IKAN tuna sirip biru berharga RM2.31 juta mendapat tumpuan di pasar Tsukiji. Spesies sirip biru dibeli RM2.31 juta di pasar Tsukiji
TOKYO: Ikan tuna sirip biru yang ditangkap di perairan timur laut Jepun terbukti amat bernilai selepas seekor daripadanya dijual pada harga 56.49 juta yen (RM2.31 juta) atau AS$736,000 dalam sesi lelongan pertama bagi 2012 di pasar Tsukiji di sini, semalam.
Harga bagi ikan tuna seberat 269 kilogram itu mengatasi rekod jualan pada tahun lalu yang berharga 32.49 juta yen (RM1.33 juta).
Ini bermakna, pada harga berkenaan, ia bernilai 210,000 yen (RM8,592.59) setiap satu kilogram atau AS$1,238 (RM3,884.84) setiap 0.45 kilogram, juga satu rekod, kata Pegawai Pasar Tsukiji, Yutaka Hasegawa.
Pada masa sama, walaupun ikan tuna itu tidak dinafikan bermutu tinggi, pembelian pada harga berkenaan sebenarnya lebih disebabkan suasana meriah bagi lelongan pertama tahun ini.
Pemenang bidaan ikan tuna berkenaan, Presiden Firma Kiyomura Co, Kiyoshi Kimura, sebuah rangkaian restoran sushi, berkata beliau mahu mencipta sesuatu yang lebih ceria di Jepun dan membantu negara itu pulih daripada kesan dilanda tsunami tahun lalu hingga melumpuhkan ekonomi, lapor media.
Ikan tuna itu ditangkap di luar pantai Oma di daerah Aomori yang terletak di sebelah utara pantai yang teruk dilanda tsunami, 11 Mac 2011.
Tuna sirip biru amat berharga kerana daging merahnya yang lemak. Hirisan terbaik sirip tuna berlemak dipanggil ‘o-toro’ di sini boleh dijual pada harga 2,000 yen (RM81.83) sekeping di bar sushi di sini.
Ketika muncul dengan wajah ceria di televisyen, Kimura berkata, beliau mahu memastikan ikan itu terus ada di Jepun dan tidak dimiliki pembeli luar negara.”
Pemenang bidaan tahun lalu adalah usahawan Hong Kong, Richi Cheng, yang mengendalikan rangkaian Itamae Sushi berpusat di sana dan sebuah restoran mewah Jepun di daerah Giza di sini.
Rakyat Jepun memakan 80% ikan tuna sirip biru yang ditangkap di Lautan Atlantik dan Pasifik, spesies paling digemari peminat sushi.
Nelayan Jepun, bagaimanapun, berdepan desakan supaya peraturan penangkapan ikan tuna diperketatkan kerana bekalan spesies itu semakin berkurangan di seluruh dunia.
Pada November 2010, ahli Suruhanjaya Antarabangsa untuk Pemuliharaan Tuna Atlantik mengundi untuk mengurangkan kuota penangkapan tuna sirip biru di timur Atlantik dan Mediterranean kepada kira-kira 4% daripada 13,500 kepada 12,900 tan metrik setahun.
Ia juga bersetuju terhadap langkah memperbaiki penguat kuasaan kuota tuna sirip biru. Keputusan itu dikritik keras oleh kumpulan alam sekitar yang menuntut penangkapan ikan tuna sirip biru digantung sementara atau dihentikan. – AP
Sumber : BHarian 06/01/2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...