ANTARA aktiviti yang dilakukan peserta untuk mengurangkan tekanan menopaus.
Perubahan pada usia emas perlu dihadapi dengan sikap terbuka
SEDANG usia meningkat, masalah dan penyakit juga menyusul hingga menyebabkan kehidupan menjadi tidak bermaya serta menjejaskan keinginan untuk bersosial.
Bagaimana, baik wanita atau lelaki yang meningkat usia sebenarnya tidak perlu rasa terasing dengan keadaan kesihatan diri, sebaliknya mereka perlu menjadi lingkaran usia emas sebagai tempoh terindah untuk berehat melakukan aktiviti digemari bersama rakan atau keluarga yang dikasihi.
Dalam peringkat usia yang semakin bertambah, keremajaan yang semakin pudar lazimnya disertai dengan pelbagai jenis masalah penyakit. Begitu juga dengan wanita yang melihat masalah menopaus bukan lagi seperkara yang asing.
Presiden Persatuan Menopaus Malaysia (MMS), Dr Liew Fah Onn, memberitahu wanita yang mula memasuki usia 40-an, lazimnya akan melalui perubahan memasuki peringkat menopaus dan seharusnya mereka membuat persediaan awal berhadapan gejala itu supaya tidak melalui fasa pengasingan diri apabila sudah tiba masanya.
Jelasnya, kekurangan maklumat berkaitan perkara itu menjadi faktor kebanyakan wanita mengabaikan kepentingan pengambilan langkah awal sekaligus mewujudkan pelbagai komplikasi sebaik memasuki usia 50 tahun dan ke atas.
“Ramai wanita tidak asing dengan masalah menopaus tapi mereka tidak faham tentang kesan dan masalah yang dilalui sepanjang masuk ke peringkat itu. Ramai juga yang mula mengasingkan diri kerana tertekan dengan perubahan diri akibat menopaus yang lazimnya agak ketara apatah lagi tidak terkawal. Lantas, wanita perlu bersikap lebih terbuka dan sedia menerima perubahan memasuki peringkat menopaus sekaligus dapatkan perkhidmatan pakar jika sedang mengalami sebarang masalah.”
“Di samping itu, keluarga dan pasangan juga perlu mainkan peranan penting memberi sokongan dan semangat buat wanita yang sedang melalui perubahan pada diri mereka,” jelasnya pada majlis Sambutan Hari Menopaus Sedunia 2011, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Presiden MMS, Datuk Dr Jakinder S Gender; Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Dr Wong Kim Lei; Pakar Mata, Dr Muiz Mahyudin; Pakar Perunding Sakit Puan dan Menopaus; Dr Chuah Bee Poh serta Pakar Perunding Sakit Puan dan Menopaus, Dr HC Ong.
Dr Liew berkata, berdasarkan statistik lebih 80% wanita mengalami gejala menopaus yang kritikal sehingga dinasihatkan mendapatkan bantuan perubatan bagi mencapai tahap kualiti hidup yang lebih baik. Walau bagaimanapun, dianggarkan 20% daripada 2.3 juta wanita saja yang mendapatkan khidmat nasihat berikut.
“Ini bermakna sebanyak 60% daripada wanita tempatan sedang menderita dalam diam sedangkan mereka boleh mendapatkan rawatan dan perkhidmatan pakar untuk mengurangkan masalah dialami. Keadaan ini agak membimbangkan kerana wanita akan terus menderita selama 25 tahun lagi secara purata daripada peringkat usia menopaus iaitu pada 50 tahun. Oleh itu, dianggarkan dua pertiga daripada usia mereka dibiarkan menanggung kesakitan sebelum dan selepas menopaus sedangkan mereka sebenarnya boleh merawat masalah itu dan mencapai kehidupan yang lebih optimum. Jadi menerusi sambutan dan program yang diadakan mereka dapat bertukar pendapat dan Persatuan Menopaus Malaysia juga boleh menyebarkan maklumat kepada peserta lain,” katanya.
Sambutan Hari Menopaus Sedunia 2011 yang bertemakan “Age Gracefully in The Goleden Years” dipenuhi dengan ceramah kesihatan yang kebanyakannya menyentuh tentang nutrisi yang terbaik untuk kesihatan di usia emas, langkah menangani gejala menopaus dan juga mengenai pengurusan masalah lemah kawalan kencing.
Forum kesihatan dianjurkan doktor dan pakar daripada hospital swasta terkemuka di sekitar Lembah Klang termasuk Hospital Assunta, Hospital Tung Shin, Prince Court Medical Centre dan Kuala Lumpur Menopause Centre. Pameran produk penjagaan kesihatan turut di adakan sepanjang sambutan berlangsung.
INFO ~ Menopaus (Putus haid)
PUTUS haid adalah berhenti kedatangan haid (selama setahun) dan berakhirnya fungsi produksi wanita. Ia biasanya berlaku apabila wanita mencapai umur 45 hingga 50 tahun.
Biasanya sebelum dan selepas menopaus, wanita akan mengalami beberapa perubahan pada tubuh serta tanda-tanda. Punca ini adalah perubahan dan ketidakseimbangan hormon yang berlaku pada wanita menjelang menopaus.
Beberapa tanda awal sebelum dan selepas menopaus:
* Kembung dan sakit perut
* Panas badan
* Kedatangan haid yang tidak teratur
* Peluh malam
* Insomia dan gangguan tidur
* Mudah naik marah
* Kurang keinginan seks
* Sakit payudara
* Kemuraman dan mudah risau
* Sakit kepala
* Keletihan
* Peningkatan berat badan
* Kekeringan faraj
* Osteoporosis
* Sakit badan
* Rambut gugur
Petikan : BHarian 03/11/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...