PAGE

Jumaat, Oktober 28, 2011

Sorok dadah


Selain keldai dadah, sindiket turut guna barangan pengguna kaburi jenayah

MUTAKHIR ini, banyak kes rakyat negara ini ditipu, diperdaya dan dijadikan keldai dadah. Kes berkenaan terus meningkat dan sudah pastinya disambut dengan kebimbangan ramai, khususnya ibu bapa yang risau memikirkan jerat ditaburkan sindiket dadah antarabangsa yang tidak kenal erti sempadan atau takutkan pihak berkuasa.

Statistik Bahagian Konsular Kementerian Luar menunjukkan setakat Julai lalu, seramai 840 rakyat Malaysia ditahan kerana kesalahan dadah. Jumlah itu tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan ke kementerian berkenaan atau yang tidak diketahui umum kerana kebanyakan yang terjebak biasanya bersendirian tanpa memaklumkan ahli keluarga mereka.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Malaysia adalah masalah global di negara lain kerana penjenayah dadah kini semakin ‘bijak dan kreatif’ mencari alternatif baru untuk menyeludup dadah terutama dadah jenis sintetik yang mendapat sambutan penggunanya.

Oleh kerana undang-undang pengedaran dadah di kebanyakan negara semakin ketat dengan hukuman yang berat termasuk mati, maka pengedar dadah kini lebih kreatif dalam mencipta cara penyeludupan barang ‘haram’ itu.

Selain kreatif mencipta cara penyeludupan baru, pengedar atau sindiket dadah kini juga menjadikan ‘golongan terdesak’ seperti orang miskin atau yang berhutang dijadikan ‘keldai’ dadah untuk mengangkut dadah merentasi sempadan menggunakan penerbangan antarabangsa.

Penggunaan keldai dadah juga dapat mengurangkan risiko anggota sindiket ditangkap selain kerugian yang besar akibat ditahan pihak berkuasa. Biasanya keldai dadah adalah orang upahan yang tidak tahu langsung mengenai latar belakang sindiket dan mereka diupah mengangkut dalam jumlah kecil yang disorokkan sama ada disedari atau tidak.

Keldai dadah ini juga terbahagi kepada beberapa kategori iaitu orang yang terdesak dan mengetahui mereka dijadikan pengangkut dadah, manakala sekelompok lagi pula menjadi ‘keldai’ tanpa sengaja atau mereka tidak tahu mereka dipergunakan atau diperangkap untuk membawa dadah.

Golongan wanita, orang tua, remaja serta golongan terdesak seperti penagih dadah dan orang yang berhutang dengan mereka dijadikan keldai dadah. Mengikut media Amerika Syarikat, upah keldai dadah adalah AS$3,000 (RM9,361) biarpun ganjaran diterima sindiket itu lebih 100 kali lebih tinggi!

Dalam kebanyakan kes penyeludupan dadah menggunakan penerbangan antarabangsa, suspek mengakui mereka tidak mengetahui membawa dadah kerana mendakwa mereka memenangi peraduan atau pakej percutian malah ada yang mendakwa mereka dihantar ke luar negara oleh majikan tempat mereka bertugas.

Namun, dalam kebanyakan kes dipercayai ‘keldai’ dadah ini biasanya mengetahui mereka membawa dadah kerana bayaran yang diterima lebih tinggi lebih-lebih lagi tugas itu berisiko tinggi ditangkap malah di sesetengah negara hukuman membawa dadah ini boleh dihukum mandatori mati.

Cara biasa digunakan pengedar atau keldai dadah ini mengedar dadah adalah dengan menyelitkan najis dadah itu dalam bagasi atau dibungkus dan disorok dalam dubur dan faraj. Satu lagi cara penyeludupan dadah menggunakan keldai dadah ini adalah dengan memaksa mereka menelan dadah yang dibungkus dalam sarung getah menyamai kondom. Mereka ini juga digelar sebagai ‘swallowers.’ Selain itu, mengikut cara konvensional, penyeludup menyembunyikan dadah dalam tempat tertentu dalam kenderaan, barang-barang, atau pakaian termasuk di tapak kasut atau barang kemas diubahsuai.

Kini, taktik pengedaran juga diubah dengan cara yang kadang kala tidak masuk akal seperti diproses dijadikan seperti kerepek kentang, diproses menjadi kertas, disorok dalam botol syampu, serbuk pencuci atau sabun buku. Malah, dadah dimasukkan dalam buah-buahan, sayuran dan dalam serangga yang dikeringkan serta dijadikan produk kecantikan seperti bedak, pencuci muka, pensil alis mata dan cecair pengilat kuku.

Pegawai kastam China menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam kain.

Dalam keghairahan penyeludup dadah menyeludup dadah ini polis di seluruh dunia hampir setiap hari menguatkuasa pelbagai cara bagi menyekat pengedaran dadah ini yang mana urus niaga hariannya semakin meningkat di semua rantau di dunia ini.

Persoalannya, dengan tertangkapnya banyak keldai dadah ini setiap hari adakah ‘otai’ sindiket dadah ini akan memberhentikan kegiatan mereka atau terus melancarkan ‘perang’ terhadap pihak berkuasa?

Pihak berkuasa narkotik pula memang tidak kurang bijak berbanding pengedar dadah kerana ada tersendiri menyelesaikan teka-teki penyeludupan dadah yang membuatkan orang awam sendiri tertanya-tanya - bagaimana mereka melakukannya.

Antara taktik sindiket

BERIKUTAN kejatuhan mendadak bekalan dadah berikutan pengeluaran pokok ganja seperti Afghanistan, Pakistan, Turki dan negara di Amerika Selatan seperti Mexico dan Peru berkurangan akibat peperangan, menjadikan sindiket dadah kian licik melancarkan taktik penyeludupan.

Berikut beberapa bukti dan pendedahan polis cara penyeludupan dipraktikkan penjenayah dadah ini:

Serangga
Sejumlah 300 gram kokain ditemui di dalam 100 kumbang mati, yang ditemui oleh pegawai-pegawai kastam di Amsterdam di dalam kargo dari Peru.

Lampin bayi
Di Jerman, seorang ibu muda ditahan kerana cuba menyeludup 15 gram amphetamines dan 46 pil ecstasy ke dalam lampin anaknya.

Rambut palsu
Pihak berkuasa Namibia, menahan seorang pelajar berusia 21 tahun di Angola dalam cubaan pelajar itu menyeludup kokain ringan menggunakan 76 paket yang dibungkus melalui rambut sambungan di kepalanya.

Gajet seks
Seorang wanita Ukraine tidak menyangka pegawai-pegawai kastam Lapangan Terbang Kiev akan memeriksa kandungan barang-barang, terutama gajet seks yang dibawanya yang terbukti ada kandungan dadah di dalamnya.

Air gereja
Pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) menangkap Warren Maynard Brooklyn berusia 50 tahun kerana cuba menyeludup 42 botol cecair ketamin ke Amerika Syarikat dari Kanada. Maynard cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengisytiharkan cecair itu sebagai ‘holy water’ penganut Kristian.

Patung
Menyorokkan dadah dalam patung agama adalah helah lama tetapi kini patung agama turut digunakan. Sebuah patung Jesus diperbuat daripada plaster yang digabungkan dengan kokain berjaya dirampas kastam Amerika Syarikat di sempadan Laredo, Texas pada tahun 2008. Wanita yang membawa patung £6.6 juta (RM2.83 juta) berjaya melarikan diri kembali ke Mexico, tetapi seorang lelaki Mexico berusia 61 tahun disyaki membayar wanita untuk membawa patung itu telah ditangkap.

Anak anjing
Penyeludupan dadah biasanya takut dengan anjing yang dilatih pihak berkuasa narkotik untuk mengesan dadah, namun kali ini mereka menggunakan anjing dengan memasukkan heroin yang dipaketkan ke dalam perut haiwan berkenaan. Perut anak anjing itu dibedah dan dijahit semula. Kejam bunyinya, namun itulah hakikatnya apabila pihak berkuasa narkotik Amerika Syarikat pada 2006 menahan ahli organisasi dadah Colombia yang cuba menyeludup heroin ke negara itu .

Kaki palsu
Seorang lelaki Chile berusia 66 tahun telah ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan terbang di Barcelona, Sepanyol setelah mereka mendapati bahawa simen pada kakinya yang patah itu dibuat daripada kokain. Polis dilaporkan berkata, kaki lelaki itu mungkin telah sengaja dipatah bagi membolehkan kokain dijadikan simen kakinya. Walaupun nampak macam tidak logik dan sukar dikesan, namun ia dapat dipatahkan pihak berkuasa negara itu.

Kerepek kentang
Pada 2006, polis di Austin, Texas Amerika Syarikat menemui 168 gram kokain dalam kerepek kentang berjenama popular. Ini jelas menunjukkan pengedar dadah semakin kreatif kerana berjaya menghasilkan kerepek kokain yang menyerupai kerepek kentang sebenar. Namun, mereka tewas juga kerana polis juga kreatif dalam mengesan tempat dadah itu disorokkan.

Beg pakaian
Bukan seperti taktik lama yang mana dadah disorokkan di dalam bahagian beg pakaian, kerana penjenayah dadah kreatif dengan menjadikan beg pakaian itu menggunakan campuran kokain dengan damar dan gentian kaca. Kejadian berlaku di Sepanyol apabila seorang wanita Chile yang cuba masuk ke Sepanyol ditahan bersama dua beg pakaian yang dibawanya. Wanita itu ditahan kerana pihak berkuasa mendapati beg pakaian yang dibawanya lebih berat daripada kandungannya.

INFO: 'Wajah' keldai dadah

Pihak berkuasa lapangan terbang lazimnya menahan mereka yang mempamerkan ciri-ciri berikut:

* Penumpang yang kelihatan berisi atau gemuk dan mengenakan jaket yang mencurigakan kerana bungkusan yang diikat pada badan.

* Individu yang resah

* Wanita yang mengembara bersendirian

* Wanita dengan bagasi sedikit dan tidak mengenakan pakaian mengikut cuaca negara destinasi

* Penumpang yang membawa bungkusan, hadiah untuk orang lain

* Anjing pengesan, mesin x-ray atau pengimbas dan ujian air kencing turut digunakan bagi mengesahkan kehadiran dadah itu.




Petikan : BHarian 23/10/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...