imej dari sumber WoodTrekker
AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya. Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan.
Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.
“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.
Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.
Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.
“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.
Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.
Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?”
“Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu.
“Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.
“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun. Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum. Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!” perintah majikan.
Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih, penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.
Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar. Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.
Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi. Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.
Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita sendiri.
Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi. Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.
Renung-renungkan...
Sumber : HMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...