PAGE

Jumaat, Disember 02, 2011

Setiap sesuatu, ada hikmahnya


Tok Penghulu dan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampong yang mengetahui hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, “Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok. Tentu Tok sedih...”

Sebaliknya, Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, “Tak apalah. Mesti ada hikmahnya.”

“Apa hikmahnya Tok?”

“Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya.”

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampong sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.

“Tok bertuahlah. Untung,” begitulah kata mereka.

Tok Penghulu sebaliknya berkata, “Belum tentu lagi. Tapi tok yakin, tentu ada hikmahnya.”

Anak lelaki Tok Penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil menggembala kuda-kuda liar yang lain. Begitu sibuk dan tangkas sekali. Entah bagaimana, pada satu petang, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu patah tangan kanannya.

Orang kampong tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.

“Malang benar nasib Tok. Baru dapat nikmat, sekarang ditimpa bala pula,” kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata, “Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya.”

Tidak lama kemudian, kampong mereka didatangi pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampong semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentuera tambahan untuk dihantar ke medan perang!” arah ketua tentera.

Semua ibu bapa kampong itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan di hadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangannya itu.

“Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!” kata ketua tentera sambil menuding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.

Pada ketika itu, dalam hati orang kampong terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, “Mesti ada hikmahnya.”

Pengajaran : Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang berim,an sentiasa melihat sisi baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya daripada Allah.




Sumber : Solusi Isu # 19

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...