PAGE

Sabtu, Februari 11, 2012

Kahwin usia muda


Kerja atau bina istana mana lebih utama?

LEBIH empat tahun Razali dan Sofea menyulam cinta, ketika sama-sama menuntut di universiti. Usai pengajian, masing-masing riang menggenggam segulung ijazah. Bagaimanapun Razali jadi buntu bila dua persoalan bermain dalam fikirannya.

“Terus berkahwin sebab semua rakan sekuliah nak mewujudkan kembali trend berkeluarga muda? Atau kerja dulu sebelum kahwin? Kalau lambat masuk meminang Sofea dikebas orang pulak? Aduh melepas pula nanti. Macam mana ye?,” gerutu Razali dalam hati.

Razali tidak bersendirian menghadapi situasi ini. Ramai lagi orang muda di luar sana, berhadapan persoalan sama. Antara berkahwin terus selepas tamat pengajian atau bekerja dulu. Masing-masing punyai alasan tersendiri sama ada terus berkahwin selepas tamat pengajian atau memilih untuk bekerja dulu sebelum membina keluarga bahagian impian hati. Bagaimana dengan anda?

PAKAR Motivasi, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata antara bekerja dan berkeluarga, kedua-dua perkara itu amat mustahak dalam kehidupan manusia.

Bagaimanapun, sekiranya berbicara aspek sosiologi dan senario hari ini, individu tidak boleh menafikan asas utama kepada keharmonian rumah tangga dan pasangan hari ini ialah tidak lagi boleh berpegang secara total terhadap perasaan cinta dan kasih sayang yang menentukan kebahagiaan rumah tangga.

“Senario semasa mahu setiap individu mantap dari segi ekonomi terutama memiliki pekerjaan. Kerja tetap kurang risiko diberhentikan berbanding tiada kerja tetap. Mantap ekonomi bukan bererti ada berpuluh ribu dalam akaun, sebaliknya bergantung kepada siapa, di mana dan bila,” katanya.

Siapa - ia bergantung kepada latar belakang individu. Sekiranya memiliki pendidikan rendah dan gaji rendah, pilihan sewajarnya haruslah daripada kelompok yang sama juga. Kalau pasangan dipilih daripada anak orang berada, ia boleh menjadi satu bebanan kerana selalunya akan timbul konflik.

Di mana - membabitkan lokasi anda tinggal? Kalau di ibu kota, secara automatik perbelanjaan menjadi tinggi. Sekiranya gaji sekadar ‘cukup makan’ untuk seorang, lebih baik ditangguhkan dulu hasrat berkahwin kerana ia boleh menimbulkan masalah kemudian hari.

Bila - pada tahun 1980-an, amat terhad kemudahan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) termasuk telefon dan pelbagai gajet. Namun, era ini, ia bagaikan satu keperluan dan kemestian. Mahu atau tidak sesebuah keluarga itu mesti memilikinya.

Justeru, Dr Mohammad Shatar yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata kombinasi tiga perkara itu menjawab persoalan ‘kemantapan ekonomi’ individu untuk sama ada terus bergelar suami, isteri atau mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Diri sendiri saja yang tahu jawapannya dan arif mengenai kemampuan diri. Kalau berkahwin atas desakan orang lain atau mengikut trend atau takut kawan mengusik, maka ia hanya mengundang kepayahan diri sendiri,” katanya.

Menyentuh aspek sosiologi, Dr Mohammad Shatar menjelaskan tali pengukur kesesuaian usia berkahwin kepada lelaki dan wanita, masing-masing ialah 25 dan 23 tahun kerana pada usia berkenaan, kedua-dua golongan itu sudah mencapai tahap matang.

“Rasional angka itu, mengikut ahli psikologi, mendapati lelaki bawah usia 25 tahun lebih emosi dan tertarik kepada wanita atas faktor tarikan seksual, selain kurang bertanggungjawab atau memberi komitmen lebih serius. Jika perkahwinan terlalu awal, khususnya kepada lelaki, apabila berlaku masalah dalam rumah tangga suami akan merasa bosan. Bila matlamat berkahwin itu pun sudah tersasar, mulalah timbul pelbagai alasan termasuk ‘bermain kayu tiga’,” katanya.

Psikologi membuktikan tarikan antara lelaki dan wanita berlaku sejak individu masih muda. Ketika di sekolah rendah tarikan terhadap seseorang atas dasar rupa paras. Pada peringkat sekolah menengah pula tarikan kepada berlainan jantina menjurus kepada terikut dengan aliran.

Pada usia 25 tahun ke atas, barulah lelaki muda lebih mempunyai fokus, lantaran angka usia tidak boleh diketepikan dalam hal membabitkan perkahwinan. Beliau menyarankan pasangan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga awal seharusnya membuat persediaan mental dan fizikal selain mesti ada pekerjaan.

“Selepas sekurang-kurangnya setahun pengalaman bekerja, barulah terfikir kahwin. Ini kerana dunia pekerjaan akan mendedahkan kepada pelbagai perkara termasuk pengurusan kewangan yang kelak boleh dipraktikkan dalam alam rumah tangga,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa golongan muda membuat simpanan sekurang-kurangnya RM5,000 pada setiap masa sebagai persediaan waktu kecemasan. Malah, cuba elakkan membuat pinjaman semata-mata untuk berkahwin, tetapi jika jalan buntu mungkin boleh namun jangan terlalu banyak.

“Kalau buat pinjaman hingga mengambil tempoh 20 tahun untuk dilangsaikan, bukankah ia beban? Lebih baik buat majlis ikut kemampuan,” katanya.

Membina rumah tangga seharusnya disertai dengan sikap tanggungjawab. Tanya pada diri ‘mengapa saya perlu berkahwin?’ dalam usia muda.

Dr Mohammad Shatar menegaskan jika remaja sudah bersedia segala-galanya pasti semuanya perancangan dalam kehidupan berumahtangga berjalan lancar tanpa sebarang kekalutan atau masalah.




Petikan : BHarian 04/02/2012

1 ulasan:

  1. Bergantung kepada kemampuan kewangan atau yang lebih utama keupayaan mengawal nafsu...
    Jika bimbang terjebak ke dalam maksiat maka lebih baik berkahwin...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...