~ honor killing ~ gambar hiasan ~
LAPORAN akhbar mengenai kes gadis Pakistan berusia 17 tahun, Shafiela, yang hilang pada September 2003 dan mayatnya dijumpai Februari 2004 sangat menyedihkan. Beliau dilaporkan hilang dari rumah di Britain selepas membuat aduan dipaksa berkahwin tanpa kerelaan dalam satu perkahwinan diatur kedua ibu bapanya.
Siasatan polis mendapati sebelum kehilangannya, gadis itu dibawa ke Pakistan atas alasan melawat keluarga tetapi dipaksa berkahwin tanpa persetujuannya. Beliau cuba membunuh diri dengan meminum racun pencuci tetapi kemudian kembali ke United Kingdom untuk menamatkan pengajian. Beberapa minggu kemudian, beliau dilaporkan hilang.
Selepas lapan tahun berlalu, kedua ibu bapa mangsa ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh anak mereka. Pembunuhan itu dipercayai bermotifkan maruah. Kes sebegini banyak dilaporkan berlaku di kalangan umat Islam di beberapa buah negara terutama Pakistan, India, Jordan dan Maghribi.
Pembunuhan kerana maruah atau ‘honour killing’ merujuk kepada pembunuhan dilakukan anggota lelaki dalam keluarga sama ada suami, ayah, abang atau adik lelaki terhadap ahli keluarga wanita yang melakukan tindakan dianggap mencalar maruah keluarga.
Ada kalanya pembunuh bertindak sendirian seperti ayah membunuh anak perempuannya dan ada kalanya berkumpulan seperti ayah melakukannya dengan bantuan ibu atau abang.
Dalam kajian Nesheiwat (2004) berdasarkan kes dilaporkan, ada beberapa sebab wanita dibunuh antaranya kerana enggan dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga, berkahwin dengan lelaki dari suku berbeza, bercakap dengan lelaki bukan suami, menuntut cerai walaupun atas alasan suami melakukan penderaan, tidak menutup aurat dan tidak pandai melakukan kerja rumah tangga.
Ada kes mangsa dibunuh bukan kerana melakukan kesalahan tetapi disebabkan beliau dirogol dan keluarga berasa malu. Lebih menyedihkan apabila abang membunuh adik perempuan kerana ayah merogol adik (sumbang mahram). Adik perempuan dianggap bersalah kerana kewujudannya menyebabkan ayah merogolnya.
Asas pembunuhan ialah kerana pelakunya percaya maruah keluarga sudah tercemar kerana perbuatan ahli keluarga perempuan. Maruah tidak akan dapat diubah kecuali dengan darah perempuan itu. Ruane (2000) menyebut: ‘Apabila maruah tercalar, darah mengalir. Apabila darah mengalir, maruah terbela’.
Islam tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana orang untuk membuat undang-undang sendiri, apatah lagi membunuh atas alasan apa sekali pun. Hukuman sama ada penjara, dibunuh dan sebagainya hanya boleh dijatuhkan mahkamah atas dasar undang-undang.
Membunuh atas alasan maruah tidak boleh dilakukan. Ini ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika berdepan ujian besar seperti dinyatakan dalam surah al-Nur, tatkala isterinya Aisyah dituduh melakukan perkara sumbang.
Baginda tidak pernah mengambil tindakan keganasan terhadap Aisyah sehinggalah terbukti gosip itu salah. Baginda juga memuji suami yang berlaku lembut kepada isteri dan anak serta melarang perlakuan ganas terhadap anak atau isteri.
Baginda bersabda yang bermaksud: “Yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik dengan isterinya.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan Tirmizi)
Islam menekankan konsep mahram sebagai pelindung, pemberi didikan, pembela sehingga anggota perempuan dalam keluarga berasa selamat berada bersama mahram mereka. Apabila anggota perempuan melakukan kesalahan, maka tugas mahram menegur dan membetulkan mereka.
Jelas sekali Islam melarang perbuatan membunuh kerana maruah. Justeru, amalan itu perlu dihentikan dan mahram ditegaskan tanggungjawab memelihara kebajikan setiap ahli keluarga. Pada masa sama, usaha berterusan perlu untuk memperbetulkan salah anggap bahawa Islam membenarkan pembunuhan atas alasan menjaga maruah.
Penulis, Nurhidayah Muhd Hashim [bhagama@bharian.com.my], ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan kini menyambung pengajian di Melbourne, Australia
Petikan : BHarian 17/10/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...