PAGE

Selasa, Februari 07, 2012

Maulidur Rasul tanda cinta Nabi Muhammad



Sambutan selagi bertujuan rai hari kebesaran Islam bukan bidaah

SESETENGAH pihak dalam kalangan umat Islam menyatakan amalan mengadakan majlis Maulidur Rasul SAW suatu bidaah. Bagaimanapun, ada dalil sunat yang membolehkan umat Islam merayakan hari kebesaran Islam ini.

Merayakan atau menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul) termasuk dalam perkara yang membesar dan memuliakan Baginda. Firman Allah bermaksud: “Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya serta mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah al-'Araf, ayat 157).

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu adalah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” (Surah al-Hajj, ayat 32).

Apa yang dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” pada umum ayat ini, ialah setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Jadi sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad SAW dan menyambut Maulidur Rasul itu adalah membesarkan tanda atau syiar agama Allah, termasuk dalam menjunjung perintah Allah.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya, begitu juga Ismail dan Abdul Razak, bahawa diringankan azab ke atas Abu Lahab pada Isnin kerana memerdekakan Suwaibah, iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menzahirkan kegembiraan dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah SAW diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kuffar, seteru kepada Nabi diringankan azabnya, apa lagi bagi orang yang Muslim. Seperti yang dikatakan oleh al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin ad-Dimsyaqi dan Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Muhammad al-Jazri, dianjurkan untuk memulia dan membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan mengambil sempena hari kelahiran Baginda.

Hari kelahiran Baginda adalah “Hari Kebesaran Islam” dan hari yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Diriwayatkan daripada Qatadah an-Ansari: “Bahawasanya Nabi ditanya mengenai berpuasa pada Isnin, berkata Nabi Muhammad SAW: “Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku.”” (Hadis riwayat Muslim).

Membuat perkara kebaikan dan kebajikan seperti memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa Isnin dan berpuasa Hari Asyura sempena memuliakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti berhimpun dengan membaca al-Quran, berselawat, membaca sirah Nabi, memuji, berzanji, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir miskin dan lain-lain adalah perbuatan sunat yang dianjurkan dalam Islam, apa lagi mengadakan sambutan Maulidur Rasul.

Dalam sahih Bukhari dan Muslim dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu Baginda bertanya, mereka menjawab: “Ia hari yang Allah menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah Taala.” Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: “Kami terlebih utama dengan Musa.”

Dalam pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah.

Menyambut Maulidur Rasul ialah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam semesta ini. Sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah kepada kaum kamu, dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” (Surah Yunus, ayat 58).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan kerana memberi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiyaa' ayat 107).

Jelaslah memperingati dan memuliakan Maulidur Rasul dengan berselawat, membaca kisahnya, perjuangan suka dukanya menunjukkan kita menyintai Nabi Muhammad SAW dan sekali gus menyintai Allah. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah kepada kaummu (Muhammad), jika sekiranya kamu menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah menyintai kamu.” (Surah Ali-Imran, ayat 31).


صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
صَلَّى اللهُ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ
صَلَّى اللهُ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ
يَا رَسُوْلُ سَلاَمٌ عَلَيْكَ
صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْكَ
يَا نَبِيْ سَلاَمٌ عَلَيْكَ
يَا حَبِيْبُ سَلاَمٌ عَلَيْكَ
فَاخْتَفَتْ مِنْهُ الْبُدُوْرُ
قَطُّ يَا وَجْهَ السُّرُوْرِ
أَشْرَقَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا
مِثْلَ حُسْنِكَ مَا رَأَيْنَا
أَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرٍ
أَنْتَ مِصْبَاحُ الصُّدُوْرِ
أَنْتَ شَمْسٌ أَنْتَ بَدْرٌ
أَنْتَ إِكْسِيْرُ وَغَالِي
يَا عَرُوْسَ الْخَافِقَيْنِ
يَا إِمَامَ الْقِبْلَتَيْنِ
يَا حَبِيْبِيْ يَا مُحَمَّدُ
يَا مُؤَيَّدُ يَا مُمَجَّدُ





Sumber : Ibrahim Abdullah di BHarian 06/02/2012 dan Ust. Ahmad Baei

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...