PAGE
▼
Ahad, Februari 26, 2012
Pembunuh si kecil
Sikap kurang peka ibu bapa terhadap radang paru-paru boleh ragut nyawa anak
SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu. Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi. Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua. Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.
Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit itu perlu dikesan dan dirawat secepat mungkin bagi mengelaknya menjadi serius sehingga boleh meragut nyawa. Bagaimanapun, katanya, di negara ini, kesedaran masyarakat terutama golongan ibu bapa berhubung penyakit berkenaan adalah masih terlalu rendah ekoran tiada kefahaman meluas seperti dalam konteks memahami simptom, kepentingan rawatan dan langkah pencegahan.
“Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya penyakit berkenaan atau kepentingan mendapatkan rawatan awal, sekali gus meningkatkan jumlah kematian tahunan akibat masalah kesihatan itu. Pneumonia mempunyai banyak simptom antaranya demam panas, batuk berkahak atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat, sering merengek (bayi dan kanak-kanak), pernafasan laju, susah bernafas, muntah dan cirit-birit. Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami satu atau lebih daripada simptom ini, ia mungkin pneumonia. Usah bertangguh, sebaliknya segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan ‘Meningkatkan Kesedaran Masyarakat Di Negara Ini Berhubung Pneumonia,’ bersempena Hari Pneumonia, baru-baru ini. Usaha itu diperkenalkan Gabungan Global menentang Pneumonia Kanak-Kanak yang dianggotai 125 badan bukan kerajaan, pertubuhan amal, institusi akademik, agensi kerajaan dan beberapa yayasan bagi menggalakkan tindakan masyarakat dunia di dalam usaha menentang, merawat serta mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.
Dr Yong Junina berkata, pengalamannya mengendalikan kes Pneumonia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sikap ibu bapa yang menganggap simptom dialami anak mereka itu tidak berbahaya, menjadi punca pesakit tidak dapat dirawat awal sehingga menemui kematian.
“Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke klinik saya tidak tahu dan tidak menunjukkan kebimbangan apabila saya memberitahu anak mereka diserang pneumonia. Malah mereka menganggap ia masalah kesihatan ringan. Ada kes yang mana seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan tetap menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi terlebih dulu.”
“Perlu diingatkan yang penyakit ini disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kotor, lokasi terlalu sesak, tempat berhabuk, cuaca buruk, ketahanan sistem imunisasi tubuh rendah atau penyakit dibawa individu sekeliling, jadi pesakit perlu 'dikuarantin' dari semua keadaan ini sehingga benar-benar sembuh,” katanya.
Jelas Dr Yong Junina, dari kaedah rawatan, ada beberapa cara berkesan yang akan digunakan pegawai perubatan dalam mengatasi penyakit dihidapi.
“Bagi pneumonia yang disebabkan virus, doktor hanya akan memberikan ubat pil dan penghidap harus rehat dan minum air secukupnya kerana sistem imunisasi badan akan memainkan peranan dalam merawatnya. Jika penyakit dialami tidak serius dan disebabkan bakteria, doktor akan membekalkan antibiotik dan ubat tetapi sekiranya jangkitannya serius, penghidap akan diberikan ubat melalui suntikan,” katanya.
Namun, bagi kes lebih serius, penghidap akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan rawatan lanjut seperti bekalan oksigen dan antibiotik. Baginya, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati,’ usaha untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini adalah paling penting berbanding merawatnya.
Bagi tujuan itu, masyarakat perlu menjalani gaya hidup sihat, mengutamakan kebersihan diri, mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi, tidak berada di kawasan sesak, menutup hidung ketika cuaca buruk apabila keluar rumah dan sentiasa mementingkan kesihatan sekeluarga.
“Sekiranya anda, ahli keluarga atau anak anda mengalami simptom pneumonia, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda tidak menjadi semakin buruk,” katanya.
“Lebih penting, pada waktu yang diperlukan atau dinasihatkan doktor seperti jika anda ingin melancong atau pulang dari sesebuah lokasi luar negara, dapatkan vaksin seperti Pertussis (Tibi), Vaksin Measles (Demam Campak), Vaksin Influenza atau Vaksin Pneumococcal.
“Vaksin ini berupaya meningkatkan sistem imunisasi tubuh anda bagi mencegah sebarang jangkitan penyakit,” katanya.
INFO Pneumonia
Golongan berisiko:
* Kanak-Kanak terutama pada usia lima tahun dan ke bawah
* Dewasa terutama pada usia 65 tahun dan ke atas
* Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids
* Penghidap masalah kesihatan yang kronik
* Individu di kawasan sesak atau kotor
* Masyarakat atau penduduk di kawasan tidak membangun atau miskin
Simptom
* Demam panas
* Batuk berkahak atau tanpa kahak
* Sakit dada
* Tiada selera makan
* Rasa tidak sihat
* Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)
* Pernafasan laju atau tercungap-cungap
* Sukar bernafas
* Muntah
* Cirit-birit
Antara langkah pencegahan:
* Menjalani gaya hidup sihat
* Mengutamakan kebersihan diri
* Mengamalkan penyusuan susu ibu
* Elak di kawasan sesak
* Menutup hidung ketika cuaca buruk.
Sumber : Faizatul Farhana Farush Khan [bminggu@bharian.com.my] di BHarian 20/11/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...