya mengenai suami atau isteri, tetapi satu hari nanti, mereka akan sedar pasangan mereka menjadi orang yang amat asing. Masa bersama di rumah dengan adanya anak kita tidak dapat berkomunikasi segala-galanya secara terbuka, tetapi bila kita berdua-duanya sama seperti mula-mula berkahwin dulu, bukankah ia memberikan rasa berbeza?” katanya.
Ramai memikirkan ‘bertemu jodoh’ dengan putera atau puteri idaman hanya berlaku di alam fantasi dan tidak mustahil direalisasikan. Di alam realiti, pasangan yang diharapkan menjadi teman ke akhir hayat, jauh panggang dari api.
Hakikatnya itu dirasai ramai, antara sebabnya kerana terlalu mengharapkan kesempurnaan pasangannya sedangkan ia boleh mengundang kekecewaan yang amat sangat apabila harapan itu hancur berkecai.
Justeru, perlukah menerima seadanya pasangan dan menutup segala keburukan dimiliki demi mempertahankan rumah tangga biarpun sinar bahagia sudah semakin malap?
Mengibaratkan rumahtangga sebagai kapal. Ia memerlukan nakhoda dan anak kapal yang saling berkomunikasi secara berkesan supaya mampu menerjah laut lepas hingga sampai ke daratan. Sekiranya antara satu sama lain tidak sehaluan, sudah pasti kapal berkenaan akan karam dan tenggelam di laut dalam.
Siti Nor Bahyah, berkata perkahwinan adalah perkongsian dan harus dibajai serta disemarakkan dengan sifat kasih sayang antara pasangan.
Bagaimanapun antara suami itu pastinya ada yang berbeza lantaran memiliki latar belakang serta cara didikan berbeza ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan perkahwinan bermasalah.
“Setiap orang ada kekurangan diri masing-masing, tetapi janganlah kita terlalu memikirkan kekurangan pasangan hingga menyebabkan segala perkara dilakukan pasangan, kita tidak nampak ‘tidak kena’ saja. Cari kelebihannya yang ada dalam dirinya dan biarkan kelebihan itu mengaburkan kita terhadap kekurangan dimiliki itu.”
“Kalau suami isteri tidak mempunyai minat sama, janganlah pula kita mengkritik pasangan dengan mengatakan minat suami atau isteri sebagai membuang masa. Kritikan dengan harapan supaya pasangan kita menghentikan kecenderungan minatnya itu, akan mengundang rasa tidak selesa di hatinya dan akhir saling tidak menghormati pasangan,” katanya.
Menekankan aspek komunikasi, Siti Nor Bahyah, berkata ia bermaksud, mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh pasangan berbincang bersama dan ketawa bersama. Perkahwinan bukan nikmat sementara, sebaliknya amanah daripada Allah untuk dibina dan dipupuk dengan baik.
“Jika pasangan tahu matlamat perkahwinan dalam Islam, Insya Allah, segala usaha di lakukan untuk kebahagiaan keluarga, diberkati,” katanya.
Bagi Pengarah Urusan Johnson& Johnson, Joyce Lee, perkahwinan bahagia adalah satu pencapaian yang memerlukan usaha dan masa untuk menyemai perhubungan yang penuh kasih sayang.
“Selama 21 tahun mendirikan rumahtangga, tidak saya nafikan ia penuh dengan panca roba dan titisan air mata. Apatah lagi saya bekerjaya. Saya yakin sikap mengambil berat mengenai hal ehwal pasangan, menjadikan kita lebih bahagia kerana tahu ada insan yang sayangkan kita,” katanya.
‘Semarak Kasih, Seharum Cinta’ dibawakan Johnson’s itu adalah program empat episod itu berkisar mengenai curahan kasih sayang selebriti tempatan seperti Sari Yanti, Sharifah Shahira serta Lisdawati dengan pasangan masing-masing. Ia ke udara setiap Selasa jam 6 petang di TV3.
INFO
Pasangan selalu jadikan alasan ‘SIBUK’ sebagai penghalang untuk bersama. Justeru tukar persepsi negatif itu dengan ‘SIBUK POSITIF’, iaitu :
* S - Sentuh isteri selalu. Isteri yang kepenatan akan hilang rasa penat bila suami sentuh dirinya
* I - Idaman. Jadilah insan yang diidam-idamkan pasangan. Kalau suami suka isteri cantik, maka isteri perlu berusaha untuk kelihatan cantik selalu
* B - Belaian daripada pasangan menjadikan hidup bahagia
* U - Ungkapan ‘Aku Cinta Pada Mu’ perlu diteruskan. Bukan terhenti bila bergelar suami isteri saja
* K - Kasih sayang perlu disiram. Jangan mengharapkan ia datang sendiri
Petikan : BHarian 14/10/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...