PAGE
▼
Isnin, Januari 09, 2012
Perbaiki sahsiah diri berubah ke arah kebaikan
Tanggungjawab pemerintah tegah orang awam lakukan perkara mungkar, maksiat
BIARPUN mengikut tahun hijrah, bulan Muharam berlalu sebulan lalu dan kini sudah memasuki bulan Safar, rata-rata umat Islam tidak merasakan impak bertukarnya tahun berbanding dengan tahun masihi.
Ini mungkin disebabkan kita sudah terbiasa dengan penggunaan kalendar masihi dalam pengurusan kehidupan seharian. Pastinya ramai membuka lembaran serta keazaman baru bagi 2012 dengan memperbaiki azam daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada lebih baik.
Namun, bagi segelintir umat Islam tahun baru menjadi satu tahun bagi mereka memulakan tahun dengan melakukan kemungkaran. Tanpa segan silu mereka melakukan maksiat seperti meminum arak, berfoya-foya di pusat hiburan dan disko.
Ambang 2012 membuka tirainya dengan menyaksikan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan ‘Ops Mungkar’ di dua pusat hiburan di Mutiara Damansara dan Petaling Jaya yang diketuai Pengarah JAIS serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Dalam operasi itu, 41 pengunjung beragama Islam ditahan termasuk enam wanita berumur antara 18 hingga 58 tahun atas kesalahan meminum arak pada awal pagi 1 Januari, 2012. Usaha membasmi kemungkaran ini tindakan patut dipuji kerana menunjukkan ketegasan jabatan agama mencegah kemungkaran. Selain itu, pendekatan diambil JAIS bukan hanya menahan untuk memberikan hukuman, malah turut menyediakan sesi kaunseling kepada individu berkenaan supaya dapat menyedarkan mereka kesan minum arak dan hiburan yang melampau.
Hakikatnya, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyeru orang awam melakukan kebaikan serta menegah melakukan kemungkaran. Oleh itu, tindakan JAIS sangat dipuji bagi memastikan orang awam khususnya di negeri Selangor tidak sewenang-wenangnya melakukan maksiat.
Kesalahan minum arak adalah kesalahan jenayah syariah yang diperuntukkan dalam undang-undang syariah di Malaysia. Seksyen 18 (1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: “Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”
Sesiapa yang ditangkap atas kesalahan meminum minuman memabukkan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau dipenjarakan. Kesalahan berkenaan arak ini bukan saja terkesan kepada peminum tetapi turut membabitkan individu yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli walaupun individu terbabit tidak meminumnya.
Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995: “Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Senario masa kini, masyarakat lebih takutkan hukuman diperuntukkan undang-undang berbanding pengharaman mengikut hukum Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah, ayat 90)
Kesan terhadap meminum memabukkan ini juga dibuktikan menerusi kajian menunjukkan alkohol akan memberi kesan kepada sel otak dengan merangsang otak sebelum mengganggu fungsi otak daripada bertindak normal serta memberi gangguan kepada penglihatan serta hilang ingatan.
Oleh itu, marilah bersama berubah ke arah yang lebih baik, memperbaiki diri bukan saja dari sudut kerjaya dan material, juga memperbaiki diri dari sudut sahsiah dengan berusaha menjauhkan diri daripada aktiviti mungkar.
Penulis artikel ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Petikan : BHarian 04/01/2012
Capaian entry berkaitan :
http://laman-seri.blogspot.com/2012/01/azam-baik-tidak-perlu-tunggu-tahun-baru.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...