PAGE

Isnin, November 14, 2011

Corot punca jenayah?


JKM dapati pengasingan pelajar bijak, kurang pandai faktor kecewa

KUALA LUMPUR: Pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas tercorot dikenal pasti antara punca kanak-kanak berumur antara 10 hingga 18 tahun terbabit jenayah. Ini disebabkan faktor pengaruh negatif rakan sekelas yang boleh mewujudkan persekitaran tidak kondusif untuk pembangunan mental mereka.

Mengikut kaji selidik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada 100 kes jenayah kanak-kanak, 70% membabitkan golongan tidak memiliki kecemerlangan akademik, berasal dari keluarga berpendapatan rendah, menetap di kawasan padat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mempunyai enam hingga tujuh beradik.

Kebiasaannya, dalam sistem persekolahan semasa, golongan kurang bijak diasingkan daripada pelajar cemerlang tanpa mengabil kira kepandaian meraka dalam bidang lain mengakibatkan psikologi golongan itu di tahap rendah disebabkan rasa terpinggir.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Arfan Sulaiman berkata, kanak-kanak itu mengalami perasaan rendah diri dan kecewa akibat pengasingan berkenaan. Bagaimanapun, jika langkah pengasingan kelas hendak dimansuhkan, pendekatan secara holistik perlu diambil kira.


“Faktor sekeliling kuat mempengaruhi pemikiran kanak-kanak bermasalah. Jika kita mencampurkan pelajar bijak dan tidak bijak dalam satu kelas pula, banyak faktor harus diambil kira kerana kalau majoriti pelajar bijak dalam sesebuah kelas, guru akan fokus kepada golongan majoriti itu. Contohnya, kalau guru mengajar dalam kelajuan 70 kilometer sejam untuk pelajar bijak, mereka boleh ikut tetapi kalau guru guna kelajuan sama pada pelajar tidak bijak, kita musykil mereka boleh ikut, faktor itu kita jangan ketepikan,” katanya.

Menurut Arfan, peningkatan kadar jenayah kanak-kanak membabitkan dadah juga semakin meruncing apabila statistik 2010 dari Januari hingga Disember menunjukkan 1,014 kes iaitu lonjakan 38% berbanding 631 kes direkodkan pada tempoh sama tahun ssebelumnya.

“Kanak-kanak yang terbabit dadah ini pada mulanya mengambil pil seperti ecstasy dan ‘ice’ sebelum bertukar menjadi pengedar kerana faktor fizikal mereka yang mengenakan pakaian seragam sekolah sebagai helah mengaburi kegiatan jenayah dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Pengedaran dadah menggunakan kanak-kanak perempuan juga mencatatkan pertambahan 44% (132) kes pada 2010 berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 74 kes, manakala kanak-kanak lelaki merekodkan peningkatan 37% (882) pada 2010 berbanding 557 kes tahun sebelumnya.

“Keseluruhan kes jenayah kanak-kanak pada 2010 merekodkan pertambahan 14% kepada 4,465 dengan 2,109 kesalahan tersabit harta benda, 543 kesalahan merangkumi kes pergaduhan dan rogol meningkat 34%,” katanya.

Statistik itu juga menunjukkan kadar jenayah kanak-kanak meningkat di 10 negeri dengan Sarawak naik 87% (216) berbanding 2009 (28), Sabah 60% (269), Terengganu 41% (411) dan Kedah 32% (460).

Menurut Arfan, bilangan kes kanak-kanak bermasalah mengikut kawalan atau penjagaan merekodkan angka mengejutkan dengan 3,166 pesalah berada di bawah jagaan ibu bapa berbanding 556 pesalah di bawah jagaan ibu tunggal dan 118 pesalah lagi tinggal bersama keluarga terdekat.




Sumber : BHarian 14/11/2011

18 ulasan:

  1. Yang mendidik dan mengajar. 2 perkara berbeza. Yang mengajar adalah guru di sekolah, yang mendidik adalah ibu bapa di rumah. Berapa ramai ibu bapa kejutkan anak2 "nak, bangun solat subuh" dengan "nak, bangun, nak pegi skolah". Jgn salahkan sekolah. Susun semula kehidupan seharian pelajar.

    BalasPadam
  2. Tolong jangan ikut sedap mulut sahaja menuduh pihak sekolah. Keciciran pelajar dalam aspek akademik sahsiah dan tingkah laku banyak dipengaruhi faktor luar sekolah khususnya ibu bapa.

    Mendidik anak adalah amanah dan tanggungjawab ibu bapa, ia sebenarnya bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan oleh ibu bapa bermula dari dalam kandungan hinggalah anak tersebut dewasa.

    Jika ibu bapa menyerah ke semua tugas ini kepada pihak sekolah, bermakna mereka telah memandang enteng akan tanggungjawab dan amanah ini.

    Sekolah dan guru-guru hanya melaksanakan apa yang telah diarahkan oleh Kementerian Pelajaran seperti mengajar mata pelajaran tertentu yang telah ditetapkan dan perlu dihabiskan dalam masa setahun. Pengasingan dibuat bagi mengelak murid lemah ini tercicir dan mengganggu pembelajaran murid cemerlang. Tanpa pengasingan, murid yang lemah ini akan lagi teruk ketinggalan kerana mereka tidak akan mampu bersaing dengan murid yang pandai. Jika diasingkan, mereka akan lebih mudah belajar dalam tahap dan pencapaian mereka.

    Soal mereka menjadi penjenayah, itu bukan urusan sekolah kerana masa mereka berada di sekolah hanya sekitar 5 jam sahaja sehari sedangkan 19 jam lagi adalah di luar sekolah. Ibu bapa perlu sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka.

    Jika anak kita rosak orang tidak sebut siapa cikgunya tapi orang akan sebut anak siapa budak itu.. fikirkanlah..

    Wallahualam..

    BalasPadam
  3. Salam,

    Saya adalah seorang guru dan saya bukan nak manyalahkan mana2 pihak,baik sekolah mahupun ibubapa sekadar mahu berkongsi pendapat...

    Sebenarnya isu ini timbul kerana ada segilintir di kalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab sbg guru mahupun ibu bapa... saya percaya jika semua pihak sedar tanggungjawab masing2,semua masalah dapat diselesaikan tanpa ada perbalahan...

    marilah kita sama2 mulakan dengan diri sendiri, usah fikirkan tentang orang lain yang mengabaikan tanggungjawab kerana walaupun sumbangan kita sangat kecil tetapi itu sudah memadai...insyaallah.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  4. Zakaria Haron [zakariron@gmail.com]14 November 2011 pada 9:33 PTG

    Pernah dengar pepatah kerana nila setitik, rosak susu sebelenggan?

    Dalam kecorotan itu pasti ada pelajar yang ingin belajar tapi mungkin agak lembap. Tapi apabila di temani oleh pelajar yang malas dan sikap lewa, pasti pelajar ini akan turut sama malas. Akhirnya mengambil jalan mudah ponteng sekolah kerana bagi pelajar ini lebih baik daripada pegi kesekolah.

    BalasPadam
  5. Saya dgn pendapat di atas, tetapi ibu bapa dan penjaga juga memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak2 agar tidak terbabit dlm perkara yg tidak diingini. Jika bercampur dgn yg kurang baik pun tapi iman dan pengaruh keluarga lebih hebat, perkara tak baik tak akan berlaku.

    Sebenarnya terpulang kepada pelajar2 itu sendiri, guru2 dan ibu bapa telah membimbing, its up to them to decide......

    BalasPadam
  6. mohmad shalan bin jasman14 November 2011 pada 9:35 PTG

    Pengasingan pelajar bijak dengan kurang bijak perlu dilakukan untuk pencapaian prestasi lebih tinggi.

    Isu sebenar bukan pengasingan tersebut; tetapi sejauh mana para guru dapat berlaku adil kepada pelajar di kelas kurang cemerlang.

    Sekiranya komitmen dan kesungguhan guru dikedua-kedua posisi tersebut seimbang, saya percaya kita mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang disetiap sekolah. Masalahnya berapa ramai guru yang seronok mengajar murid bodoh berbanding murid pandai?

    Soal pengasingan kelas corot bagi pelajar kurang bijak menjadi punca jenayah pelajar terlalu subjektif untuk dibuat rumusan. Soal yang patut ditekankan adalah setakat mana mereka mendapat bimbingan yang betul ke arah menjadikan mereka modal insan yang berkualiti.

    Isu ini melibatkan semua pihak dan tidak adil meletakkan siatem sekolah sebagai satu-satunya punca. Senangnya hidup ini kalau macam ini cara kita berfikir....

    BalasPadam
  7. kaji punca rezeki yang diperolehi. didik anak-anak mengikut acuan yang baik. pendidikan berdasarkan agama amat penting walaupun ada yang berbuat jahat tetapi terkawal. semangat kejiranan amat penting. mengawal dan mendidik anak-anak sementara masih dari 'rebung' lagi.

    BalasPadam
  8. JKM kena pasti betul punca sebenar kanak-kanak melakukan/terbabit dalam jenayah tidak boleh disalahkan sepenuhnya ke Sekolah.

    Keluarga kena tahu juga kelakuan anak-anak kerana separuh masa mereka berada di rumah. Bagi saya anak-anak yang melakukan/terbabit dengan jenayah kerana masalah kedudukan kewangan, keluarga dan pengaruh dari media masa seperti filem/internet dan berbagai-bagai pengaruh di sekeling.

    BalasPadam
  9. Sistem pendidikan negara telah 'berjaya' menjelmakan jarak atau 'gap' antara pelajar pandai dan mereka yang kurang bijak dalam pelajaran dan peperiksaan.

    Keadaan semakin parah dengan pengenalan Sek Berprestasi Tinggi yg sebenarnya menimbulkan 'ego' di kalangan ibu bapa dalam memilih sekolah dan melahirkan pengetua yg tamak mengejar nama dan pangkat dengan menggadaikan nasib pelajar yang kurang pencapaian dalam pelajaran.

    Selain itu, waktu sekarang terdapat golongan guru yg memilih pekerjaan itu kerana gagal mendapatkan pekerjaan lain, maka mereka seperti ini selalu bersikap sambil lewa dalam mengajar.

    Pada masa hadapan, ianya bukan saja melahirkan generasi yang berada pada status yg jauh berbeda, tetapi juga menyebabkan sektor2 pekerjaan berasaskan kemahiran seperti pekerjaan kelas kedua di Malaysia.

    Pengalaman di sekolah rendah anak saya di Sentul, KL menyaksikan tumpuan lebih diberikan kepada kelas murid-murid cerdik pandai dan kurang kepada kelas yg ke bawah dan seterusnya.

    Anak saya menjadi mangsa gara-gara kesilapan guru yg salah menulis dalam laporan penyata markah sebenar yg diperoleh oleh anak saya, dia diletakkan dalam kelas yg pertengahan walaupun sepatutnya dia masuk dalam kelas 'istimewa' tadi. Guru enggan membetulkan kesilapan markah tersebut - inilah yg saya maksudkan dengan adunan guru yg sambil lewa dan sistem pendidikan sekarang yang menyesakkan.

    BalasPadam
  10. Kepada cikgu2 semua.. jgn cepat melatah, ini cuma "antara punca" iaitu salah satu faktor penyebab.

    Jadi utk ibu bapa dan guru kena sama main peranan. Apa2 Pun, ibu bapa yg berkerja, sila lah balik awal ke rumah.

    Cukup masa sila balik dan beri perhatian pada anak...tak perlu sumbang2 masa... kerja sampai bila2 pun tak kan habis... anak2 saham kita di akhirat.

    BalasPadam
  11. Rasional pengasingan pelajar mengikut tahap pencapaian akademik adalah bagi memudahkan sesi pengajaran.

    Pada pandangan saya polemik keterlibatan pelajar dengan jenayah berakar umbi kepada permasalahan keluarga atau lebih tepat dinyatakan sebagai kepincangan ibubapa mendidik anak-anak. Ibubapa yang prihatin akan masa depan anak-anak mereka memberi penekanan kepada penerapan nilai agama dan pencapaian akademik anak-anak mereka seawal usia mereka 5 tahun dan lebih perhatian diberikan semasa anak-anak meningkat remaja.

    Pertimbangan dangkal dengan menghantar anak-anak ke sekolah dan memberi mereka wang saku sambil mengharapkan usaha mendidik anak-anak mereka terpikul di bahu guru-guru semata-mata.

    Justeru kelemahan ibubapa mendidik anak-anak menjadi insan terpelajar dengan sahsiah yang wajar, dilihat menyumbang kepada peningkatan indeks keterlibatan pelajar dengan jenayah.

    Berpaksi kepada kenyataan tersebut, seharusnya penekanan memperkasakan institusi kekeluargaan dan meningkatkan rasa kebertanggangjawaban ibubapa dilihat sebagai mekanisme yang perlu diberi lebih penekanan.

    Tambahan lagi, mencampuradukkan para pelajar yang komited mengejar cita-cita dengan rakan-rakan sebaya yang berkiblatkan keseronokan semata-mata bukan hanya akan menyukarkan pengajaran lantaran tahap pemikiran yang tidak tara malah mempunyai implikasi para pelajar yang dedikasi yang lebih sedikit bilangannya akan luntur keazaman mereka akibat pengaruh rakan-rakan khalayak yang cenderung berpoya-poya.

    BalasPadam
  12. Pengasingan pelajar-pelajar yang bijak dan yang kurang pandai ni adakalanya perlu kerana kemampuan pelajar-pelajar adalah berbeza antara satu sama lain.

    Pada pendapat saya, jika taraf pelajar di sekolah disatukan dikuathiri golongan pelajar yang berpontesi untuk berjaya akan dirosakkan oleh segelintir pelajar yang kurang pandai. Akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

    Seharusnya kita perlulah tahu menilai tahap kemampuan pelajar itu sendiri dan berusaha untuk meningkatkan kemajukan pelajar-pelajar mengikut kelayakkan akademik masing-masing.

    BalasPadam
  13. Dalam dimensi baru dunia pendidikan, kaedah pengajaran dan pembelajaran haruslah menampilkan lebih kreativiti di kalangan pendidik. Manakala di pihak pelajar, mereka perlu kerap di galakkan untuk diingatkan tujuan mereka ke sekolah.

    Bagi pelajar yang kurang bijak, guru-guru agama boleh berperanan untuk menggalakkan mereka menghafaz al-quran. Kelas-kelas seperti kemahiran hidup (pertukangan, memasak, berkebun) yang mana pihak pengurusan sekolah terlalu mementingkan kejayaan akademik semata-mata.

    Bila pak Menteri bertukar, masing-masing ada agenda yang tersendiri. Yang jadi mangsa anak bangsa. aktiviti disekolah terlau rutin sangat. Nak jemput bagi talk atau ceramah terlalu berkira dan melebihkan hiasan sekolah berbanding membentuk jatidiri anak bangsa.

    BalasPadam
  14. Sedih semasa dari sekolah lagi kita telah diterapkan strata pengkelasan menyebabkan rasa rendah diri kepada pelajar tidak bijak dan melemahkan lagi semangat mereka untuk belajar. Pihak sekolah tidak seharusnya mengikut formula dari pihak Barat kerana dalam Islam menganjurkan kesaksamaan kepada semua. Tidak bijak diperuntukkan untuk mengikut kelas pemulihan atau kelas tambahan bagi mereka menyaingi pelajar pintar.

    BalasPadam
  15. Ada dikalangan guru pula menyisihkan golongan ini dan membiarkan mereka terkontang kanting dalam kelas tanpa perhatian sewajarnya. Tumpuan lebih kepada murid yang dianggap bijak dan murid corot terus terpinggir.

    BalasPadam
  16. Saya tertarik dengan pengasingan pelajar bijak dan pelajar yang mempunyai prestasi yang tidak memuaskan malah memiliki masalah disiplin. Apa yang sedang dihadapi ketika ini dan telah berlaku sejak dahulu lagi, seolah-olah telah menjadi satu tradisi sekian lama. Pihak sekolah mengasingkan kemampuan pelajar mengikut kelas yang tertentu.

    Jika diperhalusi, kehadiran pelajar yang bermasalah dari aspek pembelajaran dan memiliki masalah disiplin kerap diletakkan di kelas 'belakang'. Senario ini berlaku disebabkan bagi mengelakkan nila setitik rosak susu sebelanga.

    Kepada pihak yang perihatin, kebanyakkan pelajar yang memiliki akademik yang rendah lebih cenderung kepada kemahiran. Bagi menjayakan kecemerlangan institusi pendidikan, seharusnya mata pelajaran berbentuk praktikal diperluaskan di semua lapisan sekolah ibarat alang-alang mandi biar basah. Tidak terkecuali persaingan menjenamakan sekolah berprestasi tinggi dengan ganjaran yang dijanjikan menjadikan pelajar 'pandai' diberikan tumpuan istimewa dalam mana-mana sekolah manakala pelajar 'kurang' pandai menjadi anak tiri.

    Natijahnya, kurikulum perlu diubah dengan segera. Lain keris lain pedang, lain dulu lain sekarang. Kajian dan program berkesan diperingkat akar umbi perlu dilaksanakan selaras dengan kemampuan pelajar yang berlainan tahap kecerdasan dan kecergasannya. Harap dikongsi bersama.

    BalasPadam
  17. ‘Tiada diskriminasi pelajar’ ~ BHarian 15/11/2011

    Pengasingan kelas permudah guru habiskan sukatan subjek

    KUALA LUMPUR: Pengasingan pelajar mengikut keputusan akademik bertujuan memudahkan guru menghabiskan sukatan pengajaran sebelum sesi persekolahan tamat dan bukannya memberi keistimewaan terhadap pelajar cemerlang berbanding pelajar kurang bijak.

    Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng bagaimanapun tidak menyokong pengasingan kelas mengikut pencapaian akademik kerana ia meminggirkan pelajar lemah sekali gus menyebabkan mereka kurang motivasi untuk belajar.

    “Walaupun tidak semua sekolah mengasingkan pelajar namun banyak sekolah melakukan saringan mengikut tiga tanda aras iaitu cemerlang, sederhana dan lemah melalui keputusan peperiksaan dalaman yang dijalankan,” katanya.

    Beliau diminta mengulas laporan BHarian semalam, berhubung pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas tercorot sebagai punca golongan kanak-kanak berumur seawal 10 hingga 18 tahun melakukan jenayah.

    Lok menyarankan pihak pengurusan sekolah mencampurkan pelajar lemah dengan sederhana supaya kemampuan mereka memahami pengajaran dalam kelas dapat dioptimumkan.

    “Ini mengelakkan pelajar lemah akademik mempunyai rasa rendah diri berbanding jika dicampurkan dengan pelajar cemerlang yang pantas menangkap apa yang diajar. Adalah tidak adil jika mereka dinafikan hak berada dalam suasana lebih tersusun dan sistematik seperti mana dinikmati pelajar kelas cemerlang,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Zakaria Kasa, berkata cadangan pemansuhan kelas berdasarkan pencapaian akademik perlu dikaji secara menyeluruh sebelum dasar baru diperkenalkan untuk menjamin kedua-dua kelompok pelajar itu mendapat ‘layanan’ pendidikan sama rata.

    “Pengasingan kelas mengikut kelayakan akademik perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana membawa kesan positif dan negatif. Jika pelajar lemah dikelompokkan sekali dalam satu kelas bersama, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada mereka terutama semasa di kelas pemulihan. Pelajar akan lebih selesa bergaul dan belajar dalam kelas khas untuk mereka, sekali gus ada ruang lebih baik untuk mereka menimba ilmu semasa sesi pengajaran berlangsung,” katanya.

    BalasPadam
  18. Minda Pengarang : Syor kurang pelajar lemah di kelas corot mudah guru beri tumpuan ~ BHarian 15/11/2011

    KAJI Selidik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kelmarin mendedahkan amalan pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas corot menyumbang kepada kanak-kanak terbabit terjerumus dalam jenayah.

    Menurut kajian itu, tahap disiplin pelajar terbabit merosot di kelas corot itu berikutan pengaruh negatif rakan sekelas, selain perasaan rendah diri dan kecewa dirasai mereka apabila diasingkan dengan pelajar cemerlang. Hasil kajian ini sebenarnya bukanlah memeranjatkan kepada kebanyakan kita.

    Memang sudah diketahui umum tidak ramai daripada pelajar lemah ini mempunyai peluang untuk muncul semula di kelas yang lebih baik. Malah bagi kebanyakannya, pencapaian di sekolah tidak lagi menjadi satu keutamaan. Berikutan itu, sering kali kita mendengar guru sendiri berputus harapan terhadap pelajar ini dan melabel mereka dengan bermacam-macam panggilan negatif.

    Perkara ini tidak harus berlaku, namun cabaran dihadapi guru untuk mengajar pelajar lemah ini bukanlah mudah untuk diatasi. Selain berdepan dengan masalah memastikan pelajar lemah ini dapat menerima apa yang diajar, guru juga terpaksa bergelut dengan masalah kawalan kelas.

    Selagi masalah kawalan kelas ini tidak dapat diatasi, tidak banyak yang boleh dilakukan guru untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar lemah ini. Satu penyelesaian yang dibayangkan oleh kaji selidik JKM itu ialah dengan tidak mengasingkan pelajar lemah ini dengan pelajar cemerlang dengan harapan unsur pengaruh negatif akan ditenggelamkan oleh sikap positif yang sering ditunjukkan pelajar cemerlang. Namun kaedah ini turut mempunyai kekurangannya berikutan perbezaan tahap penerimaan pelajaran kedua-dua kelompok pelajar ini. Penyelesaian yang mungkin lebih tepat ialah dengan meneruskan pengasingan pelajar ini tetapi dengan mengurangkan bilangan pelajar di kelas lemah berkenaan.

    Jumlah pelajar yang kecil akan memberi peluang kepada guru terbabit untuk memberi lebih tumpuan kepada setiap pelajarnya, selain memudahkan kawalan kelas. Mungkin perkara ini sukar dilaksanakan berikutan kekurangan kemudahan dan guru, namun memandangkan kes jenayah membabitkan kanak-kanak semakin meningkat seperti dipaparkan kaji selidik JKM itu, ia harus dipertimbangkan demi masa depan kanak-kanak ini.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...