PAGE

Khamis, Februari 09, 2012

Kenal dulu sebelum berkahwin

PASANGAN perlu saling mengenali sebelum melangkah ke alam perkahwinan.- Gambar hiasan


PERKAHWINAN diatur ibu bapa? Adakah lagi berlaku dalam zaman canggih sekarang ini? Percayalah! Memang ada. Hakikatnya, perkahwinan masih sama sejak dahulu hingga kini iaitu menyatukan seorang lelaki dan seorang perempuan bagi membentuk sebuah ikatan atas nama kasih sayang serta amanah dan tanggungjawab.

Seperti maksud firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum Ayat 21: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Persoalannya, bolehkah wujud situasi ‘bersenang hati dan hidup mesra’ jika perkahwinan yang dibina itu diatur oleh ibu bapa?

Jawapannya: Ya, dengan dua syarat utama iaitu kedua-dua lelaki dan perempuan bakal pasangan suami isteri perlu saling mengenali terlebih dahulu dan kedua-dua lelaki dan perempuan bakal pasangan suami isteri itu bersetuju dengan perkahwinan yang diatur tersebut.

Perlu saling mengenali

Rasulullah SAW menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu Al-Mughirah bin Syu’bah.

Al-Mughirah memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Hadis riwayat al-Tirmizi.)

Hadis ini jelas membuktikan perlunya seseorang itu mengenali bakal pasangannya, lelaki mengenali bakal isteri dan sebaliknya. Ia penting kerana perkahwinan bukanlah perkara main-main sebaliknya melibatkan hidup masa depan yang perlu diharungi oleh mereka.

Tidak memadai jika hanya ibu bapa yang mengenali calon sebab bukan ibu bapa yang perlu hidup bersama bakal menantu pilihan. Ya, ibu bapa lebih dulu ‘makan garam’ tetapi bukan bererti ibu bapa sentiasa betul dan tepat dalam membuat pilihan.

Perlu bersetuju

Bakal pengantin tidak kira lelaki atau perempuan perlu bersetuju dengan perkahwinan yang diatur tersebut. Setuju sepenuh hati dan bukan rela dalam terpaksa.

Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Jangan mengahwinkan seorang perempuan janda sehinggalah diminta persetujuan dan mengadakan perbincangan serta jangan mengahwinkan seorang gadis sehinggalah diminta persetujuannya.

“Para sahabat bertanya: Bagaimana hendak mengetahui persetujuan seorang gadis? Baginda menjawab: Dia diam.”

Perlu difahami bahawa menyintai dan dicintai adalah dua perkara berbeza. Cinta tidak boleh dipaksa tetapi boleh dipupuk dan dibajai andai masing-masing bersedia untuk menerima bakal teman hidup mereka. Jika tiada penerimaan, paksaan akan hanya memudaratkan perkahwinan dan hidup masa depan kedua-dua mereka.

Berdasarkan pengalaman Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie yang mengendalikan kes, perkahwinan diatur ibu bapa tanpa persetujuan anak-anak sama ada kedua-duanya atau salah seorang daripadanya, meninggalkan natijah yang amat besar – kelalaian dalam pelaksanaan tanggungjawab.

Ada suami yang tidak melaksanakan hak nafkah batin isteri malah ada kes isteri tidak melayan nafkah batin suami. Ada kes pasangan bertindak curang kerana masih tidak mampu melupakan kekasih hati.

Paling tragis apabila anak-anak ini berpura-pura bahagia di depan ibu bapa walau hakikatnya mereka langsung tidak pernah bertegur sapa. Lantas, bagaimanakah mungkin wujud mawaddah wa rahmah yang syariat tetapkan perlu ada dalam perkahwinan?

Cinta sebelum kahwin

Bagi ibu bapa yang mengatur perkahwinan anak-anak, mungkin mereka mempercayai cinta sebelum kahwin tidak wujud. Pendapat itu salah. Fahamilah sabda Rasulullah SAW: “Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah.)

Hadis ini jelas membuktikan perasaan kasih dan sayang itu boleh diambil kira bagi membina mahligai perkahwinan. Lebih penting, selaraskan cinta tersebut menepati kehendak syariat.

Ingat! Jika ibu malah bapa enggan membenarkan sesebuah perkahwinan tanpa alasan yang munasabah menurut syariat, syarak menentukan si anak gadis itu boleh dinikahkan menggunakan wali hakim. Ia bukti bahawa keputusan ibu bapa berkaitan perkahwinan bukan muktamad. Namun, sebaik-baiknya biarlah setiap individu yang terlibat sama-sama bersetuju dan sama-sama merestui.

Andai hubungan anda dan pasangan dihalang, jangan patah semangat dan jangan sesekali melawan kata-kata ibu bapa anda. Bantahan anda akan membuatkan mereka semakin membenci pilihan anda kerana merasakan pilihan anda itu telah mengubah sikap dan prinsip diri anda.

Kenalkan pilihan

Sebaliknya, diamkan diri dan usahakan untuk kenalkan pilihan anda kepada ibu bapa anda. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Andai sudah kenal tetapi masih tak cinta, bersabarlah! Percayalah, jika dia memang ditakdirkan untuk anda, dia pasti menjadi milik anda biar apapun halangannya.

Berdoalah: “Ya Allah, aku mencintai dia (sebut namanya) dan aku ingin menjadi teman hidupnya hingga ke akhir hayatku. Andai dia mampu menjadi pasangan yang baik untuk masa depanku, ibu bapaku dan agamaku, maka mudahkanlah urusan jodoh kami dan bukakanlah pintu hati ibu bapaku untuk menerimanya. Sebaliknya andai dia bukan yang terbaik, Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerima calon pilihan ibu bapaku dan bantulah aku untuk melupakan dia.”

Ingat! Perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Cinta dan kasih sayang itu anugerah! Ia boleh wujud andai anda ikhlas terhadap seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka. (Surah Maryam, Ayat 96.)

Apa yang penting, anda perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan setiap takdir-Nya.




Petikan : Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...